ANALITIC

Ahad, April 22, 1984

M. Nasir jadi ‘hero’ filem muzikal

petikan Berita Harian, 22 April 1984

Oleh Mohd Kamsah Sirat


M. NASIR...cerita dan lagu-lagu yang menghiasi filem ‘Seniman Jalanan’ adalah karyanya sendiri.

M. NASIR akan mendokong watak utama dalam sebuah filem keluaran Era Film Productions di Kuala Lumpur.

Beliau akan berlakon sebagai seorang pemuda berjiwa seni dan datang ke bandar untuk mencari pekerjaan.

Ketika mengesahkan demikian menerusi telefon, penulis lakonlayar filem Seniman Jalanan, Encik Hamzah Hussein, menambah bahawa pelakon utama wanita masih belum ditetapkan.

“Beberapa nama ada dalam senarai kami. Tetapi kami belum dapat membuat keputusan,” jelasnya.

Seniman Jalanan adalah cerita tulisan Nasir sendiri dan namanya sebagai penulis asal tetap diumumkan dalam filem itu, Encik Hamzah memberitahu.

Pengarah

Menurut beliau lagi, cerita itu telah pun selesai dijadikan skrip filem yang sempurna. Beliau juga telah mempadatkan cerita tersebut menjadikannya lebih kemas dan berisi.

Turut diambil berlakon dalam filem drama muzikal itu ialah kumpulan Kembara pimpinan Nasir. Kira-kira 10 lagu ciptaan Nasir bersama Kembara akan dipenuhkan di dalam filem tersebut. Ada di antara lagu-lagu itu telah pun dirakamkan ke piring hitam.

Tempat-tempat menarik seperti Jalan Chow Kit dan bangunan-bangunan ternama di Kuala Lumpur akan menjadi latar Seniman Jalanan.

Penggambaran filem ini akan dimulakan dalam tahun ini juga. Pengarahnya ialah Robert Helmy, jelas Encik Hamzah.

Berbangga

Apabila pemilihan pelakon-pelakon sepenuhnya sudah diputuskan, Nasir akan dihubungi kelak, tambahnya.

Keupayaan Nasir sebagai pelakon filem belum kita ketahui. Bagaimanapun, dengan menjejakkan kakinya ke bidang perfileman ini, bermakna beliau sudah menambahkan satu lagi bidang seni kepada berbagai kegiatan seni kemahirannya yang lain seperti melukis, menulis senikata lagu, mencipta/menggubah lagu dan menyanyi.

Jika boleh dibandingkan dengan artis-artis lain, ternyata bakat Nasir adalah luar biasa. Ini bukan pujian melulu, tetapi kenyataannya ada di depan mata kita.

Kita, sebagai para peminat muzik Melayu umumnya dan seni khususnya, harus berbangga dengan pencapaian Nasir ini — kalau Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian Sudirman Haji Arshad.

Malah, tidaklah keterlaluan jika kita mahu mengakui bahawa Nasir mempunyai kelebihan dari Sudirman dalam bidang seni.

Dalam hal ini, Nasir pernah berkata bahawa kadangkala beliau merasa takut kerana kemajuannya melampaui masa dan ruang, terutama sekali dalam bidang muzik.

Katanya, “Kadang-kadang saya terfikir, apakah saya ini terlalu cepat ke depan dalam bidang muzik.”

Mencuba

Jika demikian, Nasir seharusnya tidak usah gusar kerana kemajuanlah yang sememangnya dikehendaki. Dalam mencari kemajuan itu, maka usaha dan penyelidikan adalah satu kewajipan dan ini telah ditunjukkan oleh Nasir.

Walaupun tidak dalam semua lagunya, namun Nasir memperlihatkan pembaharuan-pembaharuan di dalam banyak lagunya, terutama menerusi album kumpulan Kembara.

Sedikit sebanyak beliau menampakkan pembaharuan itu dalam gubahan muzik dan tema senikata lagunya.

Sebagai contoh ialah lagu-lagu Hati Emas, Gadis Dan Kota, Bas No 13, Penjual Suratkhabar, Nusantara, Cetak Rompak dan Impian Anak Jalanan dan dalam album-album artis lain.

Sebagaimana katanya lagi, “Kita mesti mencari. Kita mesti mencuba. Bagi saya, saya mahu terus mencari, mencuba dan mengemukakan yang baru dan yang belum dibuat oleh orang lain di dunia sebelah seni.”

Ahad, April 15, 1984

M. Nasir kecil hati terhadap dua pihak...

petikan Berita Minggu, 15 April 1984

Oleh MOHD KAMSAH SIRAT 

Pencipta terkenal ingin dianggap sasterawan kreatif ..

M.NASIR menyesali anggapan setengah-setengah orang bahawa para artis adalah golongan yang tidak kreatif. Mereka menganggap kami sebagai penghibur atau penyanyi saja, tidak lebih dari itu. 

"Mereka tidak pernah menganggap kami sebagai golongan sasterawan yang kreatif. Pada mereka hanya novelis, cerpenis dan penyajak saja yang menghasilkan kerja kreatif." 

Nasir berkata semasa menjalani rakaman baru-baru ini. Beliau kemudian mengambil contoh penyanyi Sudirman Haji Arshad dan Anita Sarawak yang menurutnya adalah artis-artis yang kreatif. 

Bagaimanapun, Nasir dengan terus terang berkata bahawa penyanyi memang tidak seharusnya tahu menyanyi semata-mata . Seseorang artis mestilah ikut meninjau atau meneliti prestasinya sendiri bila mengadakan atau menyertai pertunjukan. 

Malah kalau holeh. tambahnya. biarlah si penyanyi itu ada pengetahuan dan pelajaran. Jangan dibiarkan diri “kosong”. 

Nasir selanjutnya berkata bahawa pertunjukan atau rancangan televisyen yang turut dijayakan oleh Sudirman atau Anita sering berjaya berbanding dengan pertunjukan oleh artis-artis lain.

Tak paksa 

Ini adalah kerana kedua-duanya tidak duduk diam selepas pertunjukan itu. Mereka meneliti kelemahan yang ada dengan azam untuk memperbaikinya pada masa depan. 

"Seseorang artis mesti tegas, kreatif, mempunyai imej sendiri di samping matlamat. 

Mereka juga perlu bertukar-tukar pendapat dengan penerbit atau penganjur pertunjukan. katanya. 

Menyentuh tentang kerjayanya. Nasir yang sentiasa mencari unsur-unsur baru untuk diterapkan ke dalam lagu-lagu ciptaannya. tidak mahu memaksa orang lain supaya menyetujui pendapat atau pendiriannya. 

“ Biarlah masyarakat memikirkan dan menilai hasil-hasil ciptaan saya dan rakan-rakan saya dalam kumpulan muzik Kembara. 

"Tugas saya ialah seberapa daya mencipta lagu yang baik. 

"Sesuatu Iagu mesti ada tema dan kami tetap pada konsep Kembara. 

Perjuangan Kembara untuk pelajaran, masyarakat. negara dan agama." katanya. 

"Konsep Kembara ialah cinta pada bangsa, negara dan agama. "Sesuatu lagu itu mesti ada cerita, mesti ada mesej yang hendak disampaikan kepada para pendengar." tambahnya. 

Nasir sering berbincang dengan dua orang rakannya dalam Kembara iaitu S. Amin Shahab dan A. Ali mengenai sesuatu lagu dan senikata yang hendak dirakamkan.

 "Kami akan dapatkan persetujuan semua pihak sebelum rakaman dimulakan. Kalau pun ada perselisihan pendapat maka ia hanya pada teknik.” jelasnya. 

Menyentuh mengenai lagu Cetak Rompak rakaman Kembara, Nasir menjelaskan lagu itu dicipta untuk melahirkan kekecewaan golongan artis, terutama dirinya sendiri, dengan pihak berkuasa yang kurang bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan cetak rompak. 

Betapa kecewanya kami dengan perbuatan itu. Kita yang bersusah payah menulis senikata atau mencipta lagu. lanun-lanun pula yang mengecap keuntungan yang besar.- katanya. 

Undang-undang

Bagaimanapun. beliau tidak memberikan butir-butir lanjut mengenai hal ini. Apa yang jelas ialah para artis dan pencipta penggubah lagu tidak dapat berbuat apa-apa. orang ramai — para pendengar — yang dapat membantu mereka mengatasi masalah ini iaitu dengan memulaukan piring hitam atau kaset-kaset tiruan itu. 

Bahkan, syarikat-syarikat rakaman juga tidak perlu berbuat apa-apa kerana pihak berkuasalah yang memegang 'kunci' untuk mengubah nasib penyanyi,  pencipta penggubah dan syarikat-syarikat rakaman dengan mengadakan undang-undang yang lebih keras untuk membanteras pencetak-pencetak rompak ini. 

Nasir dengan terus terang berkata bahawa pendapatan yang diperolehi dari menulis senikata dan mencipta lagu tidaklah lumayan seperti yang disangka oleh ramai orang. Pada mata orang ramai. katanya. penyanyi hidup mewah kerana mereka sering kelihatan berpakaian cantik dan kemas. 

Dibagi tiga

 '"Tetapi mereka lupa bahawa apa yang mereka lihat itu hanya pada layar televisyen ataupun di atas pentas pertunjukan. Sebenarnya. hidup artis dan pencipta lagu adalah seperti kebanyakan orang." Nasir menegaskan. 

Beliau pernah dibayar hanya $30 bila beliau mula-mula menulis lagu. Hanya setelah beliau dilantik untuk menerbitkan beberapa buah album tidak lama kemudian pendapatannya bertambah. Itu pun terpaksa dibahagi kepada tiga orang, termasuk dirinya. Bagaimanapun. beliau tidak menerangkan berapakah pendapatannya sekarang. 

Selain dari menulis senikata. mencipta lagu dan menyanyi, Nasir juga menulis skrip drama dan berlakon. 

Beliau kemudian melahirkan harapannya supava Kembara akan dapat ‘hidup’ lama — sesuai dengan namanya — untuk berbakti kepada masyarakat melalui hiburan. 

“Sesuatu lagu mesti ada  tema. Sesuatu lagu itu mesti ada cerita, mesti ada mesej yang hendak disampaikan kepada para pendengar. Perjuangan Kembara ialah untuk pelajaran, masyarakat, negara dan agama.” -M Nasir