ANALITIC

Rabu, April 15, 1992

M Nasir tidak pernah nyanyi lagu orang lain.

Petikan URTV 15 April 1993
 (sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)


Album M Nasir “Saudagar Mimpi” edaran syarikat rakaman BMG memuatkan semua lagu ciptaan M Nasir dengan lirik oleh M Nasir, S Amin Shahab, Loloq, Nasir Jani dan Bob.

Terdapat sebuah lagu inggeris bertajuk “Monsoon Dance” dimuatkan dalam album ini. Lagu itu dicipta khas oleh M.Nasir ketika menyertai program muzik di Australia tahun  lalu.

Tujuan sebuah lagu Inggeris dalam album ini bukanlah untuk menidakkan kelebihan bahasa Melayu dan membanggakan orang putih. Bahasa muzik itu sendiri universal.

“Lagipun saya berharap dengan adanya sebuah lagu Inggeris dalam album ini akan menarik bangsa lain untuk turut mendengar lagu lagu Melayu yang lain.” jelas M Nasir yang sudah lama berhajat untuk merakam album Inggeris untuk pasaran dalam dan luar negara.

Mengenai muzik nusantara yang dipeloporinya, M Nasir tidak pernah lupa perjuangan dalam mempopularkan irama Melayu ini. Malah dalam album ‘Saudagar Mimpi’ tetap bercirikan irama melayu.

“Cuma kalau mencipta untuk orang lain saya tengok dari permintaan. Misalnya demam rock masa kini, jadi saya cipta lagu lagu Rock.”

“Saya sengaja tidak mencipta lagu berirama Nusantara untuk orang lain sebab saya tahu mereka tidak boleh bawa sebagaimana saya kehendaki. Jadi biarlah saya yang memperjuangkan irama nusantara melalui album saya. “ jelas M.Nasir


Album ‘Saudagar Mimpi’ mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.
Ia mengandungi lagu-lagu berikut

1. "Apokalips"  M. Nasir/Loloq
2. "Inang Pulau Kencana"  M. Nasir
3. "Keroncong Nostradamus"  M. Nasir/Loloq
4. "Di Balik Cermin Mimpi"  M. Nasir/S. Amin Shahab
5. "Gong Impian"  M. Nasir/Nasir Jani
6. "Hidayah"  M. Nasir
7. "Bikin Filim"  M. Nasir/Nasir Jani
8. "Insan Dan Manikam"  M. Nasir/Loloq
9. "Gurindam Gunung Tahan"  M. Nasir/Loloq
10. "Di Jalan Sesat"  M. Nasir/Bob
11. "Monsoon Dance"  M. Nasir




Di Balik Cermin Mimpi (sumber Youtube 
Sharrul rizal)

Isnin, April 13, 1992

Rambut: Peraturan mesti patuhi

petikan Berita Harian 13 April 1992

KUALA LUMPUR — Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Mohamed Rahmat, telah memberi kata dua kepada artis lelaki negara ini supaya memotong rambut atau kehilangan pembahagian M$2 juta (kira-kira S$1.3 juta) setahun yang diuntukkan kepada mereka yang menyertai rancangan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Kementerian itu telah membelanjakan wang sebanyak itu setahun sebagai bayaran kepada artis yang menyertai rancangan yang diterbitkannya, katanya.

Oleh itu, Datuk Mohamed Rahmat berkata kumpulan penyanyi tempatan yang mengancam mahu memulaukan RTM perlu menyedari bahawa selama ini RTM banyak membantu kerjaya mereka, malah tidak keterlaluan dikatakan stesen itu adalah sumber mereka mencari makan.

"Terpulang kepada mereka membuat pilihan... mahu potong rambut atau tidak kerana kita (RTM) mempunyai peraturan mengenai rambut.

"Mereka (artis) perlu ingat, RTM membayar setiap apa yang mereka lakukan dan memberi keutamaan kepada artis yang sopan dan jujur," katanya kepada pemberita ketika menghadiri rumah terbuka Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini kelmarin.

Sebelum ini, sekumpulan penyanyi yang diketuai seorang komposer, penyanyi dan pelakon merancang memulau RTM yang didakwa menimbulkan pelbagai kesulitan kepada artis tanahair.

Mereka merancang memulau semua rancangan terbitan RTM berikutan rasa tidak puas hati dengan pelbagai garis panduan yang membabitkan artis. — BMM.