petikan Berita Harian 13 Oktober 2024
Oleh Farihad Shalla Mahmud - farihad@bh.com.my
Segmen penutup Konsert Datuk MN45ir Cipta 2 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi meriah apabila M Nasir mengakhiri persembahannya dengan lagu Satu Hari Di Hari Raya. - Foto Ihsan Bangsawan Pictures
KUALA LUMPUR: Segmen penutup Konsert Datuk MN45ir Cipta 2 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi meriah apabila M Nasir mengakhiri persembahannya dengan lagu Satu Hari Di Hari Raya.
Lebih menggamatkan keadaan apabila 10,000 sampul raya berisi duit RM1 jatuh bertaburan daripada bumbung mengiringi nyanyian penyanyi dan komposer tersohor itu.
Mengulas kejutan yang dibuat penganjur konsert, M Nasir berkata, dia terbuka untuk menerima idea kerana mempunyai nilai positif di dalamnya.
"Selalunya benda-benda macam ini saya anggap kelakar sahaja, tapi di sebalik kelakar ada makna yang mendalam dari segi persembahan.
"Ia juga menjadi metafora dalam diri promoter konsert yang ada sikap nak buat kebajikan dan cintakan kepada kemanusiaan.
"Walaupun nilai hanya seringgit tapi bagi saya idea itu penting," katanya pada sidang media selepas konsert berakhir.
M Nasir mengundang Kid mengiringi persembahannya ketika menyampaikan lagu Fantasia Bulan Madu, Isabella dan Tiara. - Foto Ihsan Bangsawan Pictures
Sementara itu, pengasas ICON Entertainment, Iman Tang memaklumkan pemberian duit raya itu mempunyai maksud tersendiri buat dirinya.
"Kita sediakan dalam 10,000 sampul duit raya dan minta tukarkan RM10 ribu kepada RM1 not baharu. Lagu hit, Satu Hari Di Hari Raya itu memang 'anthem' dan saya rasa ia harus dibawakan.
"Kalau bukan di bulan raya pun, apa salahnya? Selain duit seringgit, ada juga nota yang tertulis duit RM1 besar nilainya 45 tahun lalu," jelasnya.
Terdahulu, menerusi konsert durasi tiga jam itu, komposer yang mendapat jolokan Sifu itu menyanyikan lebih 30 lagu termasuk lagu penyanyi lain yang mendapat sentuhannya.
Gitaris terkenal, Kid turut menghangatkan lagi konsert itu apabila mengiringi M Nasir dengan petikan gitarnya ketika lagu Fantasia Bulan Madu, Isabella dan Tiara didendangkan.
Antara selebriti tempatan yang hadir memberikan sokongan termasuklaj Wings, Spider, Lah Ahmad, Datuk Fauziah Nawi, Farah Ahmad, Azhan Rani, Akim Ahmad, Stacy dan ramai lagi.
Untuk konsert kali ini pemuzik dan penonton lengkap berpakaian denim biru dan warna putih yang menjadi tema konsert kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan