petikan Pancaindera Utusan Malaysia 14 Mei 2023
Oleh Hasif Idris
JIKA sebut Datuk M. Nasir, terpatri dalam memori setiap kita tentang kumpulan Spider yang dikenali dengan lagu-lagu pop rock yang mempunyai pengaruh ska.
Bakat mereka diasah oleh komposer terkenal ini di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. sehingga ada melabelkan kumpulan ini sebagai ‘serangga genius dari Johor’ sejak ditubuhkan pada 1996.
Pencapaian mereka bukan kepalang sehingga pernah meraih trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) 2004 menerusi lagu Relaku Pujuk.
Namun kini, Luncai Emas yang ditubuhkan sejak 1990, seolah-olah sepi dan senyap daripada menghasilkan sebarang produk mahupun protege baharu.
Mencari artis baharu pada zaman sekarang jauh bezanya berbanding zaman dahulu bak kata M. Nasir yang pernah menghasilkan album solo seperti Saudagar Mimpi, Canggung Mendonan dan Phoenix Bangkit.
“Kita memang sentiasa buat (cari artis baharu). Zaman sekarang artis baharu tidak muncul seperti zaman dahulu.
“Kalau dulu kita yang akan mencari mereka, tetapi sekarang mereka muncul sendiri sebab merasakan semuanya boleh dihasilkan sendiri,” katanya.
Single jadi taruhan
BERPENGALAMAN selama 40 tahun dalam industri muzik, M. Nasir berkata, pasaran muzik sekarang dilihat lebih berpihak kepada penyanyi baharu.
Malah, katanya, metodologi juga berbeza apabila single menjadi taruhan dalam era berniaga muzik.
“Penyanyi lama bukan lagi pasaran mereka sekarang. Masih ada untuk mereka tetapi hanya segelintir sahaja.
“Penyanyi muda budaya mereka media sosial. Jadi, kita perlu masuk dalam budaya mereka dengan hasilkan lagu yang sesuai ikut kehendak media sosial. Kaedah sekarang tidak seperti dahulu. Dahulu, setiap lagu baharu perlu didengar dari awal sampai akhir.
“Namun sekarang hanya bahagian tertentu diambil untuk menjadi tarikan dalam media sosial. Penonton tidak suka menonton terlalu panjang dan suka benda yang cepat. Ini budaya sekarang,” terangnya.
Di sebalik kebergantungan terhadap media sosial, terbit kekecewaan dalam sanubari penulis lirik dan penerbit album yang pernah memperkenalkan Search hingga menjadi band rock nombor satu negara.
Kata penyanyi lagu Apokalips ini, media sosial sudah mengubah haluan muzik sehingga individu tidak berbakat memanipulasi industri demi kepentingan sendiri.
“Ada yang tidak berbakat untuk mencipta lagu atau menyanyi, tetapi bijak mendedahkan diri sehingga menjadi sensasi.
“Bagi mereka, apa yang penting muncul dalam media sosial sehingga menjadi tular dan berjaya buat duit daripada jumlah tontonan tinggi. Sedangkan dulu, kita ada syarikat rakaman dan bina artis itu sendiri serta jalankan promosi. Sekarang, tanpa pengalaman pun sudah boleh jadi popular,” luahnya.
Perlu ada standard
DITEBAK ciri-ciri artis baharu yang dicari, M.Nasir yang berperanan penting ketika kegemilangan muzik rock pada era 1980-an, meletakkan standard begitu tinggi.
Sebagai sifu, dia bukan hanya mahu anak murid yang boleh menyanyi, sebaliknya suara yang mempunyai kelebihan menonjol daripada penyanyi lain.
“Peluang cari artis baharu itu sudah ada, saya yang belum ada masa lagi. Memang buat lagu setiap hari, kadang-kadang karya tidak sesuai.
“Perkara ini bukan rahsia, mereka mesti mempunyai kelebihan suara yang mampu menarik ramai penonton. Kelebihan itu sangat ‘misteri’ susah hendak cakap pada diri seseorang penyanyi,” katanya.
Ditanya kriteria tersebut wujud pada penyanyi baharu sekarang, M. Nasir mengakuinya tanpa merujuk pada mana-mana penyanyi tertentu.
“Mereka boleh bertahan lama kalau mempunyai kelebihan itu, berbanding kelebihan ala kadar yang tidak mampu bertahan lama.
“Ia juga ada hubung kait dengan pencipta lagu kerana zaman dahulu pembabitan pencipta lagu sangat penting,” katanya.
Artis perlu jujur
KETIKA beberapa krisis berlaku dalam dunia hiburan mutakhir ini, timbul salah tanggapan sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Bagi penyanyi kelahiran Singapura yang jarang terpalit kontroversi, ia adalah perkara biasa yang perlu dilalui oleh mana-mana artis.
Jelasnya, golongan selebriti perlu jujur dan jangan hanya mengikut perasaan setiap kali muncul di media.
“Semua orang perlu jujur dalam dunia yang ‘digunakan dan menggunakan’ ini. Perkara-perkara seperti ini memang berlaku sama juga dalam dunia politik.
“Setiap kali muncul di media, kita sudah mendedahkan diri sendiri baik daripada segi percakapan atau cara menjawab ia sudah mendedahkan perwatakan kita.
“Ia juga boleh dianggap sebagai satu lakonan. Orang luar akan melihat adakah ia satu lakonan atau jujur daripada diri kita?” soalnya.
Sebarang kemelut yang timbul, kata M.Nasir yang pernah meraih lebih 30 anugerah dalam bidang muzik, perlu dileraikan dengan penuh berhati-hati supaya tidak memakan diri sendiri.
Sebab itu, katanya, penting bagi seseorang artis mempunyai pengantara atau publicist yang akan menapis segala kenyataan yang akan disiarkan kepada khalayak.
“Jangan ikut perasaan sahaja dalam dunia hiburan ini. Berlaku jujur itu penting tetapi jangan sampai makan diri.
“Mesti berhati-hati dengan setiap penjelasan yang dikeluarkan sebab setiap ayat yang digunakan akan dibaca dan ditafsir oleh orang ramai,” katanya.