"Melukis pada awalnya adalah sesuatu kemahiran semula jadi tanpa apa-apa kesedaran yang besar. Fasinasi padanya bertambah bila terdedah dengan karya-karya agung renaissance seperti karya Leonardo Da Vinci dan Michelangelo dan karya-karya moden seperti lukisan-lukisan Picasso dan Van Gogh. Tidak lebih dari hanya terpesona dengan keindahan karya-karya itu. Kenaifanku terkikis sedikit demi sedikit setelah menyeberang ke Nanyang Academy of Fine Arts pada tahun 75 di mana melukis setiap garis, bentuk, warna dan tekstur dituntut memberi makna. Cahaya, bayang, perspektif, keseimbangan dan harmoni serta komposisi, ruang dan rasa tidak dibebaskan dari semestinya ada. Dengan mengikuti perkembangan seni semasa dan membuka diri pada penemuan-penemuan aku buka pintu-pintu yang harus ku buka satu demi satu.
Aku menambah kemahiran melukis dan memahiri kegunaan medium arang, cat minyak, cat air dan juga kemahiran seni arca. Pernah aku melanggar adat dengan ikut pameran dengan kerja-kerja yang naïf hanya untuk pengalaman pameran,dalam masa yang sama memberi pelajaran teknik lukisan batik pada peminat-peminat lukisan itu yang kebanyakannya pelancong luar negeri.
Kini aku sedang bekerja membongkar bentuk-bentuk yang dipanjangkan oleh minda sehingga ia menjangkau sempadan yang kita kenal untuk mengetahui adakah bentuk-bentuk yang kita tidak pernah kenal lagi atau semua itu pernah kita kenal suatu masa dulu."
- Dato M Nasir
Tanda solo art show
10th of August Tapak Shah Alam