Jumaat, April 28, 2000

BMG nafi pinggirkan M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 28 April 2000

Syarikat BMG Music menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan syarikat itu kurang memberi perhatian terhadap karya M. Nasir untuk dipasarkan ke luar negara termasuk Indonesia.

Bagaimanapun album terbaru M. Nasir, Srikandi Cintaku yang memuatkan lagu-lagu popular ciptaannya telah dipasarkan buat pertama kali ke Indonesia pada 22 Mac lalu.

Kontrak M. Nasir dengan BMG Music telah tamat akhir tahun lalu dan difahamkan M. Nasir beralih syarikat rakaman Warner Music yang dipercayai dapat mengembangkan kariernya ke peringkat antarabangsa.

Pengurus A & R BMG Music, Rosmin Hashim menafikan mereka tidak memberi perhatian kepada karya-karya M. Nasir.

Menurutnya, beberapa album penyanyi dan komposer itu pernah dihantar untuk diteliti oleh pihak BMG Indonesia sebelum ini sepertimana yang dilakukan kepada album Slam dan Exist.

Bagaimanapun pasaran muzik Indonesia yang jauh ketinggalan menyebabkan muzik seperti diperjuangkan Nasir tidak mendapat perhatian.

''Kami sudah cuba membuat tawaran kepada BMG Music Indonesia tetapi tidak mendapat sambutan,'' jelas Rosmin.

Menurutnya, pihak di Indonesia mengakui muzik Indonesia yang jauh ketinggalan menyebabkan lagu-lagu melankolik dan lagu cinta yang dibawa oleh kumpulan Slam dan Exist mendapat perhatian.

Malah kata Rosmin, perkara yang sama terjadi kepada penyanyi popular naungan mereka seperti Awie dan Ziana Zain.

Hanya sebuah daripada empat album solo Awie dipasarkan di sana manakala album Ziana belum mencecah pasaran negara itu.

Rosmin memberitahu, BMG Music pernah merakamkan empat lagu Inggeris nyanyian M. Nasir dengan menggunakan khidmat komposer luar negara, Brad Parker beberapa tahun lalu.

Album mini yang menelan kos melebihi RM100,000 itu dijadikan sebagai percubaan untuk menembusi pasaran luar tetapi ia juga tidak mendapat sambutan.

''Album single tersebut telah dibawa ke BMG New York untuk diteliti. Namun atas sebab-sebab yang sama, kami tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga sekarang,'' katanya lagi.

Menurut Rosmin, daripada usaha yang telah dilakukan oleh syarikat rakaman itu memperlihatkan BMG Music sentiasa berusaha untuk membawa karya M. Nasir ke luar negara.

Sementara itu mengenai penghijrahan M. Nasir ke syarikat lain, Rosmin mengakui BMG Music kehilangan seorang artis yang berbakat besar. Ini kerana selama lebih 10 tahun bersama BMG Music, pelbagai sumbangan telah diberikan oleh M. Nasir di dalam penciptaan lagu-lagu artis mereka seperti Search, Wings, Exist dan banyak lagi.

Menurut Rosmin, M. Nasir mungkin mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk beralih angin ke syarikat rakaman lain setelah kontraknya berakhir.

''Kami menghormati M. Nasir dan sentiasa berharap dia mampu meneruskan kerjaya di masa depan dengan cemerlang,'' jelas Rosmin lagi.

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Khamis, April 20, 2000

M. Nasir Srikandi Cintaku ke Indonesia

petikan Utusan Malaysia 20 April 2000

Sebelum ini banyak penyanyi baru yang mendapat peluang memasarkan album mereka ke Indonesia. Malah ada sesetengahnya tidak mampu mencatatkan populariti di negara ini juga mendapat peluang keemasan itu.

Bagaimanapun pihak syarikat rakaman BMG semacam tidak begitu berminat untuk membawa M. Nasir terbang jauh ke negara jiran yang mempunyai potensi pasaran yang baik.

Lantas usaha syarikat rakman BMG yang memasarkan album Srikandi Cintaku di Indonesia bermula 22 Mac lalu menjadi persoalan.

Apakah ini merupakan satu langkah susulan apabila tercetusnya kontroversi yang mengatakan Nasir akan meninggalkan BMG dan berhijrah ke syarikat rakaman antarabangsa yang lain?

Malangnya usaha BMG ini agak terlambat kerana M. Nasir khabarnya sudah memilih untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music.

Selepas mencatat kejayaan cemerlang mengetengahkan Zainal Abidin dan Sheila Majid ke pasaran luar negara, Warner Music dilihat lebih bersungguh-sungguh di dalam meletakkan artis tempatan di peta dunia.

Menurut sumber, M. Nasir sudah bersedia beralih angin untuk bernaung dengan Warner Music.

Dalam dunia muzik tempatan, M. Nasir satu nama yang cukup besar dan mempunyai kekuatannya di dalam bidang penciptaan serta memenangi beberapa anugerah muzik di negara ini.

Dia bukan sahaja seniman yang popular dengan muzik-muzik sejagat malah turut memberi pengertian yang mendalam terhadap kesenian dan kesusasteraan dalam banyak karyanya.

Setiap karya yang dihasilkan mempunyai mesej tersendiri yang jarang terjangkau oleh kebanyakan karyawan lain.

Andalusia misalnya, mengangkat kisah kegemilangan dan kejatuhan Islam di Sepanyol suatu ketika dahulu.

Karya Nasir dilihat begitu serasi dengan pelbagai situasi terutamanya untuk sebuah negara yang mempunyai banyak persamaan seperti Indonesia. Tidak hairanlah apabila jualan album Srikandi Cintaku mencecah 25,000 unit dalam masa tidak sampai seminggu di pasaran Indonesia.

Ini membuktikan bahawa M. Nasir mempunyai peminat di negara jiran itu dan BMG agak terlewat meluaskan jangkauan pasaran album M. Nasir.

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN