Ahad, Oktober 25, 2009

Magika cubaan pertama KRU dalam genre muzikal

petikan Bintang Popular 25 Oktober 2009
Oleh Zubir Mohd Yunus (yang berada di Bangkok, Thailand, baru-baru ini)

Edry memberi penerangan kepada Mawi, Diana dan Fimie di lokasi Magika.

FANTASTIK dan mampu capai box-office! Itulah gambaran awal penulis dan rakan wartawan lain sebaik menjadi kumpulan pertama media Malaysia berpeluang menyaksikan filem terbaru terbitan KRU Studios yang kini dalam proses akhir, Magika di makmal warna, Siam Film Development (SFD) di Bangkok, Thailand, minggu lalu.

Ketika di SFD, Magika melalui proses akhir penggredan warna, adunan akhir audio (dolby surround 5.1) dan kine transfer.

Selain Norman Abdul Halim sebagai Penerbit Eksekutif Magika, turut berada di sana ialah Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim selaku pengarah yang sudah bersedia lebih awal menyambut kehadiran media massa di SFD. Kini, lagu tema Magika, Penyembuh Rindu nyanyian Mawi dan Diana Danielle sudah berkumandang menerusi rado Era sejak pertengahan bulan ini. Turut menyertai kumpulan wartawan berkenaan ialah Pengurus Saluran radio Era, Nazri Noran,

Wakil SFD yang memberi penerangan sepanjang sesi lawatan ke beberapa studio dan makmal SFD ialah Pengurus Pemasarannya, Thanapon Maliwan.

Gambar kiri, Kemunculan Maya, Ziana, Aznil dan Raja Azura sebagai pelaris. Gambar kanan, Ning Baizura diberi tanggungjawab sebagai Puteri Gunung Ledang.

Bersesuaian dengan genre filem itu sebagai muzikal pengembaraan pertama Malaysia, Magika menampilkan hampir 14 lagu baru yang semuanya ciptaan Edry. Lebih menarik, semua lagu berkenaan dinyanyikan sendiri oleh setiap pelakon tanpa menggunakan khidmat penyanyi profesional. Justeru, jika anda tidak pernah melihat aktor atau aktres kesayangan anda menyanyi sebelum ini, tapi menerusi Magika, mereka turut dikenali sebagai penyanyi!

"Magika adalah percubaan pertama KRU Studios menghasilkan filem muzikal pertama buatan Malaysia. Namun, ia bukan 100 peratus filem muzikal sebaliknya 50 peratus artis menyanyi, selebihnya berlakon. Magika bukan meniru filem Hollywood seperti High School Musical atau Mama Mia yang boleh dikategorikan 100 peratus filem muzikal.

"Justeru, kami mengundang wakil wartawan ke SFD supaya mereka menyaksikan sendiri proses akhir penghasilan sebuah filem di makmal. Biar mereka lebih memahami penerbitan sesebuah filem itu, selain mendapat pendedahan daripada segi teknikal. Pihak media akan mengetahui betapa rumit dan telitinya proses akhir sesebuah filem itu seperti adunan audio, kesan khas dan teknik imej janaan komputer atau CGI," kata Norman.

Katanya lagi, Magika melalui proses awal penggredan warna atau colour grading di KRU Studios dan apabila dibawa ke SFD, ia akan melalui sentuhan terakhir menggunakan peralatan berteknologi tinggi serta kepakaran tenaga kerjanya. Magika juga melalui proses audio premix di KRU Studios dan apabila dibawa ke Bangkok, ia akan melalui proses adunan terakhir dalam usaha menghasilkan bunyi dolby surround 5.1.

"Sari kata bahasa Inggeris Magika juga dihasilkan di studio kami di Setiawangsa dalam usaha mengurangkan kos penerbitannya di Bangkok. Proses yang dikenali sebagai kine transfer turut dilakukan menggunakan peralatan canggih di SFD apabila penggambaran Magika yang menggunakan format digital (hard disc) menggunakan redcam 4K dan perlu 'ditukar' atau diproses menjadi negatif filem 35mm.

"Setiap reel mengambil durasi masa tayangan antara 17 hingga 19 minit. Manakala keseluruhan filem ini mengambil masa tayangan selama 96 minit. Justeru, kira-kira lima atau enam reel diperlukan bagi sebuah filem Magika yang lengkap untuk ditayangkan kepada umum bagi kegunaan sebuah pawagam. Bayangkan kalau ia ditayangkan di lebih 60 pawagam, berapa 'print' yang harus dihasilkan untuk memenuhi keperluan berkenaan," katanya.

M Nasir turut memberi sumbangan kepada Magika.

Selain Magika, filem lain terbitan KRU Studios yang pernah menjalani proses akhir di SFD termasuklah Cicakman, Duyung, Cicakman 2 - Planet Hitam, Jin Notti dan My Spy (belum ditayangkan).

Kebanyakan filem terbitan produksi tempatan turut memilih SFD sebagai 'destinasi akhir' penerbitan filem mereka. Antara filem terbaru yang sedang dan baru selesai menjalani proses akhir penerbitannya di Bangkok termasuklah Evolusi KL Drift 2, Santau dan Senario Episode 2: Beach Boys.

Bercakap mengenai penceritaan Magika, Norman menambah, filem berkenaan sesuai untuk tontonan kanak-kanak dan remaja, justeru ia memerlukan publisiti lebih awal supaya mampu menarik minat ibu bapa atau keluarga membawa anak-anak ke pawagam.

"Magika adalah sebuah filem berbentuk kekeluargaan yang menyelitkan pantang larang orang Melayu terutama peringatan untuk anak-anak seperti jangan keluar rumah waktu senja dan jangan buang air kecil merata tempat sesuka hati. Filem ini juga dekat di hati penonton kerana ia kaya dengan nilai kasih sayang, cinta dan pengorbanan. Saya yakin, dalam tawa, penonton pasti menjiwai beberapa babak yang meruntun emosi," kata Norman.

Magika yang menggabungkan lebih 15 aktor dan aktres ternama pasti menjadi tarikan penonton ke pawagam, lebih-lebih lagi yang merindui lakonan Ziana Zain apabila memegang watak sebagai nenek kebayan vogue! Kaya dengan mitos dan kisah legenda Melayu, Magika menampilkan beberapa watak yang dekat di hati orang ramai seperti Badang, Bawang Putih Bawang Merah, Pak Pandir, Mak Mandir, Mahsuri, Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang dan Batu Belah Batu Bertangkup.

INFO: Filem Magika

JUDUL: Magika
GENRE: Muzikal Pengembaraan (pertama seumpamanya di Malaysia)
KONSEP: Mitos dan Legenda Melayu
PENGARAH: Edry Abdul Halim (filem sulung)
TEMPOH PENGGAMBARAN: Februari hingga pertengahan Mac 2009
LOKASI PENGGAMBARAN: Universiti Putra Malaysia (UPM); Putrajaya; Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong; Ulu Langat, Selangor; Tapah, Perak dan Lanchang, Pahang
PELAKON: Membabitkan lebih 15 artis popular, antaranya Mawi AF3, Diana Danielle, Fimie (Hikayat Putera Shazlan), Saiful Apek, Ziana Zain, Maya Karin, M Nasir, Datuk Jalaluddin Hassan, Ogy Datuk Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Raja Azura, Ning Baizura, Sharifah Amani, Sharifah Aleya, Norman Hakim, KRU, Nabil Raja Lawak dan Adibah Noor.
KOS PRODUKSI: Sekitar RM1.8 juta hingga RM2 juta, tidak termasuk promosi (Bayaran pelakon saja melebihi RM500,000)
LAGU TEMA: Penyembuh Rindu (duet Mawi bersama Diana Danielle)
PROSES AKHIR/KOS: Tujuh hari di Bangkok/Membabitkan bajet hingga RM400,000.
JANGKA TAYANG: Februari atau Mac 2010.

Nasir, Mawi kumpul dana

petikan Harian Metro 24 Oktober 2009

MENYEDARI banyak badan kebajikan memerlukan bantuan menyediakan infrastruktur untuk pelajar, Puteri Group of Companies dengan kerjasama Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH) akan menganjurkan majlis makan malam amal bagi mengumpul dana.

Selain meraikan anak yatim ATAH, majlis yang berlangsung di Grand Ballroom, Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, jam 8 hingga 11 malam pada 1 November ini diserikan dengan persembahan artis terkemuka tanah air iaitu M Nasir, Mawi dan Nash serta pendatang baru, Shazroul.

Sumbangan yang berjaya dikumpul pada malam amal itu akan disalur kepada beberapa badan kebajikan seperti Madrasah Al-Yamani, Kampung Baru bagi membina sebuah asrama perempuan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin, Padang Rengas, Kuala Kangsar (pembinaan surau), Baitul Mal Insaniah, Kuala Terengganu (menampung belanja operasi) dan ATAH (baik pulih asrama putera dan puteri).

Pihak swasta, kerajaan dan individu yang bermurah hati dialu-alukan menghulur sumbangan melalui tajaan meja jamuan dan sumbangan tunai.

Segala sumbangan hendaklah melalui cek berpalang di atas nama ATAH Edu & Services. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 03-21612382.

Jumaat, Oktober 23, 2009

Temu Bual Santai Bersama Sifu M.Nasir -KSMN (2006)

nota arkib : Temu bual santai ini berlangsung pada 19 November 2006 di Majlis Hari Raya Kelab Sahabat M Nasir (KSMN). Temu bual telah dikendalikan oleh rakan Saudagar dari KSMN iaitu Norhaidatul Azian. Ikuti temubual "santai" yang SM perolehi dari Facebook ini.

Atas permintaan Sahabat bernama ‘Azarudin’,saya menggeledah juga mencari transkrip sessi temu bual santai bersama Sifu M.Nasir lewat beberapa tahun dulu.Dalam timbunan nota nota dan buku buku yang menggunung..penat jugak menggeledah..haha.Ini merupakan majlis raya dalam Kelab Sahabat M.Nasir yang di adakan pada 2006 di Restoran Bora Ombak Kuala Lumpur.Dalam temu bual ini,kesempatan yang saya ada menjadikan saya lagi memahami akan metafora metafora perjalanan,melodi dan bahasa bahasa insan seni yang bernama M.Nasir.Ribuan terima kasih kepada Luncai Emas kerana atas tiket Kelab Sahabat M.Nasir yang ada,memberikan saya peluang,walau setitik.Ianya amat bermakna sepanjang saya ‘menyintai’ dan menyorot karya karya beliau.Jauh di sudut hati,dari mata hati saya memandang beliau tika temu bual ini berlangsung kesimpulannya beliau sangat menghargai dan menyayangi peminat peminatnya yang teguh menyokong akar perjalanan seninya selama ini,.

1)Bagaimana boleh tercetusnya idea Abg Nasir untuk menubuhkan ‘KSMN’ ini dan mengapa?

Ermm,rasanya macam hubungan antara peminat la,macam satu..lebih dari sekadar ‘beli album’.Macam manifestasi minat dia pada penyanyi dia dan penyanyi itu sendiri memberi balik,mcm ‘acknowledge’lah

2)Apakah sumbangan ‘KSMN’ dalam karier Abg Nasir dalam dunia seni?

Besar,besar…besar…(terharu,tergamam)..kerana daripada bila dia tu fans,dia ada macam sikap setia pada apa sahaja karya yang kita buat.kerja kita buat dan beri sokongan.Ianya perlu untuk orang macam saya.

3)Apakah objektif/matlamat yang Abg Nasir harapkan dalam penubuhan dan pembabitan ‘KSMN’ ini?

Saya punya objektif ialah kita berkembang sebagai kelab yang lebih daripada sekadar kelab sahabat tetapi menjadi satu kelompok yang bergerak sempena atau dengan memperingati M.Nasir,bergerak.. kelab macam NGO,bukan macam sekadar artis tetapi lebih kepada ‘persahabatan’,berkongsi pengalaman,ilmu atau apa sahaja.

4)Bagaimana ‘KSMN’ boleh berkembang lagi dari perspektif seni Abg Nasir?

Saya ingat di antara diorang tu harus lebih aktif,sering duduk macam berbincang nak buat apa,mungkin tanpa penyanyi itulah.Buat sesuatu yang lebih ‘high profile’.Buat semua orang sedar,buat sesuatu yang berani!

5)Bagaimana dengan peluang peluang ahli ‘KSMN’ dalam mengembangkan bakat mereka dalam seni dan bagaimanakah mereka boleh mencapainya di ‘KSMN’?

Baguslah,kalau ada yang mempunyai bakat.Dia sudah dekat dengan M.Nasir,dikira dekatlah…dan mendapat,diberi peluang yang lebih dari orang lain.Kalau dia bersungguh sungguh dia kena tunjukkan bakat dia.

6)Akhir kata,gambarkan ‘KSMN’ dari perspektif Abg Nasir dalam 3 perkataan?

Perspektif seni?(ketawa)…3 perkataan?uihh berat ni…(ketawa lagi),soalan punya susah…(ketawa lagi)..’KERANA MINAT M.NASIR’!..(ketawa)

Oleh Norhaidatul Azian Tajul Ariffin
-Kelab Sahabat M.Nasir-
2002-2009

Info tambahan : Dengan motto KSMN ‘Telunjuk Lurus Digalas Ibujari, Sahabat Tulus Mengasah Hatibudi’, Kelab Sahabat M Nasir (KSMN) mempunyai buletinnya sendiri iaitu ‘Koran Untuk Sahabat’ khas untuk ahli.
(kredit gambar: Norhaidatul Azian)

Jumaat, Oktober 16, 2009

Jual beli lagu menerusi Internet

petikan Harian Metro 16 Oktober 2009
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

PENJUALAN lagu secara digital sama ada menerusi Internet mahupun nada dering bukan perkara baru dalam bidang muzik tempatan dan antarabangsa. Berbeza dengan penjualan album yang belum mencatat jualan memberangsangkan, penggunaan digital turut menjadi sumber pendapatan kepada penyanyi serta komposer terbabit.

Melihat kepada potensi Internet sebagai platform penjualan lagu dengan meluas merangkumi perhubungan antarabangsa, satu portal muzik yang dikenali 2crank.com diperkenalkan. Portal ini yang boleh dilayari menerusi laman web di www.2crank.com menyediakan perkhidmatan muat turun dan muat naik lagu untuk dipaparkan kepada semua pengguna.

Komposer, Fauzi Marzuki yang bertindak sebagai perunding portal ini menyatakan matlamat membangunkan kemudahan ini untuk menarik minat ramai komposer sama ada profesional atau amatur untuk menjual dan membeli pelbagai lagu. Sejak diperkenalkan sebulan lalu, portal ini menarik minat lebih 1,500 ahli yang berdaftar.

Katanya, banyak kelebihan yang diperoleh menerusi portal ini apabila komposer berpeluang menjual lagu mereka kepada umum untuk meraih keuntungan manakala mereka yang berminat pada sesebuah lagu juga boleh membeli secara muat turun dengan mudah. Setiap lagu dikenakan bayaran AS$0.50 (RM1.80).

"Portal ini memudahkan pengguna untuk mencari lagu penyanyi yang mereka suka. Malah, peluang ini terbuka kepada komposer baru yang turut dikenali sebagai komposer indie untuk memasarkan lagu baru mereka kepada khalayak.

"Bagi menentukan sama ada lagu itu bukan ciplak, kami mempunyai empat mentor yang diketuai saya sendiri bertanggungjawab meneliti setiap lagu yang dimuat naik adalah karya asli. Mentor ini terdiri daripada komposer berpengalaman yang akan menentukan lagu itu boleh dijual atau sebaliknya.

"Sebenarnya lagu yang mengambil lapan bar pada melodi asal sesebuah lagu, ia masih boleh dianggap sebagai karya baru jika diadun semula dengan melodi lagu lain. Jika diikutkan komposer terkenal juga mengambil sedikit melodi lagu lain sebelum ia diolah mengikut kreativiti sendiri untuk mencipta lagu baru.

"Pada saya, tidak timbul soal ciplak lagu menerusi portal ini kerana jika ia berlaku, penjualan lagu itu akan diberhentikan serta-merta. Untuk satu lagu yang dimuat naik, ia akan terus dijual, tetapi mentor akan meneliti lagu berkenaan," katanya.

Berdasarkan kajian ketika proses merangka portal ini yang mengambil masa setahun manakala pembikinan perisian pula dibuat dalam jangka masa enam bulan, Fauzi mendapat respons positif daripada segelintir komposer indie yang berminat untuk memasarkan lagu mereka di portal ini. Katanya, setiap lagu yang dinyatakan dalam portal ini akan disenarai mengikut ranking yang mempunyai maklumat jumlah dimuat turun serta komen komposer mahupun syarikat rakaman yang berminat untuk membeli.

Fauzi menyatakan matlamat untuk menarik minat 50,000 ahli di seluruh dunia dalam tempoh setahun portal ini beroperasi manakala 10,000 ahli di negara ini untuk tempoh sebulan. Sebagai permulaan, portal ini mensasarkan pengguna dari negara Asia seperti Indonesia, China dan India.

Bagi M Nasir, dia menyokong pelaksanaan portal ini yang dijangka menarik lebih ramai komposer baru yang berbakat untuk menjual karya mereka. Katanya, dia juga berminat menghantar lagunya menerusi portal ini dan berharap ia menjadi platform pada pencarian lagu baru dengan lebih mudah.

"Portal ini mewujudkan peluang kepada ramai komposer untuk menjual lagu mereka. Apa yang kita lihat, Internet menjadi medium untuk pengguna mendapatkan lagu dengan mudah.

"Ini menjadi percubaan yang bagus untuk perkembangan bidang muzik tanah air. Mungkin juga komposer berpeluang mendapat untung lebih menerusi penjualan lagu sebegini.

"Sama ada lagu itu bermutu atau tidak, itu bukan soalnya. Apa yang penting, makin banyak lagu dalam portal ini ia memberi kemudahan kepada sesiapa untuk mendapatkannya termasuk mencipta album dengan cepat.

"Saya berharap portal ini memberi galakan kepada komposer baru yang berminat untuk berkarya," katanya.

Pandangan yang sama dikongsi komposer Johan Nawawi yang berharap portal ini tidak disalah guna pihak tertentu untuk mengambil karya komposer lain sebagai karya sendiri. Katanya, komposer harus menunjukkan kreativiti sendiri untuk mendapatkan lagu yang berkualiti.

"Sepatutnya portal ini dimanfaat dengan baik dan digunakan dengan bijak. Saya percaya ramai komposer berminat untuk turut serta dan ini memberi keuntungan pada kedua-dua pihak sama ada komposer dan pengendali perisian ini," katanya.

Pelancaran portal berkenaan diadakan di Bentley Music, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Rank Production merangkap pengasas 2crank.com, Mohamad Hazmi Yacob

Sabtu, Oktober 10, 2009

Nostalgia filem 90-an

petikan Utusan Malaysia 9 Oktober 2009

M. NASIR dan Noraini Hashim berlakon sebagai anak dan emak dalam filem Balada.

KEJAYAAN filem-filem Melayu di pawagam yang berjaya mencapai kutipan box-office sejak tahun 90-an ternyata mengembalikan keyakinan ramai penonton untuk berkunjung ke pawagam.

Disusuli oleh pelbagai anugerah dalam beberapa festival filem tempatan mahupun serantau membuktikan karya filem tempatan tidak hanya di takuk lama.

Memberi penghormatan kepada beberapa filem yang mencatat sejarah dalam industri perfileman tempatan, Astro Citra (saluran 131 Astro) bakal menayangkan beberapa siri filem sepanjang Oktober ini.

Bersiaran setiap Sabtu pukul 9 malam, antara filem yang bakal mengisi tema Nostalgia 90-an sepanjang Oktober ini termasuklah Balada (17 Oktober), Cinta Metropolitan (24 Oktober) dan Queen Control (31 Oktober).

Karya Malaysia bakal membawakan tema yang berlainan pada setiap bulan.

"Tahun 90-an adalah zaman kebangkitan semula filem Melayu, dengan kemunculan ramai bakat baru, nilai produksi lebih bermutu dan kejayaan pecah panggung yang lebih besar.

"Kami mahu pelanggan kami menghargai dan menghayati beberapa filem yang memberi kesan besar kepada industri filem Malaysia," kata Pengurus Saluran Astro Citra, Sharlyza Alus Sharkawi.

Filem Balada menampilkan Fauziah Ahmad Daud yang melakonkan watak seorang gadis kampung yang berani dan cuba mempertahankan warisan bapanya.

Cinta Metropolitan pula menampilkan tiga beradik KRU iaitu Norman, Yusry dan Edry dalam filem komedi romantik yang berlatarkan perniagaan wang palsu.

Manakala filem Queen Control pula dijayakan oleh Raja Ema yang memegang watak sebagai seorang isteri yang kuat cemburu dan sering mengongkong suami. Pelakon lain yang turut membintangi filem tersebut ialah Jalil Hamid dan Lorna Abdullah.

Turut mengisi takwim Astro Citra sepanjang Oktober ini ialah filem-filem seram dari Indonesia dalam slot Seram Sabtu yang bersiaran setiap Sabtu pukul 10.45 malam.

Filem-filem tersebut ialah Hantu (10 Oktober), Suster Ngesot The Movie (24 Oktober) dan Roh The Evil Spirit (31 Oktober).

Untuk tayangan perdana, Astro Citra membariskan tiga filem iaitu Histeria (4 Oktober), Jin Hutan (25 Oktober) dan Budak Kelantan (11 November) yang bersiaran menerusi slot Blockbuster Ahad, setiap Ahad pukul 9 malam.

Sepanjang Oktober, slot Suatu Ketika… Korban 44, merangkumi lapan episod yang memulakan siarannya pada 7 Oktober lalu bersiaran setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam.

Slot-slot lain yang turut bersiaran di Astro Citra ialah Senyum Isnin yang bersiaran setiap Isnin pukul 9 malam, Pentas Asean (Selasa, 9 malam), Aksi Citra (Rabu, 10 malam), Teater Oriental (Khamis, 10 malam) dan Dunia Citra (Jumaat, 9 malam).