Jumaat, Januari 23, 2015

Doa langit dan bumi anak seni

petikan Kosmo! 23 januari 2015



DARI kiri: Datuk Hattan, Datuk M. Nasir dan Datuk Ramli Sarip bergabung tenaga di pentas yang sama demi mengumpul dana untuk mangsa banjir.

Menyaksikan sendiri penderitaan mangsa banjir ketika turun padang memberi bantuan bersama sukarelawan Ambank di Kuala Krai, Kelantan baru-baru ini memberi kesan yang mendalam buat penyanyi Datuk Ramli Sarip.

Jiwanya tersentuh apabila melihat kesukaran hidup yang terpaksa dihadapi mangsa banjir. Bermula saat itu, penyanyi rock tersebut tidak henti-henti berfikir cara untuk menghulurkan bantuan kepada mereka mengikut kemampuannya.

Ramli menerusi syarikatnya, Rasamusic Sdn. Bhd. memberi idea untuk mengadakan sebuah konsert amal yang diberi nama Konsert Doa Langit dan Bumi kepada beberapa pihak dan rancangan itu disambut baik oleh pihak AmBank yang sudi menaja kos produksi, pemasaran dan promosi konsert, manakala pihak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menanggung kos lokasi konsert tersebut.

Bertemu dengan Ramli pada majlis sidang akhbar Konsert Doa Langit dan Bumi di Tanjung Lounge, PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau mengakui lega kerana rancangannya untuk mengadakan konsert tersebut dipermudahkan apabila rakan artis seperti Datuk M. Nasir, Datuk Hattan, Awie dan Ella serta pemuzik profesional yang diundang bersetuju untuk turut serta tanpa bertanyakan soal bayaran.

“Saya cukup terharu apabila rancangan saya untuk mengadakan konsert amal bagi mengumpul dana untuk mangsa banjir mendapat sambutan pelbagai pihak, termasuk rakan artis dan juga pemuzik.

“Mereka terus bersetuju untuk melakukan misi ini sewaktu saya hubungi, tanpa bertanya tentang bayaran. Saya sedar pendapatan penyanyi diperoleh menerusi persembahan pentas dan apabila mereka tidak berkira tentang bayaran, bermakna mereka ikhlas. Perkara itu yang membuatkan saya cukup terharu,” kata Ramli.

Disoal apakah yang membuatkan hatinya terbuka untuk berusaha mengadakan konsert amal itu meskipun sedar ia bukan suatu hal yang mudah, apatah lagi membabitkan kos yang tinggi, jawab Ramli, semangat kemanusiaan menyebabkan beliau rasa terpanggil untuk menyumbang sesuatu kepada mangsa banjir yang terjejas.

“Sepuluh tahun lalu saya pernah melawat Aceh selepas tsunami melanda. Perasaan melihat mayat bergelimpangan di tepi jalan masih kekal dalam ingatan saya. Tahun ini, saya berpeluang melawat kawasan terjejas banjir paling kritikal di Kuala Krai, Kelantan. Perasaan yang hadir itu sama seperti sewaktu saya berada di Aceh dulu.

“Walaupun tidak melibatkan korban yang besar, namun derita yang terpaksa ditanggung cukup tinggi untuk membina kembali kehidupan mereka yang musnah. Melihat di kaca televisyen sahaja telah membuatkan hati penonton sedih, apatah lagi saya yang berada di lokasi kejadian.

“Jujurnya, sebagai anak seni, saya tidak mempunyai wang yang banyak untuk dihulurkan kepada mereka. Kepakaran saya hanyalah muzik, jadi menerusi muzik saya cuba untuk mengutip dana. Sambil berhibur, hasil kutipan tiket itu akan diserahkan kepada mangsa banjir di sekitar Kelantan, Pahang dan Perak,” ujar Ramli tentang konsert yang bakal berlangsung pada 22 Februari depan di Dewan Merdeka, PWTC pada pukul 2.30 petang.

Bercerita tentang perjalanan konsert, kata Ramli, ia masih dalam peringkat perbincangan. Bagaimanapun, setakat ini, setiap penyanyi yang terlibat bakal menyanyikan sekurang-kurangnya empat buah lagu.

KONSERT Doa Langit dan Bumi mendapat kerjasama daripada badan korporat, PWTC dan AmBank serta anak seni. Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah, Hattan, Ramli Sarip, M. Nasir dan Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan Ambank Group, Syed Anuar Syed Ali.

Selain itu, Ramli turut menegaskan bahawa konsert amal itu cukup unik kerana menggabungkan barisan penyanyi yang mempunyai pengaruh yang besar dalam industri muzik tempatan.

“Sungguhpun ini sebuah konsert amal untuk mangsa banjir dan berkonsep kemanusiaan, penonton yang hadir harus dihiburkan dengan sebuah persembahan yang berbaloi. Setiap penyanyi mempunyai barisan lagu popular yang banyak, cuma yang tinggal, memilih lagu yang sesuai untuk konsert tersebut,” tuturnya mengenai konsert yang mengenakan bayaran sebanyak RM153 seorang.

Tambah Ramli, jika ada penyanyi lain yang berminat untuk turut serta dalam konsert tersebut, beliau berharap mereka boleh memberi sokongan dengan membeli tiket sebagai penonton. Bukan menolak bantuan penyanyi lain tetapi beliau enggan membuatkan konsert itu bercelaru dan lari daripada konsep asal.

“Jika terlalu ramai penyanyi yang buat persembahan dalam masa dua jam setengah, konsert itu akan bercelaru kerana masa terlalu pendek. Rasanya cukup dengan senarai penyanyi yang sedia ada. Mereka semua nama besar dan ada peminat yang ramai. Tidak rugi untuk hadir melihat mereka menyanyi secara langsung di atas pentas yang sama.

“Kalau ada penyanyi yang berniat untuk turut serta, boleh beri sokongan dengan membeli tiket konsert,” luah Ramli yang akan berduet dengan Hattan dalam sebuah lagu pada konsert itu.

Hattan turun padang

Penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan, Hattan, memberitahu, beliau tidak berfikir panjang apabila ditawarkan oleh Ramli untuk terlibat dalam konsert amal itu.

Katanya yang juga turun padang sebanyak tiga kali untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir, tawaran konsert itu merupakan peluang keemasannya untuk meringankan beban mangsa banjir.

“Sebagai penyanyi, ini salah satu cara yang kami boleh buat untuk membantu mereka. Mungkin ada pihak yang menderma secara langsung dan ada yang ke lokasi banjir tetapi saya melihat konsert ini, selain untuk mengumpul dana, ia boleh menjadi pemangkin untuk menaikkan semangat kemanusiaan rakyat Malaysia. Apa yang penting, niat kami, barisan artis dan penonton yang hadir adalah untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir,” jelas Hattan.

Berkongsi pengalaman menghantar bantuan banjir di dua kawasan terlibat iaitu di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu dan Temerloh, Pahang, Hattan menyifatkan ia sebagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang hidupnya.

“Kali pertama saya pergi ke Kampung Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu untuk menghulurkan bantuan. Selepas itu, saya demam dua minggu. Walaupun begitu, saya tetap teruskan untuk menghantar bantuan di kawasan yang sama buat kali kedua selepas banjir surut untuk membantu membersihkan Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah.

“Hati saya tersentuh apabila melihat pelajar-pelajar sekolah bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Kata mereka, membersihkan sekolah kerana banjir sudah menjadi rutin tahunan mereka.

“Tiada istilah cuti penghujung tahun untuk mereka kerana kawasan itu setiap tahun dilanda banjir, sedangkan pelajar seusia mereka di tempat lain mungkin sedang seronok bercuti sempena cuti persekolahan.

“Kali ketiga, saya turun ke kawasan banjir di Temerloh, Pahang. Di sana, saya bertemu dengan seorang mak cik. Kata-katanya yang menyentuh perasaan ialah, ‘hutang kerusi lama belum habis, sekarang dia kena buat hutang yang baharu pula’.

“Mak cik itu berkata demikian sambil memegang satu-satunya kerusi yang masih elok di rumahnya selepas banjir. Kita yang tidak terlibat dengan banjir dapat tidur, makan dan pakai dengan selesa, sedangkan mereka, ada yang rumah pun hilang entah ke mana,” tutur Hattan yang menghulurkan bantuan secara persendirian.

M. Nasir prihatin

Penyanyi, pelakon dan komposer terkenal, M. Nasir meluahkan rasa syukur apabila diberi kesempatan untuk sama-sama terlibat dalam sebuah konsert amal bagi mengumpul dana bantuan pasca banjir.

Atas dasar prihatin, beliau yang menjadi orang pertama yang dihubungi Ramli untuk menjayakan konsert amal tersebut, tidak berfikir panjang untuk memberi persetujuan.

“Konsert amal ini idea yang bagus daripada Ramli. Apabila beliau menghubungi saya, atas dasar prihatin dengan malapetaka yang melanda negara, saya bersetuju untuk sama-sama meringankan beban mangsa banjir.

“Mungkin bantuan yang dihulurkan tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya semangat untuk membantu satu sama lain itu masih menebal dalam diri rakyat Malaysia termasuk golongan seni.

“Saya tidak pergi melawat tempat banjir seperti mana orang lain, jadi ini antara bantuan yang boleh saya hulurkan kepada mereka menerusi muzik,” jawab M. Nasir.

Apabila disoal adakah beliau pernah melalui pengalaman dilanda banjir, kata penyanyi lagu Apokalips itu, kediamannya yang terletak di Paya Jaras, Selangor pernah beberapa kali dilanda banjir beberapa tahun lalu. Disebabkan itu, beliau memahami keperitan hidup yang terpaksa dilalui mangsa banjir.

“Walaupun banjir di kawasan rumah saya hanya sampai tinggi lutut sahaja tetapi tetap menjejaskan kehidupan seharian saya dan keluarga. Pengalaman mengharungi air yang tidak diketahui tahap kebersihannya untuk selamatkan barang-barang dan kerisauan air naik dengan mendadak semuanya sudah saya rasai.

“Mungkin pengalaman saya tidak seteruk mangsa banjir di Pantai Timur tetapi saya memahami apa yang dilalui mereka. Sekarang ini, kawasan rumah saya tidak lagi dilanda banjir selepas sistem perparitan dibaiki,” ujar M. Nasir.