petikan
Kosmo 6 Disember 2011
Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
FARHAN dan Hazama berkolaborasi menghibur tetamu dan rakan seperjuangan.
RATA-RATA penggiat seni seperti komposer dan penulis lirik di Malaysia meluahkan rasa gembira dan mengucapkan terima kasih kerana mempunyai sebuah badan yang menjaga kutipan royalti bagi pengkarya seni di atas penjualan album atau penyiaran karya-karya mereka menerusi televisyen, radio dan juga di tempat-tempat awam.
Salah satu organisasi bukan kerajaan yang aktif menjaga royalti para pengkarya ini merupakan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) yang bertujuan untuk mengutip royalti lagu-lagu yang disiarkan di tempat-tempat terbuka di mana hasil kutipan itu akan diberi kepada para komposer dan penulis lirik lagu tersebut.
Baru-baru ini, demi menghargai dan mengiktiraf pencapaian para pengkarya seni ini, MACP telah mengadakan sebuah majlis sederhana iaitu Malam Mesra Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia 2011 (MACP) yang bertempat di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor yang juga dihadiri oleh ramai penggiat muzik tempatan.
Pada malam tersebut, 11 anugerah telah dipertandingkan melalui kategori seperti, Kategori Persembahan Terbanyak - Lagu Bahasa Inggeris, Lagu Bahasa Cina, Lagu Bahasa Melayu dan Luar Negara.
Manakala kategori lain pula merupakan kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi, Komposer Muda Berpotensi, Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak, Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak, Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak dan akhir sekali Anugerah Nadi Cipta.
Sejak mula diadakan pada tahun 1995, penulis lirik, komposer, dan penyanyi tersohor di dalam industri muzik tempatan, Datuk M. Nasir masih lagi mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-12 berturut-turut.
Menurutnya, dia merupakan antara ahli pertama mendaftar diri serta karyanya di bawah MACP ketika mula-mula diwujudkan dahulu.
DATUK M. NASIR masih lagi mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-12 berturut-turut.
“Pada mula penubuhannya, mungkin ada orang yang tidak begitu yakin dengan MACP. Namun, apa yang dilihat, setelah sekian lama, mereka bersungguh-sungguh menjalankan proses mengenai royalti ini dan dengan undang-undang yang ada, MACP merupakan yang paling berjaya di dunia," jelas M. Nasir, pemilik syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd. yang turut memenangi anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.
Selain itu, ketika ditanya mengenai kehadiran komposer dan penulis lirik muda yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, jawab M. Nasir, kehadiran anak muda ini amat dialu-alukan di dalam industri muzik.
“Tidak dinafikan, sebagai seorang ‘orang lama’ di dalam penghasilan lagu, kita perlu mengikut trend terkini dan saya akui ia agak laju dan kuat saingannya namun itu merupakan perkara yang baik berlaku di dalam industri muzik.
“Kadangkala, apabila mereka menghasilkan lagu dan menyampaikannya sendiri, mungkin ia lebih menjiwai kerana mereka tahu apa yang hendak diekspresikan melalui lagu yang digubah dan mereka yang paling layak untuk mencapainya,” komen M. Nasir yang mengaku dia memang sukar untuk berhenti dari menulis lirik dan menggubah lagu.
Bagi penulis lirik terkenal yang telah mula menceburkan diri di dalam bidang menulis lirik sejak tahun 1979, Syed Mohd. Amin Syed Hashim atau lebih dikenali sebagai S. Amin Shahab telah diberi pengiktirafan sebagai pemenang Anugerah Nadi Cipta yang mana ia juga seperti anugerah tertinggi yang diberi MACP.
“Ini kali pertama saya memenangi Anugerah Nadi Cipta di dalam MACP. Saya sangat gembira kerana diiktiraf oleh badan yang sememangnya telah banyak bantu pemuzik tempatan untuk mendapatkan hasil dari karya yang dihasilkan.
“Saya juga menghargai MACP kerana mereka begitu mengambil berat dan prihatin terhadap pengkarya muzik kita. Dan mereka juga satu-satunya badan yang menjaga royalti artis dan tanpa mereka, kami juga sukar sebenarnya untuk memperoleh pendapatan dari karya yang dihasilkan,” tutur S. Amin semasa ditemuramah media.
Sebagai pendatang baharu di dalam industri, dua nama besar Yuna dan Sam dari kumpulan Bunkface juga berjaya mencapai kejayaan melalui kategori masing-masing.
Seperti Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd. Baharum yang telah dianugerahkan sebagai Komposer Muda Berpotensi yang mengiktiraf bakat-bakat komposer muda yang berusia 25 tahun dan ke bawah.
Selain berterima kasih, menurut abang kepada aktres Siti Saleha ini, mendengar lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee semasa zaman kanak-kanak turut membantu dirinya di dalam menghasilkan karya bagi kumpulannya ini.
“Sebenarnya lagu-lagu yang saya tulis ialah banyak berkisar tentang perjalanan dan pengalaman hidup saya sendiri. Jujur saya katakan, saya tidak pernah menulis lagu yang tidak pernah terjadi pada saya.
ISTERI Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis, Hariah Yaacob (bertudung) mengambil pengiktirafan Penulis Lirik Dengan Pendapatan Paling Banyak.
“Kesemua lagu saya merupakan kisah benar dari apa yang saya nampak, apa yang saya mahu dan perubahan yang saya inginkan,” ujar Sam yang turut mengatakan oleh sebab itu, RTM mengharamkan single mereka yang berjudul Panik yang hanya mempunyai perkataan reformasi.
Bagi Yunalis Zarai atau nama komersialnya Yuna, semasa mendaftar diri di bawah MACP, dia tahu ini merupakan perkara yang harus dilakukannya bagi melindungi hak ciptaannya dari diciplak.
“Ini kali pertama saya hadir majlis ini dan apabila saya mendapat tahu yang saya memenangi anugerah, saya berasa gembira. Saya juga ada menyarankan rakan-rakan artis baharu yang lain untuk daftar di bawah MACP kerana mereka memang menjaga royalti artis dan ia juga akan melindungi karya ciptaan mereka.
“Bagi saya MACP merupakan satu-satunya badan yang menjaga artis dan karya. Secara tidak langsung, tindakan MACP ini, memberi galakan dan menyokong karier kami sebagai penulis lirik dan komposer,” jelas Yuna yang memenangi anugerah Persembahan Lagu Melayu Terbanyak menerusi Dan Sebenarnya.