Isnin, April 25, 2011

'Ayat mesti power'

petikan Berita Harian 25 April 2011
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Konsert istimewa mengangkat hasil karya penulis seni kata lagu yang berada dalam darjatnya tersendiri

"Ayat mesti power" itulah ungkapan yang sering dizahirkan oleh penulis seni kata lagu terkenal, Loloq setiap kali ditanya oleh media atau rakan-rakan seni ketika hayatnya.

Ternyata apa yang di cakap itu bukanlah kata-kata kosong. Hasil tulisannya menerusi seni kata memang mudah difahami, senang dihayati selain tidak mudah disebut. Seni kata yang ditulisnya memiliki pengertian tersendiri. Ia mungkin sekadar cinta biasa, tetapi kemungkinan mengenai falsafah hidup, kemanusiaan, kerohanian, persahabatan dan persaudaraan serta berkaitan dengan sejarah serta keagamaan.
Sebahagian hasil tulisan lirik Loloq itu dinyanyikan semula oleh Datuk M Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider dalam Konsert Untukmu Loloq di Istana Budaya (IB) dari 22 April dan berakhir 24 April.


Turut mewarnai konsert ini ialah pemuzik dan artis kebudayaan dari Badan Kesenian Kementerian Pertahanan (BKM) bersama-sama dengan pemuzik dan penari Istana Budaya sendiri.

Keghairahan menyaksikan pementasan konsert berskala besar, biasanya tertumpu kepada siapa artis, genre muzik, lagu dan elemen kekaguman yang diselitkan di dalamnya. Jarang sesekali kita mengamati dan menghayati bait indah seni kata yang biasanya akan ditenggelami dengan alunan muzik, lebih lagi sekiranya konsert itu mendapat khidmat pemain orkestra.

Konsert ini dimulakan dengan nyanyian koir daripada barisan penyanyi BKM dengan menyampaikan lagu seperti Adam Dan Hawa dan Nilamsari. Kemunculan artis BKM ini tidak menjadi kesalahan tetapi ia terlalu ramai menjadikan pentas sangat sempit sehingga kelihatan ‘tidak bernafas’.
Persembahan koir pada sesi pra-tonton kepada media ini juga ada kelemahan terutama pada lontaran vokal yang kadang-kadang agak sukar untuk didengar oleh penonton.

Matlamat kurang tercapai?

Matlamat utama Konsert Untukmu Loloq adalah mengiktiraf dan menghargai seni kata lagu yang ditulis oleh Loloq. Tidak dinafikan seni kata tulisan Allahyarham ini memang secara kebetulan pula menjadi lagu popular yang dinyanyikan oleh M Nasir, Ella, Spider mahupun Ramli Sarip.

Namun, matlamat itu bagaikan tidak tercapai. Konsert ini akhirnya sekadar memperdengarkan lagu-lagu dan persembahan daripada penyanyinya. Tidak ada tertulis bait seni kata nukilan Loloq dipaparkan pada skrin apabila sesebuah lagu itu dinyanyikan oleh si penyanyinya.

Kesudahannya Konsert Untukmu Loloq tidak menunjukkan kelainan daripada konsert sedia ada. Penampilan penyanyi popular seperti Nasir, Ramli, Ella dan Spider hanyalah sekadar mempersembahkan lagu hasil penulisan tokoh yang dirai.

Menerusi konsert inilah seharusnya kita paparkan karya agung yang ditinggalkan arwah Loloq untuk penonton hayati bait indah yang ingin disampaikan, sekali gus pelaksanaan konsert untuk menghargai hasil karyanya terlaksana.

Sekiranya paparan seni kata itu dimainkan ketika penyanyinya menyanyikan lagu, secara tidak langsung penonton akan lebih menghayatinya malah tidak terkecuali boleh menyanyi bersama.

Malahan lebih indah lagi sekiranya seluruh ruang Panggung Sari termasuklah di lantai, dinding dan siling itu diserikan dengan pancaran laser atau penggunaan multimedia yang memaparkan seni kata terhebat Loloq.

Sebagai contoh, hayati sebahagian bait yang terdapat pada seni kata Syair Laila Majnun nyanyian Ramli Sarip.

Terkulai di puncak rindu
Tenggelam dalam sendu
Kasih mu tak siapa
Bisa tanggalkan

Biar luka parah
Biar jiwa lara
Kasih mu yang sebati
Sukar ku pisah...

Begitu juga dengan beberapa bait indah yang terdapat di dalam lirik lagu nyanyian M.Nasir di dalam Mantera Semerah Padi yang seolah-olah seperti satu keramat kerana ia mengangkat kepahlawanan bangsa Melayu.

Hei! kersani mengalir lah dikau
Menjadi raksa
Mengisi belikat punggungku
Agar aku bisa berdiri
Tegap dan segak
Bagaikan laksmana Melayu

Hei! sepuluh helai daun sirih
Ku gentas bersama
Bunga cengkih jadilah dikau
Darah merah pekat
Mengisi uratku
Agar bisa aku berlangkah
Gagah dan tampan
Bagaikan sijantan yang berkokok...

Bagaimanapun, konsert yang turut menggunakan khidmat 20 koir daripada BKM berfungsi membantu penonton dalam penyampaian seni kata tanpa penggunaan muzik latar.

Konsert yang diterbitkan Global Network Entertaiment Sdn Bhd (GNE) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Kementerian Pertahanan Malaysia itu diarahkan oleh Lokman Ghani.

“Saya akui dengan cara inilah konsert ini akan memberi kelainan daripada konsert sedia ada sebelum ini. Sebenarnya untuk menghasilkan apa yang tergambar di dalam fikiran saya itu memerlukan kos yang agak besar untuk penyewaan peralatan multimedia khas.

“Walaupun kita tidak dapat menyediakan peralatan itu, namun saya tetap berusaha untuk memaparkan koleksi seni kata hebat semasa persembahan, untuk malam pertama sehingga terakhir menggunakan inisiatif lain,” katanya yang ditemui pada konsert pratonton kepada media Khamis lalu.

Hadir sama, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan balu arwah Loloq Hariah Yaacob serta anak-anaknya.

Selain menyampaikan 24 koleksi lirik terbaik Loloq menerusi empat artis popular itu, ia turut diselitkan dengan sketsa pendek yang dilakonkan oleh Hasnul Rahmat, Azrul, dan Ayem (GNE).

Sketsa yang mendapat sentuhan lirik daripada AD Samad dianggap unik dengan menampilkan karektor yang pernah dijelmakan Loloq menerusi hasil penulisannya seperti Kristo Bimbo, Cendrawasih, Nurbisa dan Wak Jono Sang Jegla.


Apa kata Mereka

Datuk M.Nasir
“Biasanya orang tidak buat konsert untuk penulis seni kata kerana biasanya untuk pemuzik atau penulis lagu, tetapi kerana impak keberadaan di dalam industri hiburan ini terlalu kuat, kekuatan itu kita tidak nampak seperti mana orang menyanjungi penyanyi tetapi kesan psikologinya mendalam dan sebab itu berlaku perubahan yang tidak kita sendiri hasil daripada kata-kata yang dibuat.

“Seharusnya ada kesinambungan dan saya rasa akan ada kerana selera masyarakat sentiasa berubah-ubah. Ada suatu ketika pada zaman 80-an, kita didedahkan dengan lirik yang fantastik, bombastik dan punyai idea yang berat. Masuk era 90-an, semakin lain dan 2000 semakin simple liriknya. Tapi itu akan datang semua mengikut musim dan selera masyarakat.”

Ella
“Arwah Loloq ini adalah seorang yang bijak dan kita tidak tahu sebenarnya pengalaman daripada hasil banyak membaca dan pemerhatian yang cukup luas mempengaruhi hasil kerjanya. Saya cukup kagum dengan bakat, pengetahuan, pembawaan diri serta ilmu, saya cukup bertuah dapat mengenalinya sekali gus memperoleh sedikit ilmu daripadanya.

Ramli Sarip
“Menerusi konsert ini, sekurang-kurangnya di situ mereka meletakkan orang seperti arwah Loloq ini berada di tahap yang agak tinggi. Kita kena menerima serpihan selepas beliau kembali ke Rahmatullah, bukan saja orang lama tetapi artis baru, kita terasa kehilangan beliau. Dia orang yang sangat prihatin dan mengambil tahu mengenai industri. Dia bukan hanya sekadar menulis saja tetapi banyak memikirkan mengenai penyanyi baru, hala tuju dan memberi pandangan mengenai industri. Hasil kerjanya tidak perlu dipertikaikan kerana dia menggunakan bahasanya hasil daripada pembacaan dan kajiannya. Bahasa yang jarang dipakai penulis lirik lain dan diterima masyarakat itu adalah pencapaian yang boleh dianggap juara. Memang bait yang digunakan itu punyai nilai sastera tersendiri yang tidak kita terfikir sekali gus mengajar penulis baru untuk berani bereksperimen dengan sesuatu yang baru.

Tam (Spider)
“Keunikannya sebagai penulis lirik adalah dari segi penghasilan pelbagai bentuk penulisan membabitkan bahasa. Setiap lirik yang dihasilkan untuk sesuatu artis itu mempunyai caranya tersendiri. Sebagai penulis Melayu, tatabahasa yang diangkat oleh Loloq sangat bagus kerana dia juga sebenarnya memperjuangkan bahasa Melayu. Berada di dalam masyarakat majmuk ini juga menjadi idea baginya menghasilkan lirik seperti lagu Ngam Ho yang terdapat di dalam album kami. Dia cukup berani dan peka keadaan sekeliling menggunakan bahasa walaupun perkataan itu digunakan setiap hari namun orang tidak terfikir untuk digunakan di dalam lagu. Dari segi nilai sasteranya menjurus ke arah masyarakat punya rasa seperti penderitaan, kesenangan dan itu yang orang rasa melalui penulisannya lebih dekat.”

Khamis, April 21, 2011

Karya menusuk jiwa

petikan Utusan Malaysia 21 April 2011
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL

Kedua-dua legenda ini berharap peminat muzik yang mencintai perjuangan seni Allahyarham Loloq hadir memberi sokongan terhadap Konsert Untukmu Loloq.

PEMERGIAN Allahyarham Rosli Khamis pada tanggal 30 Januari 2008 dalam usia 50 tahun akibat pendarahan otak benar-benar mengejutkan industri hiburan tanah air.

Kehilangan penulis lirik, pelakon dan pelawak yang dikenali dengan nama Loloq itu umpama lesapnya sebutir intan berharga dari muka bumi ini.Bagi menghargai jasa anak seni yang telah memberikan sentuhan emas melalui ribuan lirik ciptaannya, Global Network Entertainment tampil menganjurkan konsert bagi memperingati allahyarham.Konsert Untukmu Loloq yang dijadualkan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya mulai esok sehingga 24 April ini bakal menampilkan empat insan seni yang cukup akrab dengan allahyarham.Mereka ialah Datuk M. Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider, barisan artis yang masyhur dengan lagu-lagu nyanyian mereka di mana liriknya ditulis oleh Loloq, seorang yang dianggap genius muzik itu.Baru-baru ini, kehadiran M. Nasir dan Ramli ke Studio Utusan memberi peluang kepada Hits untuk mengenali lebih rapat dengan gerangan insan bernama Loloq.


Kerinduan balu Loloq
Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN

TIADA lagi bau haruman nescafe, minuman kegemaran Allahyarham Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq menerjah ke lubang hidung balunya, Hariah Yaacob di pagi hari.

Itulah rutin selama berbelas tahun dia hidup di samping Loloq yang mana hari ini, kerinduan yang tidak terbendung menerjah ke sanubari Hariah yang ditinggalkan oleh Loloq buat selama-lamanya.

Kata Hariah yang mengimbau kenangan manis hidup sebagai isteri insan seni kreatif itu, saban pagi apabila dia terjaga daripada tidur, itulah aroma yang menusuk ke hidungnya.

"Tetapi kini dia telah tiada. Namun begitu, anak-anak sentiasa berada di samping saya yang menjadi pengubat rindu terhadapnya," katanya kepada Hits ketika ditemui pada sidang media Konsert Untukmu Loloq di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sepanjang 17 tahun melayari bahtera rumah tangga pasangan berkenaan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Kristy Nur, 15, Jeaun Nur, 12 dan Yasha Nur 8 tahun.

Kata Hariah, Loloq yang dilahirkan di Singapura mempunyai sifat suka membaca.

Ceritanya, allahyarham suaminya itu banyak menghabiskan masa dengan membaca yang mana, Loloq sanggup berjalan jauh semata-mata untuk mendapatkan bahan bacaan yang dihajati.

"Minat membaca Loloq bermula sejak kecil apabila ayahnya berpesan agar pergi ke surau dan cari atau 'curi' ilmu di sana.

"Memandangkan dia masih kecil dan tidak dapat faham apakah maksud yang tersirat pesanan ayahnya itu maka dia pergi ke surau dan mengambil buku-buku di situ.

"Pulang ke rumah, dia menghabiskan masa dengan membaca buku-buku yang diambil daripada surau itu," katanya dalam nada tenang tetapi terselit seribu rasa kerinduan terhadap Loloq yang telah dua tahun pulang ke rahmatullah.

Bercakap tentang Konsert Untukmu Loloq di Istana Budaya yang akan diadakan selama tiga hari, bermula esok, 22 April, Hariah melahirkan rasa terharu di atas penghargaan yang diberikan kepada allahyarham.

"Amat terharu apabila hasil nukilan suami saya itu masih lagi disanjung oleh para pencinta seni. Tidak pernah menduga hasil peninggalan arwah akan dipentaskan di pentas berprestij Istana Budaya.

"Saya amat menghargai kesudian pihak penganjur yang membuka ruang untuk mengiktiraf serta menghargai insan seni yang berjuang dalam penulisan lirik seperti arwah suami saya," ujarnya.

Katanya lagi, sememangnya dia menyokong program seumpama itu (konsert) memandangkan jarang sekali penulis lirik diangkat sehingga ketahap yang tinggi seperti ini.

"Orang lebih memberi tumpuan kepada penyanyi sedangkan ramai penulis lirik yang berada dibelakang lagu-lagu popular, tidak dikenali," katanya ikhlas.

Isnin, April 18, 2011

Sumbangan Loloq tak dilupa

petikan Berita Harian 8 April 2011
Oleh Rozdan Mazalanrozdan@bharian.com.my

DARI Kiri; Hasnul Rahmat, ramli Sarip, Ella dan M Nasir yang akan menjayakan konsert Tribute Untukmu Loloq.Konsert khas sebagai perintis hargai sumbangan penulis lirik

MEMPERTARUHKAN koleksi lirik terbaik daripada gabungan penyanyi terhebat di dalam satu konsert menjadi perintis kepada sokongan masyarakat terhadap bidang penulisan. Tanpa penulis lirik, bidang nyanyian kurang serinya, kerana ada juga melodi memerlukan lirik untuk dilagukan yang sendirinya mengandungi mesej untuk disampaikan. Menerusi konsert Tribute Untukmu Loloq pada 22 hingga 24 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), inisiatif daripada Global Network Entertaiment Sdn Bhd (GNE) boleh dipanjangkan.

Penerbitnya, Den Wahab berkata, sebagai perintis menganjurkan konsert penghargaan buat insan yang lahirnya dari bidang penulisan, usaha itu diharap dapat membakar semangat kepada penulis lirik yang masih ada.

“Konsert ini bukan saja menghargai sumbangan yang pernah ditaburkan Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq kepada industri seni, malah ia satu pengiktirafan tertinggi buat semua penulis lirik lagu.
“Selain mengadakan konsert istimewa mengenang penulis lirik yang sudah pergi, pihak GNE juga ada merancang untuk meneruskan konsert umpama ini kepada mereka yang masih hidup seperti Habsah Hassan dan ramai lagi,” katanya.

Konsert Untukmu Loloq mendapat cetusan idea Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disokong sepenuhnya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Den berkata, GNE sebelum ini pernah mengadakan persembahan amal Muzikal Teratak Minang di IB yang sebahagian hasilnya disumbangkan kepada mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia.
Kini konsert Untukmu Loloq juga menjadi sebahagian daripada konsert yang hasil kutipan tiketnya turut disumbangkan kepada balu Allahyarham Loloq.

“Selain berhibur dengan koleksi lagu terbaik, konsert ini juga menjadi konsert amal di mana sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada keluarga arwah untuk pendidikan anak-anaknya.
“Kami juga memberikan mereka tiket penerbangan ke Kuching, Sarawak untuk sekeluarga bercuti selepas berakhirnya konsert ini yang ditaja oleh FireFly,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, isteri arwah Loloq, Hariah Yaacob dan penyanyi yang akan menjayakan konsert itu seperti Datuk M.Nasir, Ella, Ramli Sarip dan Hasnul Rahmat.
Konsert itu turut menyelitkan sketsa yang akan dilakonkan oleh Hasnul Rahmat di bawah arahan Lokman Ghani, ditulis oleh Ad Samad serta keseluruhan muziknya dipimpin oleh Eddie Marzuki bersama Orkestra Seni Kebangsaan (OSK) dan Badan Kesenian Mindef.

Hasnul memang pilihan tepat

Hasnul yang agak terkejut kerana di dalam kesibukan pihak produksi melakukan persiapan konsert itu, namanya dikaitkan untuk membawa watak Loloq.

“Memang saya terkejut apabila penerbit menghubungi saya untuk terbabit sama di dalam konsert ini menerusi sketsa yang dirancang. Sebenarnya saya memang antara kawan kepada arwah dan ada sedikit sebanyak karektor dia saya kenal.

“Namun sebenarnya juga saya bukanlah bertindak melakonkan watak arwah tetapi watak ciptaan yang pernah diciptakannya seperti menerusi lirik lagu dan filem seperti Wak Jono, Laila Majnun, Bonda dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, Hariah yang ditemui pada sidang media itu turut merasa bertuah kerana secara tidak langsung, buat pertama kalinya konsert Untukmu Loloq menjadi perintis kepada sokongan masyarakat terhadap bidang penulisan lirik.

“Saya tidak menjangka perkara seperti akan berlaku, bagi saya satu penghargaan yang baik sebagai menyokong bidang penulisan yang selama ini tidak pernah diangkat dalam industri seni melainkan penyanyi.
“Jika kita tidak ada penulis lirik maka kita tidak ada benda yang hendak dilagukan. Peranan lirik sangat penting kerana di situ ada makna perkataan yang besar kesan dan peranannya,” katanya yang bersemangat menyokong martabat penulis lirik tanah air.

Hariah juga diajukan soalan berkaitan sumbangan yang bakal diterima atas inisiatif penganjur menerusi konsert itu disambut baik atau tidak.

“Keutamaan saya di sini adalah menyokong usaha sama pihak IB, GNE, artis dan karyawan yang membuatkan konsert ini,” katanya.

Sebelum ini, Hariah dan anaknya, Krsty Nur, Jaevn Nur, dan Yasha Nur dikatakan akan melakukan kemunculan khas pada konsert itu untuk menyampaikan puisi, namun akuinya perkara itu tidak akan berlaku.
“Saya tidak berminat memunculkan diri, saya hanya lebih suka menjadi ibu kepada anak-anak di rumah.
“Bila penganjur mengemukakan cadangan dan meminta izin untuk buat konsert dan sketsa, saya tidak pernah fikir pun untuk memilih Hasnul tetapi tiba-tiba nama dia muncul di kepala saya, mungkin ada kaitan kerana dia agak rapat dengan arwah,” katanya.

INFO

Konsert Untukmu Loloq pada 22 hingga 24 April di Panggung Sari, Istana Budaya bermula jam 8.30 malam.

Sebanyak 24 lagu yang liriknya ditulis oleh Loloq dinyanyikan oleh M.Nasir, Ramli Sarip, Ella dan Spider. Persembahan juga akan diselitkan dengan sketsa yang akan dilakonkan oleh Hasnul Rahmat dan Azrul (Raja Lawak)

Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Wak Jono, Andalusia, Apokalips (M.Nasir) Mantera Semerah Padi (duet M.Nasir, Ella dan Ramli Sarip). Ella akan menyanyikan lagu Nuri, Layar Impian, Bagaikan Puteri dan Dunia Batinku. Ramli dengan lagu Syair Laila Majnun, Bonda dan Ghazal Untuk Rabiah (Duet bersama M.Nasir).

Spider menyanyikan lagu seperti Kasih Latifah, Aladin, Laukku Cukup Masin, Cinta Dewa Dewi dan Katalis.

Selain berhibur penonton berpeluang menerima cabutan bertuah tiket penerbangan ke Medan, Pekan Baru, Batam, Singapura dan Alor Setar tajaan FireFly. Selain itu 100 penonton terawal yang membeli tiket berpeluang menerima barangan kosmetik Ori Beauty.

Tiket di jual berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305 dan RM450 yang boleh ditempah dengan menghubungi 03-41478600 atau layari www.ticket2u.biz
 
 


Ahad, April 03, 2011

M Nasir dalam "Jom Chat bersama....."

Bagi peminat M Nasir di luar sana, jangan lupa menyertai program Jom Chat bersama...Datuk M Nasir di Utusan Online pada hari Isnin 4 April 2011 jam 9.30 malam. Sebelum ini siaran online "Jom Chat bersama..." yang dikelolakan oleh Utusan Online... pernah menjemput beberapa artis dan ahli sukan antaranya Ramli Sarip, Aizat dan Anna Raffali.
*sila klik banner untuk ke laman web tersebut.

Seni M. Nasir bukan angkuh

petikan Kosmo! 3 April 2011

MOOD M. Nasir hari ini bertanda ceria, dia menyapa dengan baris-baris skrip filem Mamat Khalid yang meledak, Hantu Kak Limah Balik Rumah. Satu baris ke satu baris dia lontarkan dan kerap dia berkata, “Cer cerita, cer cerita.”

Pantas sebelum empunya diri ditanya pelbagai soalan perihal dirinya yang terbaru, yang peminat terus ingin tahu.

Apatah lagi diregukan dengan sahabat sealiran, Ramli Sarip. Sesi fotografi jadi meriah dengan jenaka dewasa dan usik mengusik antara mereka.

“Lelaki anggun tahun 2011,” usik Ramli terhadap teman yang disapa dengan nama Nasir.

“Tahun 2012 sudah tidak anggunlah,” jawab Nasir pantas. Mereka ketawa bersahaja.

Bakal bersatu dalam satu pentas untuk konsert Untukmu Loloq, dua insan seni ini antara yang akrab dengan arwah. Kalau bukan dalam jurnal harian, mereka bersahabat dalam karya yang kemudiannya menjadi ‘naskhah terbaik.’

Tarikh 22 hingga 24 April bakal membuka lembaran baru berikutan sebuah konsert tribut buat penulis lirik genius yang pergi pada 31 Januari 2008. Jasadnya pergi, tetapi umum masih bersatu dengan lirik peninggalannya yang tidak pernah jemu menjadi siulan.

“Ini bagus, persembahan jujur yang disusun untuk menghargai seniman yang telah pergi,” ulas Nasir perihal konsert yang dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) serta Kementerian Pertahanan (Mindef).

Bersama Spider, Ella dan Ramli Sarip, mereka bakal menyalur rindu dan bayangan Loloq.

Mahu disapa Datuk

Tatkala berita seniman Nasir dikurniakan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, ramai mula mengutus ucap tahniah di laman-laman sosial. Begitu cara khalayak berkongsi gembira atas penganugerahan itu, tepat pada orang dan ketikanya.

Ada yang mula mengusik, selepas ini bagaimana mahu menggelar insan seni ini. Datuk M. Nasir ketawa apabila diaju soalan itu.


BAKAL bersatu dengan Spider, Ella dan Ramli Sarip, sebuah konsert tribut Untukmu Loloq bakal dipersembahkan 22 hingga 24 April ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Terpulang kepada suasana, di mana rasa yang perlu. Ini sebuah penghargaan. Dalam dunia seni, saya ada nama pentas. Selesa untuk saya gunakan nama pentas itu,” pintanya tersirat namun difahami.

“Saya ini orang yang sukakan sejarah. Kalau kita lihat zaman dahulu, (gelaran) Datuk ini persis kesatria. Zaman sekarang, Datuk itu mungkin boleh dikatakan perwira dalam dunia atau arena masing-masing,” kata kesatria dunia seni ini.

“Tanggungjawab kesatria dahulu tinggi. Kini boleh dilihat gelaran Datuk ini adalah pengiktirafan terhadap apa yang telah individu itu lakukan. Ya, gelaran Datuk datang dengan tanggungjawab. Jadi perlu terus memberi untuk khalayak, tanggungjawab itu berterusan,” katanya dalam senyuman.

Eksplorasi tekno

Mengalir masuk ke subjek yang senang dibicarakannya, Nasir ditanya tentang hajatnya pada masa hadapan. Sesuatu yang mungkin belum dicuba dan akan diterokai mengikut dedaun masa kini.

“Orang kita takut bila sebut muzik elektro dan tekno. Saya mahu bereksplorasi dengan muzik ini. Bunyi Melayu (tetapi) disesuaikan dengan elemen muzik tersebut. Masih ada ciri ketulenan, asli tetapi bermain-main dengan bunyi mesin. Saya masih seorang yang sentiasa bereksplorasi dengan muzik,”jelasnya tentang keinginan baru terhadap muzik yang pernah naik arus perdana pada awal tahun 1990-an. Mungkin mahu bermain dengan bunyi sampling dan peranti synthesizer.

SANG papa rock, Ramli Sarip banyak mengusik M.Nasir. Katanya Nasir adalah lelaki anggun 2011.

Dalam rangka yang sama, penghulu enam anak ini juga sedang merencana sebuah konsert untuk tahun ini. Rindu peminat muzik Nasir semakin melonjak apatah lagi kali terakhir dia beraksi di Istana Budaya adalah pada Mac 2009 lalu.

Peminat muzik tempatan dahagakan sebuah konsert berskala besar, lebih molek jika di sebuah tanah lapang beratapkan langit. Biar puas menari dan menyanyi.

“Adalah tu. Sedang merancang. Apa yang penting adalah semua penonton seronok,” jawabnya dengan ayat mudah, umpama sebuah janji secangkir kopi semanis puan.

Lafaznya kemudian, dia juga teringin menngadakan persembahan jelajah buat peminat. Ini sebuah keinginan yang masih tertahan.

Imej angkuh

Di hujung telinga, ada bunyi-bunyi skeptikal yang terkeluar. Mungkin kerana belum kenal mendalam atau mengenali wajah ke wajah dan bersulam bicara, ada anak muda generasi baru yang meletakkan signal.

Penulis bertanya situasi ini kepada empunya diri. Dia termenung bertanya semula:

“Muka saya nampak sombong? Berlagak? “Mungkin sebab wajah ini maka persepsi itu timbul.”

Jujurnya dia melempar respons terhadap hasil karya anak muda. Seorang yang tepat duduknya untuk memberi pandangan itu, Nasir bukan sekadar gelaran. Dia adalah individu yang penuh pengamatan tajam pada kelebihannya.

“Karya generasi baru ada yang okey, ada yang bagus. Cuma kurang pada lirik, agak teruk. Mereka tiada benda nak cerita untuk zaman sekarang. Komposisi muzik ada benda baru yang mahu diberikan. Semangat mereka juga bagus,” jujur seorang penulis yang sering menyapa khalayak dengan situasi rakyat.

RASA ada tanggungjawab dalam gelaran Datuk yang diberikan namun M. Nasir yang satu ini selesa disapa dengan nama pentasnya.

Bersama kumpulan Kembara dahulu, dia pernah bersahabat melalui lirik dengan adanya lagu-lagu seperti Ekspres Rakyat, Impian Seorang Nelayan, Kami Orang Melayu, Penjual Surat Khabar dan Sesat Di Kuala Lumpur.

“Tetapi ada yang buat sahaja lagu (semberono), banyak buat kerana terpengaruh dengan grup yang mereka idolakan. Jadi muziknya jadi seperti yang mereka puja. Itu susah mahu elak,” luah Nasir bagai seorang abang.

“Mungkin setelah dua atau tiga album, mereka ini akan dapat bunyi sendiri dan itu adalah kejayaan. Tapi untuk zaman sekarang, banyak perkara tidak tahan lama termasuk ketahanan sesebuah lagu. Zaman ini perlu cari sesuatu produk yang cepat meletup. Kena cepat buat impak. Kalau tidak akan kendur dan hilang,” katanya.

Penerangannya berlanjutan, bak memasang mata helang meninjau dari langit akan dunia seni tempatan sekarang.

“Zaman ini ada dua situasi. Sama ada kena buat impak besar dan kemudian diberi peluang. Atau ada sesuatu ‘barang’, kerja kuat dan kemudian dilihat ada potensi besar dan kemudian diberi peluang. Sukar untuk mengagak. Tapi itulah dia,” tambahnya.

Siapa kata dia bermusuhan, cuma mungkin dia hanya bersahabat dari kejauhan, melihat peredaran yang terjadi. Mendalami dan menebak cuaca industri.

Sabtu, April 02, 2011

Muzik Islam nusantara M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 2 April 2011
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL
DARAH seni yang mengalir dalam jiwa M. Nasir berjaya menambat hati jutaan peminatnya.

MENGENALI artis senior yang terkenal dengan nama jolokan sebagai Sifu M. Nasir sememangnya momen indah untuk dikongsi bersama.

Kini, setelah dianugerahkan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah baru-baru ini, anak kelahiran Singapura itu tetap tegar untuk aktif di pentas seni demi memartabatkan industri hiburan tempatan.

Menerusi lirik-lirik lagu ciptaannya, banyak makna yang tersirat yang disulamnya sebagai pedoman buat pendengar setia yang meminatinya.

Tambah bermakna apabila ramuan seni tulisannya itu digabungkan dengan elemen muzik Asia Barat yang cukup dekat dengan jiwa keislaman.

Mengulas unsur-unsur keislaman yang wujud dalam lagu-lagunya, M. Nasir menjelaskan seni muzik Islam telah pun bertapak di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya.

Jadi, ujar M. Nasir, dia menggunakan peluang yang sudah lama terbuka itu untuk menyerlahkan daya kreativitinya dalam menyemarakkan dunia seni tempatan.

“Setiap orang mempunyai visi dan misi masing-masing. Saya menempelkan muzik Islam dalam irama nusantara yang saya perjuangkan sebagai satu kelainan buat pendengar.

“Ditambah pula dengan sulaman lirik-lirik yang begitu mendalam maksudnya, itu yang menjadikan jiwa saya begitu tenang ketika mendendangkannya,” jelas penyanyi yang popular dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud.