Khamis, Mac 24, 2011

M.Nasir, Ramli MS Antara 148 Penerima Darjah Kebesaran Pahang

petikan mstar 24 Mac 2011
M.Nasir (kiri) bersama Ramli MS yang kini bergelar Datuk selepas menerima Darjah Indera Mahkota Pahang.

PEKAN: Seramai 148 orang termasuk dua artis terkenal hari ini menerima anugerah darjah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Dalam satu istiadat yang berlangsung di Istana Abu Bakar di sini, baginda menyampaikan anugerah tersebut didahului dua kerabat diraja Pahang iaitu Tengku Nor Aizah Sultan Abu Bakar dan Tengku Zabedah Sultan Abu Bakar yang menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Baginda kemudian menganugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP)yang membawa gelaran "Datuk Seri" kepada lapan penerima didahului Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Penerima lain termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad; Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; Ketua Eksekutif Kumpulan APEX Development & Construction Berhad Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir dan Pengarah Urusan System Engineering & Construction Sdn Bhd Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim.

Sultan Ahmad Shah mengurniakan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran "Datuk" kepada lima penerima. Mereka ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mariana Yahya; Timbalan Panglima Tentera Udara Lt Jen Datuk Roslan Saad; Panglima Operasi Udara Lt Jen Datuk Ackbal Abdul Samad; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Ibrahim Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Md Yusop Mansor.

Seramai 11 penerima dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang juga membawa gelaran "Datuk".

Mereka termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Abd Bakir Zin; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Mohd Shariff Hussin; Pegawai Undang-undang Khas Jabatan Perdana Menteri Datuk Azhar Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad.

Seramai 124 penerima pula dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran "Datuk" termasuk dua artis popular tanah air iaitu konduktor muzik, Ramli Mohamed Salleh atau lebih dikenali Ramli MS, dan penyanyi dan pencipta lagu Mohd Nasir Mohamed atau M. Nasir.

Penerima lain termasuk anggota exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)Datuk S. Sivasundaram; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Salim Parlan; Pegawai Daerah Rompin Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha; Panglima 4 Briged, Brig Jen Zamrose Mohd Zain; Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Md Jamil dan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Aripin Daud. - BERNAMA

Rabu, Mac 16, 2011

Tiket konsert 'Untukmu Loloq' Istana Budaya

22 - 24 April 2011
8.30 malam
Panggung Sari, Istana Budaya
Saksikan M Nasir, Ramli Sarip, Spider dan Ella menyanyikan lagu-lagu nukilan Allahyarham Loloq  
* lawati ticket2U.biz untuk tempahan secara online.
Harga tiket 'Untukmu Loloq' dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM295 dan RM450.

Selasa, Mac 08, 2011

'M Nasir masih hidup'

petikan Harian Metro 8 Mac 2011

KUALA LUMPUR: Pelakon Marlia Musa menafikan khabar angin yang tersebar mengenai kematian suaminya iaitu komposer dan penyanyi terkenal tanah air, M Nasir, di sini, semalam.

Marlia berkata, dia mendapat tahu mengenai berita itu daripada seorang pengarang hiburan akhbar yang menghubunginya untuk mendapatkan kepastian.

“Sekitar tengah hari semalam, saya dihubungi pengarang hiburan itu bertanyakan kesahihan berita diperolehnya. Tidak dinafikan, sebagai isteri saya terperanjat juga sebaik mendengar khabar itu yang nyatanya tidak benar.

“Sebelum panggilan itu diterima, saya baru saja habis bercakap dengan pengurus abang (M Nasir). Setahu saya, pagi tadi (semalam) abang tidak masuk ke pejabatnya kerana ada mesyuarat di Istana Budaya (IB).

“Daripada maklumat yang kami peroleh kemudiannya, individu yang dilaporkan sudah meninggal dunia itu seorang imam masjid di Jakarta, Indonesia yang singkatan namanya adalah M Nasir,” katanya

Jumaat, Mac 04, 2011

Dah lagu tu. Nak lagu mana lagi!!

* Artikel menarik mengenai lagu M.Nasir dan situasi di timur tengah ini telah ditulis oleh blogger Jiwa Rasa.
Sampul album Phoenix Bangkit M Nasir. Lirik lagu Dah Lagu Tu! dan Lukisan Bayu Uomo Radjikin

Dah Lagu Tu !
(lagu dan lirik M Nasir)

Istanamu telah lama didakap debu
Serinya pula telah hilang
Aku datang tepat waktu
Tapi kau masih ragu kesan luka lalu


Raja-raja dulu telah fana dimakan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma


Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada lagi hari sedihmu


Raja-raja dulu telah fana di makan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma


Sanggupkah kau melepaskan cinta
Dan menantikannya untuk selamanya
Aku berikan padamu kuntum penawar luka
Tiada yang lebih dari itu


Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada hari seindah ini

Lama rasanya saya tak mendengar semula lagu-lagu M Nasir dan menghayati lirik-liriknya. Dahulu, lagu-lagu M Nasir menjadi antara sumber inspirasi saya untuk meneroka mencari maklumat dan ilmu. Lirik-lirik lagu nyanyian M Nasir, khasnya lagu-lagu dalam album Phoenix Bangkit membawa pendengar meneroka ke merata dunia dan merentas zaman. Kisah Jalaludin Rumi dan Mathnawi dilahirkan dalam lirik lagu Bila Rumi Menari. Kisah Pandawa dan Kurawa yang diangkat dari epik Mahabrata digubah dengan begitu indah dalam lagu Langgam Pak Dogo. Lagu Raikan Cinta menggali semula sejarah Siti Hajar dan Nabi Ismail. Lagu Masirah pula mengimbau kisah Muhammad ad Durrah, kanak-kanak berumur 12 tahun yang dibunuh Isarael.

Lagu Dah lagu tu! adalah antara lagu yang saya minati. Mendengar lagunya membuahkan rasa rindu pada leluhur. Rindu pada zaman dahulu. Zaman raja-raja dahulukala. Lagu ini sarat dengan pengaruh muzik Sunda. Tiupan seruling oleh Mohar bisa membuai rasa. Ditambah pula getar petikan kecapi Sunda oleh Zarul Al-Bakri yang berselang seli oleh ketukan gendang Sunda oleh Ramli Jawa.

Iramanya mendayu-dayu diperkemaskan lagi dengan lirik yang mempunyai kisah dan makna yang sangat menarik. Lagu ini terbit di awal tahun 2000 ketika suasana politik dalam negara masih panas bahangnya. Ia mengisahkan kisah seorang Maharaja yang sudah lama duduk di puncak kekuasaan. Lamanya di tampuk sehingga sukar mahu melepaskan takhta. Lebih menarik lagi, tajuk lagu itu `Dah Lagu tu' adalah dialek dari negeri sebelah utara. Mujurlah orang Melayu sudah ramai yang tidak memahami bahasa Melayu dan tidak memahami maksud yang tersirat di sebalik lirik lagu ini. Jika tidak, sudah tentu ada kelompok yang mahu menjerit mahu membakar album Phoenix Bangkit karya M Nasir ini.

Kini, putaran hidup bermula lagi. Pemimpin-pemimpin dunia di negara Arab sudah diminta turun dari puncak kuasa. Siapa sangka pemimpin yang pernah dijulang sebagai hero dan penyelamat bangsa boleh diturunkan dengan hina dan paksa. Bukan sedikit jasa dan budi mereka dahulu, lalu dijulang oleh rakyat ke tampuk kuasa. Namun, begitulah adat, bila sudah lama duduk di kerusi empuk, kadang-kadang lupa nasib rakyat yang hidup berlantaikan tanah berbumikan langit. Lama sangat di tampuk, tidak sedar rupanya orang sudah tidak berkenan lagi.

Jangan cepat sangat bersorak melihat mereka diseret ke bawah oleh rakyat, tanpa mahu mengambil iktibar. Ini pesan untuk semua. Pemimpin besar dan kecil. Bukan raja-raja sahaja boleh jatuh. Pemimpin kecil juga boleh jatuh jika tidak menjunjung amanah. Memimpin itu amanah yang akan ditanya nanti. Harus diingat, yang menjawab nanti bukannya mulut kita, tetapi mulut mereka yang kita pimpin