Rabu, Ogos 31, 2011

M.Nasir Gubah Lebih 50,000 Karya

petikan mStar 31 Ogos 2011
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

M. Nasir menyambut Hari Raya Aidilfitri di Singapura. - Foto SHAARI CHE MAT

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer terkenal Datuk M.Nasir akui melakukan kerja mengubah lagu setiap hari sehingga berjaya mengumpul lebih 50,000 buah koleksi lagu.

Namun, penyanyi lagu Tanya Sama Itu Hud Hud ini belum merancang untuk mengeluarkan semua lagu yang telah digubah itu.

“Saya berkarya setiap hari dan ada sahaja idea untuk menggubah lagu tanpa mengira masa.

“Dalam masa terdekat ini, saya akan menghasilkan sebuah “single” baru nyanyian saya sendiri,” katanya yang turut akan menghasilkan lagu untuk Azlan The Typewriter.

Namun perkara itu masih dalam perancangan dan dijangka akan menghasilkan lagu yang mengikut cita rasa masa kini.

“Saya selesa dengan seni dan kombinasi sesuatu lagu itu bergantung kepada perkembangan semasa dan seseorang penyanyi itu.

“Biasanya, saya menghasilkan lagu mengikut rasa. Kadangkala ada juga lagu yang tidak sesuai dengan seseorang itu sehingga terlampau susah untuk orang lain nyanyikan,” katanya yang masih menerima tawaran lakonan.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Kias Fansuri ini terpaksa selektif dengan tawaran tersebut bagi mendapatkan cerita yang bersesuaian.

“Saya sukakan skrip cerita yang mempunyai perwatakan menarik. Perkara itu juga menjadi faktor saya menerima tawaran berlakon iklan Kit Kat sebelum ini,” katanya yang kali terakhir berlakon sebagai penampilan khas dalam filem Magika.

Rabu, Ogos 17, 2011

M. Nasir, Jamal serikan lebaran

petikan Utusan Malaysia 17 Ogos 2011

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH
BUAT pertama kali Hujan dan M. Nasir akan berkongsi pentas menghiburkan penonton.

BAGI menyerikan sambutan lebaran tahun ini, TV9 membawakan satu rancangan khas, Ekspresi Dato M. Nasir dan Jamal Abdillah.

Pastinya sambutan Aidilfitri kali ini akan lebih meriah apabila penonton disajikan dengan lagu-lagu malar segar dua bintang ternama ini.

Sudah tentu alunan suara mereka mendendangkan lagu-lagu seperti Seroja, Gerhana, Keranamu Kekasih dan Satu Hari Di Hari Raya akan membuatkan para penonton terkenang nostalgia lalu.

"Sudah tentu kemeriahan Syawal akan lebih terasa apabila kita dapat bersama dengan keluarga mengimbau nostalgia lalu melalui lagu-lagu dua bintang hebat ini.

"Lagipun ini adalah kali pertama TV9 menyatukan mereka di atas pentas sempena Hari Raya.

"Jadi kita harap ia akan memberikan kepuasan kepada penonton dalam menyerikan lagi kemeriahan Syawal," jelas penerbit konsert berkenaan, Ahmad Shaifullizzam Mohd. Arshad atau lebih suka disapa Gbam yang ditemui selepas rakaman konsert berkenaan baru-baru ini.

Merancakkan lagi konsert yang akan disiarkan melalui dua episod itu, beberapa artis jemputan lain turut diundang bagi bersama berkongsi pentas dengan dua nama besar ini.

Antara artis yang bakal bersama menyerikan konsert itu nanti adalah Fauziah Ahmad Daud, Francissca Peter, Mawi, Hujan dan Awi Rafael.

"Bagi memberikan suatu kelainan pada rancangan ini, kita akan gabungan dua nama besar ini dengan bakat-bakat baru yang mula menyinar seperti Hujan dan Awi Rafael.

"Kita lihat gabungan ini juga merupakan pembuka jalan kepada bakat-bakat baru ini untuk bersama menimba pengalaman dengan mereka yang ternama," tambah Gbam.

Rancangan istimewa yang berdurasi sejam setiap episod itu akan disiarkan pada 2 dan 3 Syawal nanti bermula pukul 11 pagi.

Antara persembahan yang akan disajikan kepada penonton adalah kolaborasi antara Jamal Abdillah bersama Fauziah Ahmad Daud dan Fransisca Peter.

Selain itu, M. Nasir akan berduet dengan Hujan Band mendendangkan lagu medley Aku Yang Terasing dan Juwita Citra Terindah.

Selasa, Ogos 02, 2011

Capati M.Nasir, menu Khatijah

petikan Kosmo! 2 Ogos 2011
M. NASIR dan Khatijah mempunyai cara dan cerita Ramadan dan Aidilfitri masing-masing untuk dikongsi bersama peminat.

MENYAKSIKAN kehadiran figura ini sahaja, gelombang elektromagnetik pada frekuensi tertentu bakal berlegar di segenap tubuh. Belum lagi mendengar suara emas mereka yang mampu menggetarkan jiwa dan rasa. Itulah aura yang dimiliki penyanyi Datuk M. Nasir, 54.

Bagi Datuk Khatijah Ibrahim pula, biarpun kehadirannya dalam industri seni menjangkau hampir usia 40 tahun. Pesona yang dimilikinya masih kuat menjamah hati setiap individu.

Berpeluang bertemu secara empat mata dengan dua figura hebat ini selepas rakaman raya program Sedetik Muzik untuk Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, agenda seni diajukan dahulu kepada mereka sebagai pembuka bicara.

“Setakat ini dua program aku sudah terima untuk hari raya iaitu Sedetik Muzik untuk TV3 dan juga program Ekspresi Kembara bersama Jamal Abdillah untuk TV9.

“Aku ambil ikut rasa dan jika ada kelapangan. Ada lagi tawaran untuk program lain tetapi masih tidak confirm,” kata M. Nasir mengenai program terbaharunya yang selesa membahasakan dirinya sebagai aku.

Menyentuh mengenai projek nyanyiannya pula, pemilik nama Mohd. Nasir Mohamed itu bakal menghasilkan lagu buat bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH), Nor Azlan Rosle.

Untung Azlan yang kini dikenali sebagai Azlan & The Typewriter apabila mendapat sentuhan komposer M. Nasir.

Sebelum ini, kesemua lagu yang dicipta komposer yang menerima jolokan sifu itu popular sehingga menjadi siulan orang ramai yang termasuklah Fantasia Bulan Madu (Search), Sejati (Wings), Mahligai Syahdu (Hattan), Senja Nan Merah (Awie dan Ziana Zain), Ghazal Untuk Rabiah (M. Nasir dan Jamal Abdillah), Takdir Penentu Segala (Jamal Abdillah), Nafas Cahaya (Misha Omar, Angan dan Sedar (Mawi), Cinta Dewa Dewi (Spider), Ada Masa Mata (Datuk Siti Nurhaliza) dan banyak lagi.

Cipta 50 lagu

“Projek lagu untuk Azlan itu masih lagi dalam perancangan,” ujarnya yang kini sudah menghasilkan lebih 50 buah lagu.

Masih tidak tahu lagu-lagunya itu sama ada akan dinyanyikan sendiri olehnya atau diberi kepada penyanyi lain, pemilik syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd. itu sememangnya sangat selektif memberikan lagunya untuk dinyanyikan oleh orang lain.

Baginya, kena ada kombinasi yang bagus antara lagu dengan penyanyi.

“Aku buat lagu ikut rasa. Kadang-kadang bila sesebuah lagu itu siap aku tidak nampak orang lain boleh sampaikan lagu tersebut. Mungkin terlalu sukar untuk orang lain nyanyikan,” katanya yang turut memberitahu banyak sebab sesebuah lagu itu boleh diterima orang ramai sama ada disebabkan penyanyi, pasaran lagu, lirik atau melodi sesebuah lagu tersebut.

Selepas album Sang Pencinta pada tahun 2006, sehingga kini tiada sebarang album yang dikeluarkan M. Nasir biarpun lagu yang dicipta mencecah angka 50. Ditanyakan mengenai perkara itu, katanya yang serasi bekerjasama dengan arwah Loloq itu, semuanya masih dalam perancangan lagi.

Jika dulu M. Nasir begitu serasi bersama arwah Loloq, katanya, kini dia serasi pula bekerjasama dengan AD Samad dalam menghasilkan lagu.

Menganggap lagu dulu lebih mudah didengar, penyanyi, pengubah lagu, pelakon, pengarah dan penerbit filem serta pelukis itu turut menganggap lagu raya malar segar (evergreen) lebih sedap berbanding lagu raya masa kini.

Katanya, lagu raya masa kini lebih ke arah alunan muzik berbanding lirik.

“Bukan mahu prejudis pada lagu baharu, tetapi kita sering mahukan lagu yang ada unsur nostalgia. Sebagai contoh, lagu Tan Sri P. Ramlee yang meninggalkan kesan psikologikal. Lagu baharu juga ada yang sedap didengar,” katanya yang mengaku masih minat berlakon tetapi tetapi tidak berminat dengan jalan cerita skrip-skrip yang diterimanya.

Kali terakhir kelibat M. Nasir di layar perak apabila muncul untuk watak cameo sebagai Naga Tasik Chini menerusi filem Magika.

Lontong hari raya

Beralih pula kepada persiapan puasa dan raya, dia yang terkenal dengan watak Hang Tuah dalam iklan Kit Kat itu memberitahu, tidak suka berlebihan semasa bersahur mahupun berbuka puasa. M. Nasir turut mengajar anak-anaknya untuk bersederhana setiap kali berpuasa.

“Setiap kali bersahur atau berbuka aku lebih selesa makan secara minimal, sebab sedar mengenai ekonomi,” katanya yang menggemari menu capati setiap kali berbuka.

Ditanya kepada isterinya, Datin Marlia Musa pula, dia berkata: “Dia (M. Nasir) sangat simple tetapi cerewet. Setiap kali bulan puasa dia akan cakap pada anak-anak apa tujuannya kita berpuasa.

“Setiap kali berbuka selama sebulan dia dan anak-anak akan makan capati. Anak-anakpun sudah biasa dan tidak merungut. Cuma pada hujung minggu baru kami berbuka dengan nasi”.

Bercerita tentang hari raya pula, M. Nasir mahupun Marlia sepakat beraya di sebelah keluarga Marlia dahulu sebelum pulang ke negara kelahiran M. Nasir, Singapura.

“Kebanyakan keluarga Marlia ada di Kuala Lumpur, jadi pagi raya kami akan beraya di Kuala Lumpur. Pada sebelah petangnya barulah kami balik Singapura,” ujar M. Nasir yang menggemari menu lontong setiap kali sambutan hari raya.

Sibuk memasak

Sementara itu bagi pelantun lagu Doa Buat Kekasih, Datuk Khatijah Ibrahim atau nama pentasnya Khaty, kebiasaannya pada setiap kali bulan puasa dia akan sibuk memasak di restoran miliknya, Khatijah’s Kitchen yang terletak di Jalan Bukit, Petaling Jaya, Selangor.

Tahun ini katanya, sebanyak 40 menu termasuk rendang tok, kambing tomato, ikan panggang kuali, terung goreng telur dan sambal serta kuih kasui bakal menghiasi menu restorannya.

“Tahun ini macam tahun-tahun sebelumnya, Khatijah’s Kitchen ada menyediakan bufet Ramadan. Antara menu yang akan disediakan untuk bulan puasa tahun ini ialah rendang tok dan daging dinding,” katanya.

Adik kepada Latiff dan Sophia Ibrahim itu juga membuat tiga jenis biskut raya iaitu Almond London, tat nanas dan cornflake untuk dijual kepada rakan-rakannya sahaja.

Walaupun sibuk dengan restorannya, ibu kepada sepasang anak itu akan tetap menyediakan juadah berbuka untuk anak-anaknya. Namun, bila menyentuh mengenai bersahur pula, kata Khaty, jika bersahur dia tidak boleh makan terlalu banyak.

“Biasanya kalau bersahur saya tidak boleh makan terlalu banyak. Sekadar air masak dan kurma sahaja. Anak-anak pula biasanya akan makan sebelum tidur,” ungkapnya yang setiap tahun akan beraya di rumah abangnya di Hulu Klang.

Kesibukannya pada tahun ini kian bertambah apabila Khaty turut melancarkan album baharunya pada 28 Julai lalu.

Diminta mengulas mengenai album baharunya, kata Khaty terdapat dua buah lagu yang dihasilkan oleh arwah adiknya, Tahir Ibrahim. Salah satu daripadanya ialah Kamar Sepi.