Rabu, September 27, 2006

Sambutan Cipta Ekspres menggalakkan

petikan Berita Harian 27 September 2006
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Tiga puluh komposer, penggiat berkampung tiga hari di Port Dickson cari ilham

DALAM usaha proaktif untuk membangunkan industri muzik tempatan, Music Author’s Copyright Protection (MACP) Berhad dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKwa) menganjurkan bengkel Cipta Ekspres selama tiga hari di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Membawakan tema, Muzik Jenama Malaysia, 30 komposer dan penggiat seni terkenal berkolaborasi bersama ahli kumpulan masing-masing mencari ilham dan menghasilkan buah fikiran dalam mencipta lagu berteraskan ciri kesenian Malaysia.

Pengerusi MACP, Habsah Hassan berkata, sambutan terhadap penganjuran yang memasuki tahun ketiga itu paling memberangsangkan berdasarkan banyak nama terkenal seperti M Nasir, Adnan Abu Hassan, Johan Nawawi, S Atan dan Zul Mahat yang hadir.

Pemilihan peserta, katanya, berdasarkan cabutan undian yang dijalankan wartawan untuk berlaku adil kerana lebih 2,000 ahli yang menaungi persatuan itu dan ini menyukarkan MACP untuk mengumpulkan mereka semua.

“Jika dilihat kebanyakan peserta adalah nama senior. Namun ini bukan bermakna MACP membelakangkan karyawan muda. Beberapa muka baru turut terpilih menyertai bengkel ini, bagaimanapun mereka menarik diri pada saat akhir kerana ada komitmen lain.

“Kami tidak boleh menghalang kerana faham bengkel sebegini tidak mendatangkan pulangan wang. Apabila mereka menarik diri, kami tiada jalan lain kecuali mengundang ahli jawatankuasa untuk memenuhi kekosongan itu,” katanya.

Jika pada dua acara terdahulu, MACP tidak memfokuskan bengkel itu kepada tema khusus, tahun ini mereka mengangkat tema Jenama Muzik Malaysia bagi menggalakkan penghasilan lagu berteraskan muzik tempatan.

Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan, seterusnya bekerjasama menghasilkan sebuah lagu lengkap yang didendangkan artis jemputan seperti Nora, Ziana Zain, Syura, M Nasir dan To’ki.

“Dari segi matlamat, penganjurannya belum mencapai 100 peratus kerana masih banyak lagi ruang yang perlu diteroka. Insya-Allah usaha seperti ini akan terus dipergiatkan bagi meneroka sisi baru dalam penciptaan lagu,” katanya.

Habsah tidak menafikan, bengkel anjuran MACP mempunyai matlamat besar malah ingin mengembangkannya di peringkat tertinggi namun usaha itu tidak akan bermakna jika tidak disokong banyak pihak lain.

“Sokongan banyak pihak diperlukan untuk memastikan karya yang dihasilkan tidak tenggelam begitu saja. Sebagai contoh lagu Awan Yang Terpilu nyanyian Ning Baizura yang dicipta ketika bengkel seperti ini.

“Ia menjadi sebutan apabila dirakamkan semula dan mendapat sokongan stesen radio. Begitu juga harapan yang kami letakkan untuk lagu yang dihasilkan dalam bengkel kali ini. Justeru, sokongan pihak seperti KeKKWa akan membantu untuk memperkuatkan lagi usaha itu,” katanya.

Sepanjang tiga hari bengkel, 10 lagu berjaya dicipta iaitu Sayang Pantun Budi (ciptaan S Atan, Asmin Mudin dan Yusri Yusuf), Nur Suci (Wan Zul, Azam Dungun), Apa Adanya (Khairil Johari Johar, Aidit Alfian, Ad Samad dan Audi Mok) dan Miliknya (Fauzi Marzuki dan Bob Lokman).

Lagu lain yang dihasilkan adalah Joget Si Bunga Kekwa (Ramlan Iman, Salamiah Basiron, Keon dan Is Wow), Dalam Nyata dan Fantasi (Is Wow, Azmeer dan Keon), Qalbu (Johari Teh, To’Ki dan Bob Lokman), Pengemis (M Nasir, Andi Rahman, Arab dan Anuar Dahalan), Ku Tetap Menanti (Adnan Abu Hassan, Ayub Ibrahim, Azam Dungun) dan Sayangnya (Johan Nawawi, Zul Mahat dan Bob Lokman).

Bagaimanapun katanya, menyedari suasana pasaran album yang kurang memberangsangkan MACP bercadang menerbitkan sendiri di samping mencari jalan baru untuk memasarkan lagu terbabit.

“Mungkin kami akan menjualnya menerusi internet sekiranya tiada pihak yang menghargai usaha ini. Tetapi, kami akan memastikan penerbitan album tidak bercanggah dengan peranan MACP kerana persatuan ini perlu melindungi ahlinya,” katanya
Tambahan artikel BiPop 26 September 2006


tambahan artikel BiPop 26 September 2006

Joget Si Bunga Kekwa bawa tuah
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

LUNAK suara Syura dan merdunya irama tradisi Melayu akhirnya membawa kemenangan buat lagu Joget Si Bunga Kekwa karya bersama Ramlan Imam, Salamiah Basiron, Keon dan Is Wow dalam Cipta Xpres MACP 2006.

Acara itu berlangsung di Residence Desa Lagoon Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan, Isnin lalu.

Sementara itu tempat kedua dikongsi bersama oleh lagu Apa Adanya karya Khairil Johari Johar, Aidit Alfian, Ad Samad dan Audi Mok dendangan Ziana Zain serta lagu Sayangnya (Johan Nawawi, Zul Mahat dan Bob Lokman, nyanyian M Nasir dan Nora) Dengan pengumuman itu, bermakna usaha Perlindungan Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP) mencari lagu yang berkonsepkan Muzik Jenama Malaysia tercapai menerusi bengkel penciptaan lagu yang berlangsung selama empat hari di pusat perangingan itu.

Ramlan berkata, Joget Si Bunga Kekwa sebenarnya satu ekperimentasi beliau dan rakan-rakanya dalam menghasilkan lagu berentak Irama Malaysia atau etnik Melayu.

"Kami sama sekali tidak menyangka bahawa lagu itu akan menjadi pilihan juri. Saya tahu lagu berkenaan agak catchy tetapi pada masa yang sama, kami tidak terlintas ia akan memenangi pertandingan ini. Ia dirasakan sebagai sebuah lagu yang tidak tipikal daripada melodi yang sedia ada," katanya.

Seramai 30 karyawan seni yang terdiri daripada komposer, penggubah lagu, penulis lirik dan pemuzik handalan seperti S Atan, M Nasir, Adnan Abu Hassan, Johari Teh serta Fauzi Marzuki memerah idea bersama ahli kumpulan masing-masing untuk mencipta lagu baru dalam bengkel terbabit. Bengkel berkenaan anjuran MACP dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa).

Ia sejajar pelan induk kementerian di bawah Program Pembangunan Industri Muzik Malaysia. Komposer dan pemuzik itu diberi peluang berkumpul di tempat yang selesa untuk mencipta lagu yang serasi dengan tema itu.

Ia juga bermatlamat untuk melahirkan karya yang berasaskan ciri-ciri kesenian Malaysia dengan elemen muzik kontemporari.

Bagi Johan Nawawi, bengkel itu memberi peluang kepada ahli MACP bekerjasama menghasilkan karya dalam suasana tenang tanpa gangguan.

"Ia sebagai dorongan kepada kami supaya dapat melahirkan ciptaan yang segar, asli, berasaskan muzik Malaysia yang boleh menjadi kebanggaan kita semua.

"Walaupun masa yang ditetapkan agak suntuk namun dengan keperluan yang disediakan, kami berkongsi ilmu untuk melahirkan daya kreatif tinggi dan menghasilkan lagu yang lebih mencerminkan identiti sendiri.

"Ini adalah kali pertama saya berkesempatan menyertai bengkel ini selepas tiga kali diadakan," katanya.

Selain lagu Joget Si Bunga Kekwa, Apa Adanya dan Sayangnya, lagu lain yang dipertaruhkan ialah Sayang Pantun Budi ciptaan dan lirik S Atan, Asmin Mudin dan Yusri Yusuf dendangan Syura, Nur Suci (Fauzi Marzuki, Wan Zul dan Azam Dungun - Azmeer) serta Miliknya (Fauzi Marzuki dan Bob Lokman - M Nasir).

Tidak ketinggalan lagu Dalam Nyata Dan Fantasi (Is Wow, Azmeer dan Keon - Azmeer & Is Wow), Qalbu (Johari Teh, To'ki dan Bob Lokman), Pengemis (M Nasir, Andi Rahman, Arab dan Anuar Dahalan - M Nasir) dan Ku Tetap Menanti (Adnan Abu Hassan, Ayub Ibrahim dan Azam Dungun - Nora).

Tiada ulasan: