Ahad, Januari 25, 2009

Perjalanan M Nasir

petikan Harian Metro 25 January 2009
Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

“KONSERT ini bakal mengungkap perjalanan muzik saya dari dulu hingga kini. Sejak mula membabitkan diri dalam bidang seni, saya melalui pelbagai frasa dalam penciptaan lagu.

“Pelbagai genre lagu sudah saya cipta dan selami kerana saya memang gemar menyuntik elemen baru dalam setiap karya saya,” kata M Nasir.

Komposer, penyanyi, pelakon dan pengarah filem ini berkata demikian apabila ditanya mengenai persembahan keseluruhan konsert solo Alam Muzik M Nasir yang bakal menggemakan dewan Panggung Sari Istana Budaya pada 27 Februari hingga 1 Mac depan.

Malah, lelaki ‘seni’ ini menyifatkan konsertnya sebagai sesuatu yang sangat bermakna dalam kehidupannya dan memberi jaminan bahawa peminat pasti terhibur dengan pengalaman serta perjalanan muziknya dari dulu hingga sekarang.

Pementasan di Istana Budaya ini pernah tertangguh. Berbulan-bulan lamanya, tetapi tidak mematahkan semangat dan jiwa anak seni kental ini. Penantiannya terlerai dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk kumpulan media The New Straits Time Press Berhad.

Berkonsepkan alam muzik M Nasir, konsert ini antara penganjuran pertama yang diadakan selama tiga hari berturut-turut. Sebagai penyanyi yang membina nama di persada seni hiburan sejak 30 tahun lalu, M Nasir sekali lagi diberi penghargaan apabila berpeluang mengadakan persembahan di Istana Budaya.

Menurut anak seni ini, Alam Muzik M Nasir dianjurkan oleh Box-office (M) Sdn Bhd. Katanya, ini adalah kerjasama kali kelima diadakan bersama syarikat penganjur terbabit.

“Sudah pelbagai jenis persembahan muzik dan konsert pernah saya lakukan sejak berkecimpung dalam dunia seni ini. Malah, kerjasama antara saya bersama Box-office bermula sejak 1983 apabila mereka mengundang saya yang pada waktu itu masih bersama kumpulan Kembara mengadakan satu konsert rock.

“Sejak itu kerjasama yang terjalin menjadi semakin rapat dan saya percaya dengan pengurusan mereka. Kini, kerjasama itu sekali lagi terjalin,” katanya.

Tambah M Nasir, konsertnya tidak akan menampilkan mana-mana artis sebagai jemputan, sebaliknya pentas Panggung Sari akan sepenuhnya menjadi penyanyi ini.

“Sebenarnya, ia adalah idea pihak penganjur. Bagi menampilkan kelainan, tiada artis jemputan diundang untuk bersama saya pada malam konsert itu.

“Ia juga bakal menjadi persembahan eksklusif daripada saya untuk penonton. Pada malam konsert itu, saya akan menyanyikan pelbagai jenis lagu ciptaan dan nyanyian sendiri atau orang lain. Begitupun, hanya lagu yang sesuai akan dipilih,” katanya.

Tambah anak seni berkaliber ini, bagi menampilkan kelainan, konsert berkenaan akan melalui beberapa perubahan. Katanya, dia mahukan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan untuk menghiburkan peminatnya.

“Pentas di Panggung Sari akan direka khas untuk konsert berkenaan. Gambaran asasnya sudah ada, tetapi ia perlu melalui beberapa perbincangan sebelum keputusannya dibuat. Untuk kali ini, saya menggunakan khidmat dan kreativiti Usop Kopratasa dalam menghasilkan pentas menarik.

“Sekalipun konsert ini akan diadakan tiga hari berturut-turut, pengisiannya sedikit berbeza. Keadaan pentas tidak akan diubah, sebaliknya susunan lagu sedikit berbeza daripada malam sebelumnya.

“Di samping itu penataan cahaya, muzik dan beberapa perkara lagi akan diberi tumpuan supaya konsert ini diingati selama-lamanya,” katanya sambil memberitahu konsert berkenaan diiringi 10 pemuzik handalan.

Tiada ulasan: