petikan Berita Harian 16 April 2026
Oleh Affan Rostam
M Nasir menjanjikan persembahan berskala mega dengan himpunan karya terbaik sepanjang kariernya. Foto NSTP/Amiruddin SahibIPOH: Selepas kejayaan tiga konsert di bawah jenama Cipta termasuk Cipta Raya yang mencetus fenomena luar biasa pada 2024 dan 2025, Datuk M Nasir meneruskan langkah dengan penganjuran konsert DATO' M.N47IR CIPTA 4.
Masih di bawah kelolaan penganjur sama, Icon Entertainment, konsert itu dijadualkan berlangsung sempena ulang tahun kelahiran ke-68 maestro muzik tersohor berkenaan pada 4 Julai depan di Unifi Arena Kuala Lumpur.
Menariknya, pengumuman konsert dibuat menerusi sidang media khas di dalam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika perjalanan dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Ipoh, hari ini.
Pada acara yang dinamakan Expres Rakyat (Nasi Ganja) Tok Nasir Ke Ipoh itu, penganjur turut membuat kejutan apabila mengumumkan komposer dan penyanyi legenda Indonesia, Melly Goeslaw sebagai artis undangan.
Penyanyi yang digelar 'The Queen of Soundtracks' itu turut hadir memeriahkan sidang media dan sempat menyampaikan petikan lagu ciptaan M Nasir yang dipopularkan kumpulan Search, Fantasia Bulan Madu, selain lagu popularnya, Butterfly.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata penyatuan dua komposer hebat dari negara serumpun itu bakal menjadi pengalaman berharga buat peminat.
"Salah seorang artis jemputan ialah pencipta lagu tersohor dari Indonesia dan kita satukan bersama M Nasir di satu pentas.
"M Nasir tidak pernah digandingkan, sama ada secara 'on air' atau 'off air', bersama Melly. Inilah keistimewaan Cipta 4 yang menghimpunkan dua komposer hebat rantau ini.
"M Nasir mempunyai kira-kira 3,000 lagu, manakala Melly sekitar 700 karya. Sebagai penganjur, kami bukan sekadar memilih tarikh dan lagu, sebaliknya memastikan persembahan ini mencapai standard tersendiri," katanya.
Pada masa sama, M Nasir berkata, segala perancangan termasuk konsep persembahan sudah diperhalusi bersama pihak penganjur bagi memastikan kelancaran konsert berskala mega itu.
"Segala konsep dan pengisian malam konsert sudah diperhalusi bersama Iman. Selepas perbincangan, saya harap semuanya berjalan lancar.
"Kita hidup dalam masyarakat yang menghargai keaslian. Jadi saya harap karya asli seperti siri Konsert Cipta terus diterima dan menjadi kesukaan ramai," katanya.
Sementara itu, Melly meluahkan keterujaan untuk berkongsi pentas bersama M Nasir dan menyifatkan peluang itu sebagai satu penghormatan besar.
"M Nasir ialah komposer besar di Malaysia. Ini penghormatan buat saya apabila diundang sebagai penyanyi jemputan.
"Saya meminati karya beliau dan banyak lagunya turut popular di Indonesia. Selain berduet, saya berharap dapat menggubah lagu bersama beliau," katanya.
Konsert bertemakan Batik Injection itu dijangka menampilkan antara 30 hingga 40 lagu termasuk segmen medley yang menjadi identiti siri Cipta.
Jualan tiket bagi semua kategori, bermula dari RM238 hingga RM588, akan dibuka pada 24 April ini menerusi platform Ticket2u

Tiada ulasan:
Catat Ulasan