petikan HipGlam 16 Oktober 2024
oleh HAIKAL ISA
SEBELUM bercerita panjang lebar, ingin ditegaskan di sini, betapa susuk bernama Datuk M. Nasir selayaknya diiktiraf legenda dengan kemenjadian konsert M.Nasir Cipta 2 yang melabuhkan tirainya Sabtu lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert anjuran Icon Entertainment tersebut berjalan cemerlang dari minit pertama hingga dilunaskan tiga jam kemudian.
Dari sudut kawalan pentas, pencahayaan, momen interlude, listrik vokal, interaksi dengan penonton dan pelbagai perihal signifikan lain, produksi Cipta 2 kali ini memang tiada galang gantinya dan kekal dalam benak fikiran penulis sebagai antara persembahan pentas paling hebat untuk 2024.
Memang semakin kukuhlah pernyataan yang dilontarkan orang penting industri bahawa kalau ingin belajar soal persembahan atau karisma pentas, belajarlah daripada figura bernama Mohamad Nasir Mohamed itu.
Tidak mahu dibocorkan bagaimana pola persembahan berlangsung pada persembahan Sabtu lalu menerusi tulisan ini. Maka jika kalian tidak berkunjung ke Axiata, itu adalah satu bentuk kerugian yang barangkali boleh ditebus untuk edisi ketiga kelak (jika ada).
SEPENUH jiwa dan menumbuhkan rimbunan rasa, Cipta baik 1 atau 2 bukanlah sekadar konsert tetapi pentas untuk M. Nasir bercerita tentang citra dan cintanya terhadap apa sahaja yang ada di mata dan jiwa.
Yang penting, M. Nasir mendendangkan kesemua lagu yang menjadi kegemaran ramai dan berstatus malar hijau.
Merupakan antara pemuzik terbaik Nusantara, beliau membuktikan usia bukan penghalang.
Masih gagah pada usia 67 tahun, seperti pada edisi sulung, anak kelahiran Bukit Panjang (dahulu Koloni Singapura) itu menyanyikan lagu-lagu popular dendangan asal yang ‘dibangunkan’ artis lain menerusi magis gubahan muziknya.
Pemilihan
Antara yang berkumandang pada malam tersebut termasuklah kebanyakannya lagu dendangan Search seperti Pawana, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Laila Namamu Teratas dan Kejoraku Bersatu.
Karya gubahannya yang mengangkat nama kumpulan rock Wings seperti Hukum Karma dan Peronda Jaket Biru turut dilaungkan pada malam tersebut dan disambung dengan energi sing-along daripada lebih 8,000 penonton yang membanjiri Axiata.
SETEGUH kersani, M. Nasir seperti tiada lelah memuncakkan energi selama hampir tiga jam beraksi sepanjang konsert.
Percaturan meletakkan bait-bait lirik di kiri dan kanan skin LED pentas ternyata satu langkah bijak biarpun bagi penulis secara peribadi, kalau tiada pun lirik terpampang, satu stadium sudah semula jadi bergema kerana kesemua lagu didendangkan memang evergreen.
Ketika bertemu dengan teman-teman media usai konsert dilunaskan, M. Nasir berkata, konsert kali ini memberikan kepuasan yang berbeza berbanding edisi pertama.
“Agak berbeza kerana jurutera muzik kali ini lain. Makan masa juga sebenarnya untuk menyesuaikan dan melazimkan bunyi.
“Dia atas pentas kalian tak tahu apa macam mana bunyinya, bukan?
“Saya cuma harap apa yang dilaksanakan memuaskan semua,” katanya.
Dua siri, Cipta 1 dan Cipta 2 cukup namun jika Cipta 3 sedang direncana, M. Nasir sudah tidak perlu gusar kerana masih ada yang kedahagaan hiburan daripadanya.
‘Buat konsert kerja saya’
Ditanya seberapa kerap beliau ingin berkonsert susulan kejayaan demi kejayaan diraih, begini jawab: “Itu semua atas permintaan.
“Kalau ada permintaan yang cukup banyak, kita boleh buatlah.
“Tapi, biar kena masa yang betul. Sebab bagi saya, konsert ini seharusnya memberi kesan kepada penonton. Buat konsert sebesar ini, bukan senang sebenarnya.
“Nak kumpulkan orang yang nak komited nak buat konsert pun susah.
“Orang yang berpengalaman macam Iman Tang, dia boleh sahaja. Minggu depan kalau dia nak buat satu (konsert), dia boleh buat (ketawa).”
DITERAJUI Iman Tang, penganjuran Konsert M. Nasir Cipta 2 dan edisi pertamanya mungkin menjadi produksi konsert tanah air terbaik yang pernah disaksikan peminat tahun ini.
Antara lagu yang didendangkan pada malam konsert termasuklah Kenangan Lalu dipopularkan Flybaits. Kata M. Nasir, tidak semua tahu tentang kewujudan lagu tersebut, terutama pendengar muzik era sekarang.
Lagu berkenaan sangat popular era 1980-an dan menjadi tanggungjawabnya melazimkan karya sehebat seindah itu buat generasi hari ini.
“Mungkin sebahagian besar anak sekarang tak pernah dengar lagu itu. Yang datang konsert malam ini puratanya usia 40 tahun ke atas.
“Bagi mereka yang tahu. lagu itu (Kenangan Lalu) memberi kesan nostalgia yang sangat asyik. Kalau dengar, boleh nampak gambaran kehidupan,” ungkapnya.
Ditanya tentang bagaimana deras adrenalin dalam jiwanya sering mengadakan konsert pada usia yang menghampiri angka 70, kata M. Nasir berulang kali: “Saya seronok buat konsert sebab itu kerja saya sebenarnya. Saya kena seronok dengan kerja saya.”
Selain momen-momen lain yang dipancarkan di pentas, antara yang menjadi percakapan ramai adalah pemilihan lagu Satu Hari Di Hari Raya sebagai penutup.
KONSERT M.Nasir Cipta 2 melakar memori indah buat peminat tegar maestro tersohor negara ini.
Momen raya, stadium
Kata sosok yang mendapat gelaran Sifu itu, beliau hanya ingin merelevankan lagu tersebut.
“Hari raya ini adalah hari kegembiraan dan kemenangan.
“Jadi, niat saya nak menghadiahkan lagu tersebut untuk mereka yang terkesan dengan peperangan dan macam-macam penindasan. Saya rasa pemilihan itu bersifat relevan,” katanya.
M. Nasir tidak menolak andai diberi peluang dan kudrat untuk mengadakan konsert berskala stadium pada masa hadapan.
Katanya, beliau seorang penyanyi yang banyak melakukan ad-lib (secara spontan) dan itu sangat penting.
“Saya menyanyi banyak ad-lib tak sama dengan rakaman. Kena banyak sesuaikan dengan keadaan dan penyanyi baharu sekarang kena belajar. Saya percaya mereka boleh.
“Konsert berskala stadium (stadium-scale) kita kena rancanglah. Mungkin peminat 40 tahun ke atas di Kuala Lumpur dah habis nak datang konsert (ketawa), saya nak tarik budak-budak yang 40 tahun ke bawah lepas ini,” tutupnya. – HIBGLAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan