Sabtu, Oktober 11, 2025

Filem Pembukaan Rasmi GenAI untuk Konsert “Cipta 3” oleh Dato’ M. Nasir

sumber Youtube 

Sebuah perjalanan sinematik melalui mitos, muzik dan legasi yang diolah semula menerusi kecerdasan buatan generatif (Generative AI).
Dalam filem ini, hentaman meteor menandakan lahirnya seorang legenda. Dari nyalaan api, seorang pandai besi menempa sebilah keris — melambangkan perjalanan kreatif Dato’ M. Nasir sendiri: seni membentuk kekacauan mentah menjadi karya abadi.
🎀 Suara latar: Dato’ M. Nasir
πŸŽ₯ Dihasilkan oleh: Vision Machina
🧠 Aliran kerja AI: Model watak LoRA tersuai, gaya sinematik terlatih melalui rangkaian ComfyUI
⚙️ Produksi: Gabungan media campuran AI, pemindahan pergerakan (motion transfer) dan kesan visual (VFX) bagi menghasilkan realisme emosi
Di Sebalik Tabir Filem
Projek ini menolak sempadan pembuatan filem generatif, menggabungkan persembahan watak sebenar, ketulenan suara latar dan penceritaan sinematik. Setiap bingkai dijana menggunakan aliran kerja sinematik LoRA tersuai kami, direka untuk mencapai realisme setaraf sinema bagi tayangan skrin gergasi konsert tersebut.
Kredit
Pengarah & Penerbit Filem AI Utama – Donavan Ratnasingam
Pembikin Filem AI & Penyelaras Produksi – Luke Ratnasingam
Penyelia VFX / Pengarah Teknikal – Kevin Pinga
Jurutera Aliran Kerja AI Generatif – Hafiz Ahmad
Fotografi Bakat – Fred
Suara & Watak – Dato’ Dr. Haji M. Nasir
Reka Bunyi – Dato’ Dr. Haji M. Nasir
Penasihat Kreatif – Bimal
Studio – Vision Machina

Rabu, Oktober 08, 2025

M Nasir deklamasikan puisi khas sempena Himpunan Solidariti Bersama Gaza

petikan Utusan Malaysia 8 Oktober 2025

oleh - Siti Athirah Dzulkifly

BUKIT JALIL: Penyanyi terkenal, Datuk M. Nasir membuat kemunculan istimewa di pentas Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang berlangsung di Axiata Arena, malam tadi.

Meastro terkenal negara itu menghadiri ke majlis tersebut dengan menyampaikan sebuah puisi bertemakan keinsafan dan kemanusiaan.

“Jika kita lupa siapa kita, hadapan kita adalah cermin.

“Kita bisa lihat wajah-wajah yang seakan hidup dan seakan mati. Mungkin kita sukar mengenal wajah-wajah sendiri.

“Menyalaklah sekuat hati, merintih lah sepedih-pedihnya. Lihatlah lagi pada cermin itu dan bertanya pada manusia di dalamnya. Inilah masanya aku menunjukkan taring dan kuku ku, menyiat-menyiatkan perompak kebenaran?” luahnya.

Dalam masa yang sama, M.Nasir juga secara spontan mendendangkan lagu ketuhanan yang dipopularkan olehnya iaitu ‘Di Balik Cermin Mimpi’.

Untuk info, himpunan tersebut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anuar Ibrahim.

Selain itu, sebahagian delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusian Global Sumud Flotilla turut hadir, antaranya PU Rahmat, Ardell Aryana, Farah Lee, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.

Sabtu, Oktober 04, 2025

Jiwa Rock Opera Hidup

Oleh: Saudagar Mimpi  yang melaporkan dari Axiata Arena, Bukit Jalil

REVIEW
KONSERT DATO’ M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock 
Tarikh: Sabtu, 27 September 2025 
Lokasi: Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur


Malam minggu yang lalu, Axiata Arena Bukit Jalil bergema semula dengan muzik ciptaan sifu M Nasir. Konsert DATO’ M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock. Konsert yang membuktikan muzik rock tidak pernah mati dalam tubuh dan jiwa Datuk M. Nasir, mahupun di jiwa-jiwa peminat yang membanjiri arena.

Konsert anjuran Icon Entertainment ini (dengan Etiqa sebagai rakan strategik utama) dikatakan bukanlah penutup trilogi CIPTA, tetapi dalam masa yang sama, ia adalah kesinambungan perayaan muzik rock yang masih bernafas di Malaysia.

Sejak petang di Axiata Arena, beribu-ribu peminat rock “sejati” dan acah acah rock datang dengan dress code “Rock Cara Lu… Janji Rock”. Aku tengok ada yang berjaket kulit, seluar koyak, ber"jeans",  t-shirt rock, berbaju batik pun ada, semua hadir penuh semangat.

Petikan gitar Aznan menjadi signal frekuensi muzik rock konsert bermula. Sifu M. Nasir membuka pentas dengan muncul dari platform mini macam ‘watak hero Indiana Jones versi AI’.  Set lagu rock yang mencengkam perasaan seperti lagu Isi dan Kulit, Musnah, Jerangkung Dalam Almari,  Pembakar Perasaan dan Opera Hidup menyalakan api semangat untuk berkonsert.. Lagu rock yang diiringi pyro api pentas buat aku terasa bahang konsert secara harafiah. Kalau duduk depan lagilah terasa panasnya konsert ini.

Style sifu malam tu santai je, tak terlalu ranggi, tapi steady dengan kemeja-T putih, seluar hitam, dan yang paling ikonik — kain pelikat berwarna merah yang distailkan ala tartan Scottish. Kata Sifu, itu kerja Fatimah dengan konsep stailo pak haji!.

Berikut adalah ranking aku buat berdasarkan beberapa aspek konsert ini

RANKING ASPEK KONSERT

Setlist πŸŽΈπŸŽΈπŸŽΈπŸŽΈ


Padu! Walaupun 10 lagu terpaksa diketepikan daripada lebih 40 judul asal kerana nak pendekkan durasi, 32 lagu yang dipersembahkan (31 lagu + Sentuhan Listrikmu sebagai bonus) sangat komprehensif. Persembahan merangkumi rock 80an/90an, balada puitis, dan imbauan lagu lagu Kembara. Bayangkan kalau ada dimasukkan lagu ballad rock penting yang tiada dalam setlist iaitu lagu Sejati (angan angan aku jer ni - dengan penampilan Joe Branko) & ada lagu Nurnilam Sari aku akan terus bagi 5 🎸 sambil pejam sebelah mata!

Setlist mengikut turutan

Segment 1

Set Heavy Rock 

Medley

-Isi Atau Kulit (Search)

-Musnah (Search)

-Jerangkung Dalam Almari (Wings)

-Pembakar Perasaan (Search)

-Opera Hidup (Wings)

Apa Lagi


Segment 2

Laila Namamu Teratas (Search)

Srikandi Cintaku (Bloodshed)

Medley Kembara Seniman Jalanan

-Jiwa Jiwa Luka (Search)

-Rupa Tanpa Wajah (Kembara)


Segment 3

Medley Akustik 

- Pertama Dan Selamanya (Ariwatan)

-Rendang Tak Berbuah (Hattan)

-Mahligai Syahdu (Hattan)

-Falsafah Cinta

-Di Bayang Awan (Awie)

-Ukiran Jiwa (Awie)

-Meniti Titian Usang (Search)

Di Jalan Sesat

Medley

-Kau Ratnaku (Roy)

-Hipokrasi (Rahim Maarof)

Aku Dah Bosan (Amy)


Segment 4

Cinta Sepi (Search)

Saat Ku Idamkan (Amy)

Gemuruh (Search/Wings)


Segment 5

Impian Seorang Nelayan (Kembara)

Medley 

-Perjuangan (Kembara)

-Hati Emas (Kembara)

-Gerhana (Kembara)

-Duit (Kembara)

---- Cabutan Tiket Pemenang Harley Davidson πŸŽŸ️ ----

Penutup

Apokalips

Pawana (Search)

Bonus - Sentuhan Listrikmu


Atmosfera Konsert & Tenaga Peminat 🎸🎸🎸🎸🎸

Roh Rock Menjalar! Arena Axiata gegak gempita dengan sorakan dan singalong. Peminat hadir dengan dress code “Rock Cara Lu…”. Lagu lagu sing-along contohnya lagu Mahligai Syahdu, Rendang tak Berbuah memang buat satu dewan jadi sesi karaoke  tanda connection antara Sifu dan crowd memang power.

Stamina Persembahan Sifu & Kekuatan Gong 🎸🎸🎸🎸

M. Nasir pada usia 68 tahun menunjukkan persembahan yang masih bertenaga dan penuh aura. Ada masa beliau tak sempat habiskan lirik tapi sudah disambut nyanyian penonton yang menyanyi bersama. Beliau masih mampu bergerak cergas dan menyanyi dari depan pentas yang curam ke pentas utama tanpa masalah.

Gandingan pemuzik mantap dalam Gong memang tidak boleh dinafikan lagi. Keserasian mereka tidak dapat dinafikan – Aznan Alias (gitar),  Rafi Mohd (gitar) , Norman Abdullah (bass), Firdaus (keyboard), Eddie Slam (keyboard), Ujang (drum), Pa’ang dan Awe (perkusi), Mohar (seruling) serta penyanyi latar – Eja, Juanita, Sutan Yuaz, Awe Azran dan Widdy. Gandingan ini mewujudkan pengalaman yang tidak sekadar didengar, tetapi dirasakan


Konsep & Kejutan Pentas 🎸🎸🎸

Konsep rock sepenuhnya ini memang lain daripada siri CIPTA sebelumnya. Kemunculan awal dari platform mini di bawah pentas utama dan imej beliau dengan kain pelikat merah yang digayakan seperti tartan Scottish memang rare!

Konsep Rock dengan memasukkan elemen nusantara seperti gendang, tabla, perkusi, dan seruling dalam irama rock mungkin adalah trademark rock nusantara. Ini membuktikan beliau sentiasa mengevolusikan muziknya agar tidak statik, selaras dengan falsafah beliau untuk menusantarakan muzik dan menjadikannya lebih rugged. 

Lagu Kau Ratnaku yang asalnya untuk brader yang pakai slack diubah menjadi versi yang lebih rugged untuk yang pakai dungaree.  Muzik Sifu memang melangkaui genre!

Kejutan akhir bagaikan menjawab permintaan untuk dimasukkan lagu “Mari Berdangdut”, lagu rock penutup Pawana telah dikoplo-kan (dangdut rock Indonesia)! 

Ini satu yang tak dijangka untuk final act. Janji Dangdut….jadi layan je lah!

Bunyi, Pencahayaan & Visual 🎸🎸🎸🎸

Sound konsert kali ini ada masa best tapi ada masa seperti kurang “kick”. Contoh sound gitar semasa lagu heavy seperti Jerangkung Dalam Almari yang mana bunyi gitar kurang jelas. Video kiri kanan pula ada masa kurang bercerita dalam konsert kali ini. Kalau ada solo gitar ke, solo keyboard ke sekali sekala zoom la kepada pemuzik Gong. Kami nak jugak tengok gitar hero dalam Gong! Rock dan gitar berpisah tiada brader!

Stage lighting pula patut diberi pujian, memang menarik dan spot on. Lihatlah warna bendera Palestine ini  sama seperti lampu di arena. Pyro juga agak sesuai dengan konsep. Stage graphic untuk lagu Rendang Tak Berbuah dengan backdrop pohon gergasi memang puitis dan mengagumkan.

Momentum Konsert 🎸🎸🎸

Memetik lontaran sifu diatas pentas semasa segmen ini, “konsert saya tak macam ini”, segmen cabutan bertuah Harley Davidson yang bernilai RM114,000 sedikit sebanyak mengganggu mood dan momentum konsert dan memakan masa yang agak lama.  Segmen cabutan bertuah motosikal Harley Davidson, walaupun gilang-gemilang dan menarik perhatian, ia sedikit sebanyak bagi aku  merencatkan klimaks emosi yang sedang dibina oleh segmen lagu-lagu Kembara (Impian Seorang Nelayan, Hati Emas, Gerhana, Duit). Dah elok-elok penonton nak beronggeng rock, tiba-tiba kena tengok lucky draw lama-lama, memang potong stim la brader. 

Gangguan kedua adalah  penjagaan paparan lirik (lyric prompter) ada masa kurang memuaskan, tersalah dan lambat  menyebabkan aku lihat Sifu dan peminat tercari-cari lirik beberapa kali. Walaupun melodi M. Nasir mudah lekat di kepala, peminat sendiri memerlukan prompter untuk lirik lagu yang begitu banyak. Terutama lagu lagu yang tak berapa nak hafal.  Ini perlu diperbaiki pada konsert akan datang.

ANALISIS JUMLAH DAN SENARAI LAGU (32 Judul)

Secara keseluruhan, Dato’ M. Nasir mempersembahkan 32 judul lagu (termasuk Sentuhan Listrikmu sebagai lagu bonus/tambahan). Konsert ini ternyata merupakan penghormatan dan terjemahan semula kepada muzik rock yang dihasilkan oleh beliau. Majoriti lagu untuk Cipta 3 datang dari album rock yang beliau cipta untuk kumpulan atau artis lain.

Karya Ciptaan untuk Artis Lain (Fokus Rock) 

21 lagu (65.6%)

Isi Atau Kulit (Search), Musnah (Search), Jerangkung Dalam Almari (Wings), Pembakar Perasaan (Search), Opera Hidup (Wings), Laila Namamu Teratas (Search), Srikandi Cintaku (Bloodshed), Jiwa Jiwa Luka (Search), Pertama Dan Selamanya (Ariwatan), Rendang Tak Berbuah (Hattan), Mahligai Syahdu (Hattan), Di Bayang Awan (Awie), Ukiran Jiwa (Awie), Meniti Titian Usang (Search), Kau Ratnaku (Roy), Hipokrasi (Rahim Maarof), Aku Dah Bosan (Amy), Cinta Sepi (Search), Saat Ku Idamkan (Amy), Gemuruh (Search/Wings), Pawana (Search).

Dari Album Solo M. Nasir

5 lagu  (15.6%)

Apa Lagi (Sang Pencinta), Falsafah Cinta (S.O.L.O), Di Jalan Sesat (Saudagar Mimpi), Apokalips (Saudagar Mimpi), Sentuhan Listrikmu (Canggung Mendonan)

Dari Album Kembara

6 lagu (18.8%)

Rupa Tanpa Wajah, Impian Seorang Nelayan, Perjuangan, Hati Emas, Gerhana, Duit.

Lagu Hipokrasi (Rahim Maarof), Pertama Dan Selamanya (Ariwatan) tiada dalam setlist yang dikongsi dalam promosi konsert. Rasanya lagu ini asing bagi kebanyakan penonton yang menyebabkan graf momentum konsert+karaoke ini menjadi landai seketika. 

Konsert ini berbeza daripada siri CIPTA sebelumnya, dengan fokus berat kepada karya-karya rock ciptaan untuk band-band terkenal, yang menjadikan persembahan ini umpama 'keraian dalam dunia rock'.

Konsert ditutup dengan penuh simbolik melalui lagu Apokalips dan diikuti dengan kejutan Pawana versi dangdut koplo (dangdut rock Indonesia). 


LEGASI JENAMA CIPTA

CIPTA tidak berakhir dengan Dato’ M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock. Konsert ini merupakan testimoni kepada M. Nasir sebagai sifu dan tukang tempa penting yang membentuk acuan muzik rock negara.

Difahamkan Icon Entertainment, Iman Tang, telah merancang siri konsert seterusnya, iaitu N47IR dan N48IR. Perancangan ini akan memuncak dengan konsert terbesar dan terakhir pada ulang tahun ke-50 M.Nasir dalam bidang seni. 

“Perjalanan seni saya ada naik dan turun. Ia bergelombang. Perjalanan secara keseluruhan itu memang indah kerana ia ciptaan Tuhan. Dalam sengsara pun ada keindahannya; ada banyak drama yang harus saya tempuhi.” – M. Nasir

Bagaikan pentas opera, perjalanan seni muzik seorang seniman seperti beliau bukan sekadar untuk menghibur, tetapi untuk memberi makna pada setiap degup karya ciptaanya. Selagi ada suara, jiwa dan semangat, legasinya yang akan terus menyala, selagi ada generasi yang tidak membiarkan apinya padam.

Metamorfosis M Nasir

petikan Berita Harian 4 Oktober 2025

Oleh Farihad Shalla Mahmud 

Konsert Cipta 3 sekali gus membuktikan ia bukan sekadar persembahan pentas, tetapi dokumentasi perjalanan seni M Nasir sebagai komposer, penyanyi dan maestro muzik Malaysia. Foto NSTP/Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Empat siri konsert di bawah jenama Cipta yang digerakkan Datuk M Nasir sepanjang setahun menjadi bukti mutlak bahawa karyanya bukan sahaja malar segar, malah terus berakar kukuh di hati penonton dari generasi ke generasi.

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, rangkaian konsert itu menyaksikan transformasi M Nasir daripada seorang seniman serius penuh falsafah kepada figura yang mampu berjenaka, melontar gurauan spontan dan berinteraksi dengan penonton secara mesra.

Malah, fesyen yang digayakan turut memperlihatkan sisi baharu M Nasir iaitu lebih terbuka, berani dan moden sekali gus menyuntik warna segar kepada perjalanan seninya yang tidak pernah statik.

Jika konsert Dato M N45IR Cipta, Dato M N46IR Cipta 2 dan Dato M N46IR Cipta Raya meraikan sisi berbeza seorang maestro, konsert Dato M N46IR Cipta 3 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu ibarat membawa penonton pulang ke akar seni seorang legenda.

Dengan konsep 'Malam Ini Gua Rock', ribuan peminat membanjiri lokasi berprestij itu. Peminat datang dengan satu tujuan, iaitu mengimbau kembali zaman keemasan 'rock kapak' yang tidak mungkin dipisahkan daripada sentuhan emas M Nasir sebagai komposer dan pencipta.

Setiap alunan bukan sekadar nostalgia, tetapi bagaikan mesin masa yang membawa penonton mengembara ke dekad 1980-an dan 1990-an.

Malam penuh energi itu memperlihatkan bagaimana muzik 'rock kapak' yang suatu ketika dahulu menguasai industri muzik, masih hidup segar dengan roh dan jiwa sama meskipun zaman sudah berganti.

Deretan lagu ikonik ciptaan M Nasir yang pernah melonjakkan nama kumpulan lagenda seperti Search dan Wings bergema di segenap ruang stadium.

Antara yang mencuri perhatian termasuk Isi Atau Kulit, Musnah, Jerangkung Dalam Almari, Pembakar Perasaan, Opera Hidup dan Gemuruh. Semuanya dipersembahkan dengan susunan muzik baharu, namun, masih mempertahankan roh rock kapak yang sejati.

Sorakan penonton tidak pernah putus. Ada yang berdiri, menghayun tangan, malah ramai yang menyanyi beramai-ramai hingga suasana bertukar menjadi seolah-olah satu kumpulan koir gergasi.

Lebih mengujakan, M Nasir tampil dengan sisi berbeza apabila lebih santai, bersahaja dan dekat dengan peminat. Gurau senda spontan dan interaksi mesra serta menambah warna kepada persembahan yang penuh emosi dan kenangan.

Ini terbukti ketika beliau berkongsi kisah fesyen ranggi yang digayakan malam itu iaitu kemeja putih, seluar hitam dipadankan dengan kain berjalur petak merah dan hitam ala lelaki Scotland.


M Nasir tampil dengan sisi berbeza apabila lebih santai, bersahaja dan dekat dengan peminat pada konsert di Axiata Arena, Sabtu lalu. Foto NSTP/Hazreen Mohamad

"Hendak dapat imej ini, pasukan Fatimah (penata gaya) menciptakan skirt gaya Scottish ini daripada beberapa helai kain pelekat merah," katanya berjenaka, mengundang tawa penonton.

Sepanjang tiga jam di pentas, jelas pesona M Nasir tidak terletak pada vokal buluh perindu atau gimik berlebihan. Rahsia besar Sang Pencinta itu ialah azimat seni yang tiada tandingan iaitu aura dan pesona yang tidak mampu ditiru sesiapa.

Pada usia 68 tahun, tenaganya masih menyala. M Nasir berdiri sebagai figura seni yang berbeza, membuktikan bahawa angka emas bukan alasan untuk kehilangan bisa di pentas.

Lebih istimewa, konsert anjuran Icon Entertainment itu diperkaya dengan visual memukau serta naratif yang tersusun rapi ketika pembukaan konsert serasi dengan konsep persembahan.

Paling mencuri tumpuan, apabila M Nasir muncul ala Harrison Ford dalam Indiana Jones iaitu imej pengembara penuh misteri. Namun, tidak lama kemudian, beliau bertukar wajah menjadi Hang Tuah bersama keris Taming Sari.

Perbandingan itu bukan sekadar gimik visual, tetapi simbol agung seorang pengembara seni yang akhirnya kembali ke akar budaya bangsa, sarat falsafah dan makna.

Diiringi sepuluh panglima muzik dan lima penyanyi latar, M Nasir memukau penonton dengan 31 lagu yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu.

Antaranya Laila Namamu Teratas, Srikandi Cintaku, Jiwa-Jiwa Luka, Rupa Tanpa Wajah, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Di Bayang Awan, Ukiran Jiwa, Meniti Titian Usang dan Kau Ratnaku.

Karya lain termasuk Saat Ku Idamkan, Gerhana, Impian Seorang Nelayan, Duit, Apokalips, Pawana dan akhirnya Sentuhan Listrikmu sebagai penutup.

"Konsert Cipta 3 ini satu penghormatan buat kumpulan rock yang pernah menyampaikan lagu saya. Dari dahulu, jiwa saya memang rock. Jadi, konsert ini peluang terbaik untuk mengekspresi diri dalam skala besar," katanya pada sidang media selepas persembahan.

Konsert Cipta 3 sekali gus membuktikan ia bukan sekadar persembahan pentas, tetapi dokumentasi perjalanan seni M Nasir sebagai komposer, penyanyi dan maestro muzik Malaysia.

Selepas empat dekad berkarya, beliau bukan sahaja menyatukan generasi lama dan baharu di bawah satu bumbung, tetapi juga menghidupkan semula nostalgia era keemasan rock kapak dengan nafas segar.

Lebih penting, transformasi M Nasir daripada figura serius kepada sosok santai, penuh humor dan berani mencuba gaya baharu menandakan evolusi seorang seniman yang sentiasa relevan dengan zaman.

Dengan kejayaan tiga edisi terdahulu, pastinya Cipta 4 seperti yang dibayangkan menjadi konsert paling dinantikan. Persoalannya, genre dan warna muzik apakah pula yang bakal diangkat oleh maestro agung ini pada persembahan seterusnya?

Rabu, Oktober 01, 2025

CIPTA 3 mencipta sejarah tersendiri buat M Nasir

petikan Harian Metro 1 Oktober 2025

Wan Asrudi Wan Hasan  wanasr@hmetro.com.my

KONSERT DATO’M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock, di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu, beri kepuasan kepada peminat.

Persembahan bertenaga dan menghiburkan penyanyi legenda Datuk M Nasir pada konsert DATO'M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock, di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu, bukan sekadar persembahan biasa.

M Nasir yang dikenali dengan gelaran sifu tampil dengan penuh aura menyampaikan naskhah yang menembusi sanubari ribuan peminat yang hadir menyaksikan konsert itu.

Sejak mempersembahkan konsert DATO' M.N45IR CIPTA, CIPTA 2 pada 2024 dan CIPTA RAYA April lalu, konsep persembahan yang ditampilkan berjaya menarik minat pelbagai latar usia.

Menurut M Nasir, konsert berkenaan sebahagian daripada cara mendedikasikan irama muzik terbabit kepada peminat.

"CIPTA 3 ini adalah satu label cinta iaitu kecintaan pada mereka yang menyanyi lagu rock yang saya buat dengan menyanyikan lagu terbabit. Saya pula cuba nyanyikan dengan cara saya. Terpulanglah pada penerimaan orang ramai.

"Ini adalah satu peluang atau anugerah kepada saya. Terima kasih bagi ruang kepada saya," katanya.

Pada usia 68 tahun, M Nasir tampil memulakan persembahan CIPTA 3 sekitar jam 9 malam dengan lagu medley Isi Atau Kulit, Musnah, Jerangkung, Dalam Almari diikuti lagu Pembakar Perasaan, Opera Hidup serta Apa Lagi.

Tampil bersahaja dan tidak terlalu 'rockers' dengan kemeja T putih berseluar hitam sambil memakai kain berjalur petak merah seperti gaya tartan 'Scottish'.

"Nak dapat imej ini pasukan Fatimah menciptakan skirt gaya 'Scottish' ini daripada kain pelekat merah," ujarnya ketika konsert itu.

Persembahan maestro muzik tanah air itu terbahagi kepada beberapa segmen. Suami kepada pelakon, Marlia Musa itu turut menyampaikan lagu popular beberapa artis dan kumpulan rock tanah air ciptaannya.

Beliau turut membawa penonton menelusuri kenangan irama rock 80an dan 90an bersama kumpulan Kembara apabila menyampaikan lagu seperti Impian Seorang Nelayan selain lagu medley Perjuangan, Hati Emas, Gerhana dan Duit Duit.

Konsert hampir tiga jam anjuran Icon Entertainment dan Etiqa sebagai rakan strategik utama itu menyaksikan M Nasir menyanyikan lagu popular lain seperti Laila Namamu Teratas, Srikandi Cintaku, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Kau Ratnaku, Apokalips, Aku Dah Bosan dan Gemuruh.

Tidak ketinggalan beberapa lagu yang dinyanyikan secara medley antaranya Jiwa-Jiwa Luka, Rupa Tanpa Wajah, Pertama dan Selamanya, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Kau Ratnaku, Hipokrasi serta menutup tirai dengan Pawana yang diberi sentuhan genre koplo.

M Nasir ketika ditemui selepas berakhirnya konsert itu meluahkan rasa bersyukur dikurniakan kesihatan baik ketika menjayakan persembahan itu.

"Syukur kerana saya boleh lagi menjayakan persembahan seperti di konsert ini. Saya tengok dan ikut perkembangan dunia muzik ini banyak kawan saya yang seusia dengan saya serta sama-sama menyanyi sejak dulu mereka dah tak boleh sampaikan lagu-lagu mereka rakamkan dengan baik.

"Tapi orang dahulu lain mereka struggel (bergelut). Kita sekarang berpeluang menjaga diri kita dengan pemakanan dan exercise (senaman) apa semua. Kita berpeluang itu lebih daripada orang dulu.

"Saya kira beruntung dapat menyanyikan. Saya menyanyikan lagu saya dengan 'key' yang sama tapi lagu orang lain nyanyi saya memang 'design' untuk suara begitu kerana kena sesuai dengan lagu." katanya.

Seperti yang dijanjikan M Nasir turut mengumumkan pemenang tiket bertuah yang menjadi milik Mirza Haikal pada konsert itu. Mirza membawa pulang sebuah motosikal Harley Davidson, topi keledar dan jaket tajaan Etiqa.

Sementara itu, Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata pihaknya mempunyai beberapa perancangan untuk mengadakan konsert akan datang, namun semuanya bergantung kepada beberapa perkara.

"Insya-Allah, jika ada rezeki dan konsep yang tepat dengan sokongan semua pihak kita akan teruskan," katanya.