ANALITIC

Ahad, Disember 29, 1991

M Nasir menang penulis lirik terbaik AJL 1991

sumber wikipedia

Anugerah Juara Lagu 1991 (Juara Lagu '91) merupakan pertandingan yang menampilkan lagu juara bulanan muzik-muzik yang dipertandingkan untuk dinobatkan sebagai Juara Lagu bagi tahun 1991. Anugerah Juara Lagu 1991 telah berlangsung pada 29 Disember 1991 bertempat di PWTC, Kuala Lumpur. Siaran tersebut ditayangkan secara langsung melalui TV3 dan ditaja oleh SHARP. Seramai 3 orang artis solo dan 8 kumpulan rock telah berentap mempertaruhkan lagu dari penggubah masing-masing. Pada tahun ini, tema rock dipertaruhkan hampir kesemua peserta. Seramai 3 orang pengacara telah bergabung tenaga untuk mengacarakan rancangan ini iaitu Azwan Ali, Melissa Saila dan Intan Rozila. Pengacaraan mereka disampaikan dengan sebuah cerita yang menggunakan tajuk lagu yang dipertandingkan sebagai jalan cerita.

Finalis
Januari: Kumpulan Dinamik - Antara Gadis / Afzanizam / Azimah
Februari: Kumpulan Masa - Patahnya Sayap Malam / Awang BPR / Zur Ain
Mac: Ella - Sepi Sekuntum Mawar Merah / Fauzi Marzuki / Lukhman S
April: Kumpulan Blackrose - Penantian / Saari Amri / Mario
Mei: Hattan - Memburu Rindu / M. Nasir / Bob Lokman
Jun: Kumpulan Laksamana - Gugurnya Bunga Cinta / Ismail Ahmad Nawab / Nizam Arjuna
Julai: Kumpulan Damasutra - Umpama Mimpi Dalam Mimpi / Awang BPR / S. Amin Shahab
Ogos: Kumpulan Olan - Cinta Bandar Tasik Selatan / Farida / Nur Cahaya
September: Kumpulan Kris - Tiara / M. Nasir / M. Nasir
Oktober: Shima - Setelah Aku Kau Miliki / Saari Amri / Azida NS
November: Kumpulan Mega - Takdir Dan Waktu / Rahim Othman / Juwie

Pemenang
Juara Lagu:
Takdir dan Waktu ( Rahim Othman / Juwie / Kumpulan Mega )
Setelah Aku Kau Miliki ( Shaari Amri / Shima )
Tiara ( M.Nasir / Kumpulan Kris )

Persembahan Terbaik:
Shima - Setelah Aku Kau Miliki
Kumpulan Damasutra - Umpama Mimpi Dalam Mimpi
Kumpulan Kris - Tiara

Lirik Terbaik: M.Nasir - "Tiara"


Khamis, Julai 04, 1991

'Berkhayal cara saya, bukan bangga diri'

petikan Berita Harian 4 Julai 1991

Wawancara Eksklusif bersama M Nasir

Kelolaan: Tuminah Sapawi

Oleh:Azman Siraj (Penulis sambilan)

BIODATA

NAMA: Mohd Nasir Mohammed

USIA: 34 tahun

TEMPAT LAHIR: Singapura

PERKAHWINAN: Mendirikan rumah tangga dengan Junainah Johari pada tahun 1981 dan mempunyai dua orang anak, Mohd Ilham dan Al-Yasin.

KERJAYA:bPenyanyi, penggubah lagu/lirik, pelukis, penerbit album, dan pelakon filem.

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Bukit Panjang, Sekolah Menengah Bukit Panjang Govt High, Institut Kejuruan Boy's Town, dan Akademi Seni Halus Nanyang.

ALBUM:Untuk Pencinta Seni* (1980), *Dia Ibuku* (duet dengan Yunizar Hoessein, 1981), *Kumpulan Kembara* (enam album), dan *Solo* (1989).

KERAKYATAN: Menjadi rakyat Malaysia pada Januari 1989.

Hijrah?

Siapa kata M. Nasir telah berhijrah?

Beliau tidak berhijrah.

Ilham seninya masih tetap bersama orang Singapura.

Cuma zahirnya sahaja beliau kini bermastautin di Kuala Lumpur.

Sungguhpun M. Nasir kini sudah menjadi rakyat Malaysia, karyanya terus mengalir tanpa sempadan.

"Saya ke KL untuk meluaskan kreativiti seni, khususnya dalam bidang muzik dan lakonan. Sebab di KL, seni muzik lebih berkesan untuk dimajukan," kata penyanyi, penggubah, penerbit, pelakon dan pelukis serba boleh itu meluahkan perasaannya.

Perwatakan komposer unik itu memang sukar dibaca.

Masyarakat sekeliling sering tersalah tafsir.

Ramai membuat kesimpulan bahawa anak asal Singapura ini seorang yang egoistik.

Apakah betul M. Nasir begitu?

"Entahlah! Mungkin itu adalah pandangan mereka yang tidak mengenali diri saya yang sebenar."

"Mungkin kalau masyarakat tadi tahu perangai saya, mereka tidak akan cakap begitu," kata M. Nasir sewaktu ditemui di studio Luncai Emas, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, minggu lalu.

Dengan berpakaian kemas berbaju lengan panjang dan berseluar ketat, M. Nasir yang sedang mengumpulkan bahan untuk album solo terbarunya semakin rancak berbicara.

"Berkhayal! Memang itu cara saya."

"Tapi bangga atau besar diri, itu bukan saya!"

"Terserahlah kepada penilaian masing-masing."

"Yang penting, saya tidak susahkan orang lain," kata beliau dengan nada suara yang menurun tetapi tegas.

Tidak kiralah apa pandangan masyarakat, apa yang penting ialah M. Nasir sudah meluaskan skop seni muzik Melayu di rantau ini.

Masyarakat, terutamanya golongan peminat seni, mula menghargai sumbangannya.

"Sebenarnya, saya tidak suka diangkat sebagai wira atau pejuang lagu-lagu Melayu."

"Saya tidak menolak memang terdapat ramai golongan artis yang selalu mengharapkan sangat kepada anugerah."

"Sedikit kerja, macam-macam yang diminta."

"Sedangkan, menghasilkan lagu adalah tugas dan pekerjaan saya."

"Ia sudah menjadi kewajipan."

"Sebab di situlah sumber pendapatan saya mengalir."

"Kalau lagu-lagu yang saya ilhamkan digemari, saya suka."

"Senang."

"Tapi apa yang saya inginkan ialah lagu-lagu tadi didengar dan pendengar menghayati sama liriknya."

"Sebab, setiap melodi dan seni katanya mempunyai cerita tersendiri."

"Oleh itu, saya akan lebih senang kalau lagu-lagu saya diperkatakan."

"Dari situ, baru kita dapat sama-sama berfikir," katanya.

M. Nasir suka menghasilkan seni kata lagu yang mempunyai mesej yang mendalam.

Maksudnya, satu perkataan yang digunakan boleh membawa pengertian yang sangat berkesan.

Sebab itulah, selain penulis lirik Bob dan S. Amin Shahab, kesemua lirik lagu M. Nasir ditulis oleh beliau sendiri.

Kenapa?

"Sebab saya beratkan mesej daripada lagu-lagu tadi."

"Saya mahukan seni kata yang dapat meninggalkan kesan," ulasnya.

Kebolehan M. Nasir selaku penerbit album sudah terbukti.

Malah, tidak seperti penerbit-penerbit lain, beliau sering mengeluarkan dua tiga buah album daripada kumpulan atau penyanyi yang berlainan pada waktu yang sama.

"Seniman hanya dapat melahirkan ilhamnya apabila dicabar."

"Saya tidak boleh bekerja mengikut waktu yang selesa."

"Sebab itu, apabila saya rasa terdesak barulah saya dapat hasilkan ilham dan lagu-lagu."

"Ini sudah saya lakukan sejak zaman kumpulan Alleycats dan Kembara," M. Nasir menjelaskan lebih lanjut.

Beliau tidak ingat jumlah sebenar lagu-lagunya yang telah dirakamkan oleh artis dan kumpulan di sini.

Apabila diminta memilih antara lagu-lagu ciptaannya yang dianggap paling berkesan, beliau menjawab:

"Susah untuk saya kategorikan lagu-lagu yang saya ilhamkan."

"Seperti kata saya tadi, mencipta lagu memanglah kerja saya."

"Jadi, setiap melodi yang saya cipta mempunyai keistimewaannya tersendiri."

"Maaflah, saya tidak dapat nak pilih dan kategorikan lagu-lagu berkenaan."

Di Indonesia, lagu ciptaannya, *Fantasia Bulan Madu*, telah diubah liriknya kepada *Cinta Kita* untuk disesuaikan dengan selera masyarakat di sana.

Apa kata M. Nasir?

"Nak kata apa... benda itu sudah macam itu."

"Kalau kita larang pun, mereka tetap ciplak."

"Jadi, suka tak suka, terpaksa beralah."

"Sebab, kita tidak mempunyai kuasa untuk menuntutnya."

"Berlainan halnya di Malaysia dan Singapura."

"Sebab kita mempunyai badan tertentu untuk menjaga kepentingan para artis," katanya sambil mengurut rambutnya yang panjang melepasi kedua-dua belah bahunya.

Apabila diberitahu tentang persetujuan pihak Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) untuk membayar royalti lagu-lagu yang disiarkan, M. Nasir tersenyum sinis.

Lambat untuk beliau menjawab.

Keadaan lengang seketika.

Kemudian sambil mengangkat mukanya dan memandang tepat ke arah saya, beliau membuka mulutnya lagi:

"Perkara itu sepatutnya sudah lama dilakukan."

"Sahaja ada pihak tertentu yang melambat-lambatkannya," kata beliau tanpa melanjutkan percakapan.

Dalam bidang lakonan, menurutnya, beliau tidak memilih sangat watak-watak yang diberikan.

"Yang penting, jalan cerita itu mesti padat dan bermakna."

"Selama ini, saya hanya diberi peluang membawa watak-watak yang iras diri saya sendiri."

"Kalau boleh, saya mahu lakonkan filem komedi pula."

"Baru tercabar," kali ini M. Nasir kelihatan betul-betul mengorak senyuman melebar.