Selasa, April 21, 2026

'Sifu' mahu terus berkarya

 petikan Berita Harian - 21 April 2026

Oleh Affan Rostam 


M Nasir melihat perjalanan 47 tahun dalam dunia seni sebagai satu takdir yang membentuk dirinya. Foto NSTP/Amirudin Sahib

IPOH: Hampir lima dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Datuk M Nasir menganggap perjalanan dilaluinya sebagai takdir yang mencorakkan jiwa dan dirinya hingga ke hari ini.

Mula melangkah sebagai anak seni sejak 1979, M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed yang kini berusia 68 tahun tidak lagi melihat bidang diceburi sebagai kerjaya semata-mata.

Sebaliknya, komposer dan penyanyi yang digelar 'Sifu' itu menyifatkan seni sebagai ruang menzahirkan kreativiti serta memahami erti kehidupan yang lebih luas melalui karya.

"Bidang ini terlalu istimewa dan saya rasa saya sudah ditakdirkan begini. Dulu saya sukar menerimanya kerana tidak tahu arah yang perlu dituju.

"Tetapi kini saya terima bahawa arah itu sudah ada. Saya masih berjalan dan bersyukur masih aktif pada usia ini," katanya pada sidang media pengumuman konsert DATO' M.N47IR CIPTA 4 di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini, baru-baru ini.

Mengimbas perjalanan seni yang mencecah kira-kira 3,000 diskografi, M Nasir mengakui tidak pernah merancang pencapaian tersebut.

Katanya, setiap karya terhasil secara semula jadi, berasaskan kreativiti dan keperluan mencari rezeki.

"Saya tidak pernah fikir secara serius. Pada awalnya hanya untuk mengekspresikan kreativiti dan mencari rezeki.

"Perjalanan itu dipengaruhi pengalaman hidup hingga membentuk karya yang ada hari ini. Saya percaya semuanya mengikut jalan yang ditentukan Tuhan," katanya.

M Nasir turut terbuka bekerjasama dengan bakat baharu, namun mengakui kekangan masa menjadi cabaran utama.

"Saya masih meneliti bakat yang sesuai. Ramai yang bagus dan saya masih mencipta lagu," katanya.

Beliau berkata, kolaborasi dengan penyanyi baharu atau lama tetap terbuka, namun perlu kepada kesesuaian masa.

"Kekangan masa menjadi cabaran. Mungkin belum sampai waktunya," katanya.

Menyentuh perubahan industri muzik, beliau melihat dunia digital sebagai faktor utama mengubah corak penerimaan karya.

"Segalanya bergerak pantas. Orang mengejar sensasi kerana terlalu banyak pilihan. Fokus penonton semakin terhad.

"Algoritma media sosial juga mempengaruhi apa yang dilihat pengguna," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kesabaran masih penting dalam menghasilkan karya berkualiti.

"Karya yang baik memerlukan masa untuk dihayati. Tetapi kini ramai mahukan sesuatu yang segera dan tular," katanya.

Dalam pada itu, M Nasir terbuka untuk kolaborasi dengan pengkarya dari pelbagai latar.

"Dengan sesiapa pun saya terbuka. Saya suka cabaran menggabungkan kreativiti berbeza," katanya.

Terdahulu, selepas kejayaan siri Cipta, M Nasir kembali dengan DATO' M.N47IR CIPTA 4 yang dijadual berlangsung 4 Julai depan di Unifi Arena Kuala Lumpur bersempena ulang tahun kelahirannya ke-68.

Pengumuman konsert dibuat dalam tren KTMB dari Kuala Lumpur ke Ipoh, dalam acara Expres Rakyat (Nasi Ganja) Tok Nasir ke Ipoh.

Penganjur turut mengumumkan kehadiran Melly Goeslaw sebagai artis undangan.

Melly berkata beliau terbuka untuk kolaborasi dan menyifatkan M Nasir sebagai figura luar biasa dalam dunia seni.

"Beliau seorang pujangga. Liriknya penuh makna dan bersifat 'bersayap'," katanya.

Melly turut menyifatkan M Nasir sebagai idolanya selepas Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Konsert DATO' M.N47IR CIPTA 4 bertemakan Batik Injection dijangka menampilkan 30 hingga 40 lagu termasuk segmen medley.

Jualan tiket bermula RM238 hingga RM588 akan dibuka pada 24 April ini menerusi platform Ticket2u.

Tiada ulasan: