ANALITIC

Ahad, Julai 30, 1989

M. Nasir bimbang setiap kali mencipta lagu

petikan Berita Harian, 30 Julai1989

Oleh Kamsah Sirat

Takut nada sumbang, penyanyi tidak popular

Setiap kali beliau mencipta lagu atau ditugaskan mencipta lagu, timbul perasaan takut di hatinya.

Beliau khuatir kalau-kalau lagunya itu sumbang atau tidak sedap didengar atau penyanyi yang bakal menyanyikan lagunya itu tidak akan popular.

"Tak tahu sebabnya, tapi rasa takut itu ada."

"Takut kalau lagu tak boleh popular."

"Kalau tak boleh popular, maka penyanyinya tentu tidak akan dikenali."

"Dan penyanyi pula tentunya tidak akan berasa senang kalau tidak terkenal," jelas M. Nasir dalam wawancara di Hotel Excelsior minggu lalu.

Beliau menambah: "Kalau terkena penyanyi yang sabar, tak mengapalah."

"Tapi, kalau terkena penyanyi yang tak mengerti, susah juga kita."

M. Nasir, 32 tahun, menceburkan diri dalam bidang muzik sejak 10 tahun lalu.

Sejauh ini beliau telah menghasilkan lebih 200 buah lagu, dan ada di antara lagu-lagu ini yang menjadi hit dan menaikkan nama seseorang penyanyi itu.

Menurutnya, terdapat perbezaan antara mencipta lagu atas kehendak sendiri dengan yang ditugaskan.

Mencipta lagu bukan atas kemahuan sendiri menghendaki seseorang pencipta itu menyiapkannya dalam jangka masa yang ditetapkan.

"Lagu yang disiapkan dalam keadaan begitu tidak ada sentuhan rasa yang kita mahukan."

"Lainlah kalau lagu itu kita tulis dengan kerelaan dan cita rasa kita sendiri," kata M. Nasir.

"Hal ini yang ramai penyanyi tidak mengerti," tambahnya.

M. Nasir juga berkata, beliau berasa bimbang kalau ada orang menyatakan yang lagunya popular kerana beliau sendiri mengetahui tentang kelemahan lagu-lagunya itu.

Dan untuk menghilangkan rasa bimbang atau cemas ini saya tulis lebih banyak lagu," katanya.

M. Nasir mendapat pendidikan di sebuah institusi kesenian di sini.

Beliau pernah bergiat dalam bidang lukisan, menulis sajak dan skrip drama, berlakon dan mengarah.

"Ramai yang tidak tahu tentang sejarah seni," katanya.

Beliau menyambung: "Saya mempelajarinya dan saya terapkan semua pengetahuan dan pengalaman itu ke dalam kerja-kerja seni saya hari ini."

"Umpamanya, menerapkan cita rasa saya pada satu-satu hasil kerja lukisan itu ke dalam lagu ataupun cita rasa dalam lagu itu dialihkan kepada lukisan."

"Dan siapa sahaja yang melibatkan diri dalam kerja-kerja seni," katanya, "mestilah bersungguh-sungguh dan rajin mencari dan mengkaji."

Seseorang pencinta seni tidak akan ketinggalan zaman.

Beliau akan sering mengikuti perkembangan semasa.

Kerana sumbangannya dalam bidang seni, terutama dalam bidang muzik, M. Nasir telah dianugerahkan Piala Ilham dan Bintang oleh Bertelsmann Music Group (BMG), sebuah syarikat rakaman dan pengedar piring hitam di sini, pada hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan anugerah itu sebagai satu perkara biasa.

Beliau merasakan bahawa semua lagu ciptaannya itu tidak harus dianggap sebagai satu sumbangan terhadap dunia seni muzik.

"Saya diberitahu anugerah itu diberi kerana sumbangan saya."

"Tetapi saya ingin tahu apakah kriteria yang digunakan untuk memberikan anugerah itu?" kata M. Nasir.

Menurutnya, beliau dijadikan untuk mencipta lagu.

"Hakikat saya dikenali adalah satu anugerah yang paling besar bagi saya."

Bagaimanapun, masyarakat berhak untuk menyatakan lagu-lagunya bagus atau tidak.

Dan adalah menjadi hak mereka juga untuk memberikan sesuatu hadiah itu kerana sumbangan tersebut, jelasnya.

Sementara itu, M. Nasir akan membuat sebuah lagi filem muzikal tahun ini dengan para pelakon yang terdiri daripada kumpulan Wings.

M Nasir bersama isteri. Terdapat perbezaan mencipta lagu atas kehendak sendiri dengan ditugaskan


Sabtu, Julai 15, 1989

Nantikan Hadiah Istimewa M Nasir

Petikan VariaPop 15 Julai 1989
Oleh Rumizah Baki
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)

Kebolehannya sebagai seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit album memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Dia juga seorang pelakon dan seorang pelukis yang berbakat besar. Keanehan dan keunikan dirinya menjadi perhatian umum. Dia yang dimaksudkan ialah M.Nasir, penerbit paling sibuk dan paling popular masa kini.

Kejayaan yang dicapainya pada hari ini adalah hasil kerja keras. Dia juga pernah melalui kegagalan apabila album pertamanya dahulu kurang mendapat sambutan. Namun ianya tidak mematahkan semangatnya untuk terus  berusaha bagi memperbaiki kesilapan dan  kelemahan. Kebolehannya di dalam seni muzik disegani ramai. Banyak artis yang telah berjaya di mercu kejayaan kerana dia. Album-album mereka mendapat sambutan yang di luar dugaan. Diantaranya ialah kumpulan Alleycats, Wings, Search, Bloodshed, Rahim Maarof, Ruhil, Roy dan ramai lagi. Kejayaan mereka adalah di atas usaha kreatifnya.

Apabila kita imbas kembali, penerbit yang berusia awal tiga puluhan ini dahulunya mempunyai sikap aneh. Hal ini menimbulkan pelbagai keresahan terutama kepada mereka yang ingin membuat wawancara dengannya. Hanya orang-orang tertentu dan telah biasa bergaul dengannya sahaja yang mudah untuk berbual panjang.

Bagaimanapun perubahan yang berlaku kepada dirinya kebelakangan ini memberikan kesan yang positif. Dia menjadi semakin peramah dan senang diajak berbual di dalarn pelbagai hal terutama perkara yang ada sangkut paut dengan bidang seni muzik.

M.Nasir yang telahpun mendirikan rumahtangga dan mempunyai dua orang anak ini berpuas hati dengan pencapaiannya selama ini. Ini tidak bermakna dia akan terus tenggelam di dalam arus kagemilangan tanpa berusaha untuk mengekalkannya.

Sekurang-kurangnya dia mesti dapat bertahan dengan kedudukannya sekarang sehingga tahun yang akan datang. M.Nasir yang dibesar dan mendapat pendidikan di Singapura ini menganggap impiannya yang besar tercapai ialah apabila diiktiraf menjadi warganegara Malaysia baru-baru ini. Inilah hadiah yang sekian lama diidam-idamkannya.

Pastinya ini akan memberinya nafas baru untuk melahirkan ciptaan-ciptaan yang lebih bermutu kerana tidak ada sekatan yang menghalang dia daripada menyertai pertandingan muzik yang dianjurkan. Sebelum ini adakalanya dia terpaksa berlindung di sebalik nama orang lain kerana keadaan memaksa.

Kini setelah puas dia menaikkan dan mempopularkan album penyanyi lain dia bersengkang mata pula menyiapkan rakaman album solonya yang kedua keluaran PMC. Ini adalah beban paling berat yang terpaksa dipikulnya. Walaupun begitu dia tidak pernah menampakkan keresahan dan kesukarannya.
Dia tetap tenang menjalankan tugasnya untuk menyiapkan albumnya secepat yang boleh. Di samping itu dia juga menerbitkan album ramai penyanyi lain di dalam waktu yang sama.

Kesabaran, ketenangan dan sikap teliti yang diamalkannya itulah yang membolehkan dia mencapai kejayaan cemerlang selain hari ini. Dia amat serius ketika melakukan sebarang tugas. Tidak hairanlah kalau ada penyanyi yang ‘susah hati’ dan menitiskan air mata bukan kerana tengking herdik tetapi kerana sikap seriusnya semasa rakaman dijalankan.

Album terbarunya yang menerapkan konsep penerokaan ciri-ciri semasa dan tradisional awal awal lagi sudah menampakkan keunikannya. Apatah lagi jikalau peminat mendengar  lagu lagu yang akan didendangkannya. Inilah kelainan yang ingin ditonjolkan oleh M.Nasir melalui album solonya yang kedua ini. Sebagaimana penyanyi lain yang sudah berjaya hasil daya usahanya, dia tentunya mengharapkan agar album solonya ini demikian juga. Ini adalah satu penghargaan kepada dirinya dan hadiah kepada para peminat yang telah mernberikan sokongan terhadapnya selama ini.