petikan Berita Harian 11 September 2006
Oleh Zul Husni Abdul Hamid dan Farihad Shalla Mahmud
Anugerah Era 2006 (AE’06) berakhir tanpa sebarang kejutan, sebaliknya menyaksikan juara AF3 unggul dengan tujuh kemenangan
ENAM tahun lalu, ketika AE pertama kali berlangsung, Arena Of Stars, Genting Highlands menyaksikan penyanyi tersohor, Siti Nurhaliza unggul dengan empat kemenangan. Siti mengulangi kejayaan pada AE’02 apabila meraih tiga kemenangan, termasuk mempertahankan trofi Vokal Wanita Pilihan.
Bagaimanapun, bersilih ganti tahun tiada seorang pun artis yang mampu memecah pencapaian penyanyi dari Kuala Lipis, Pahang itu. Siti terus selesa, biarpun pernah tewas tetapi namanya jarang tercicir dalam senarai pemenang.
Bagaimanapun, AE’06 menyaksikan sebutir lagi bintang terus bergemerlapan di langit seni. Biar teruk dilambung dugaan, biar payah jalan yang dibina malah bukan sedikit keringat dan air mata yang menitis.
Tetapi, hari ini dia muncul sebagai wira seni baru. Selepas setahun, usia yang barangkali terlalu muda untuk mengecap kemasyhuran seperti yang diciptanya, dia membuktikan bakat adalah segala-galanya.
Sabtu lalu, Asmawi Ani atau Mawi melakar sejarah tersendiri, malah melakar sebuah lagi catatan baru dalam diari penganjuran AE.
Daripada tujuh pencalonan yang diterima, anak Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu merangkul lima kemenangan.
Sebuah pencapaian yang cukup mengagumkan, apa lagi bakat bintang realiti sepertinya sering kali diragui. Sebelum ini banyak pihak meramalkan populariti yang dinikmatinya tidak mungkin bertahan lama.
Telahan itu akhirnya dimakbulkan Tuhan bertukar menjadi doa dan malam kelmarin, Mawi menutup mulut mereka yang selama ini kurang yakin dengan kemampuannya untuk bertahan lama sebagai anak seni.
Dia menerima trofi Artis Harapan Pilihan, menewaskan dua teman seangkatannya di Akademi Fantasia (AF) 3 iaitu Felix dan Idayu, serta mengenepikan saingan daripada bintang Malaysian Idol, Nikki dan Adibah Noor.
Mawi juga menghampakan sifunya, M Nasir dalam kategori Vokal Lelaki Pilihan, sekali gus menafikan peluang Adam, Hazami dan Zahid.
Lagu nyanyiannya bersama M Nasir, Lagu Jiwa Lagu Cinta mengungguli kategori Video Muzik Pilihan, manakala Kian pula diangkat peminat sebagai Lagu Pop Pilihan. Untuk kategori itu, Mawi menewaskan Siti yang mempertaruhkan lagu Biarlah Rahsia, selain lagu nyanyiannya sendiri, Lagu Jiwa Lagu Cinta.
Tidak cukup kejayaan itu, Mawi terus unggul apabila Aduh Saliha yang memperkenalkan namanya sebagai penyanyi diangkat pemenang Irama Global Pilihan.
Malam milik Mawi terus bersinar apabila dia menerima dua lagi anugerah khas, Anugerah Carta Era menerusi lagu Aduh Saliha, selain mempertahankan trofi Artis Pilihan SMS DiGi yang dimenanginya tahun lalu.
Bagaimanapun, Mawi gagal mengekang populariti Zahid dan Nikki yang berpadu suara menerusi lagu Caramu untuk dijulang sebagai pemenang Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan apabila tewas dalam kategori itu.Kejayaan Nikki dan Zahid membuktikan bintang realiti masih punya pengikut setia, biarpun mereka kini tidak lagi berada di puncak populariti. Zahid dan Nikki menewaskan gandingan Spider/Ella, Too Phat/Siti Nurhaliza dan Ruffedge.
Siti yang menerima tiga pencalonan, bagaimanapun tidak pulang tangan kosong apabila mempertahankan trofi Vokal Wanita Pilihan yang dimenanginya, tahun lalu. Ia adalah kemenangan keempat Siti selama enam tahun AE dianjurkan.
Dua tahun menyaksikan penguasaan Spider bagi kategori Band Pilihan, trofi itu berpindah tangan apabila dimenangi kumpulan popular Indonesia, Dewa 19. Kemenangan yang tidak mengejutkan apa lagi kategori itu didominasi kumpulan muzik terkenal dari negara jiran itu.
Lima tahun menanti, akhirnya trofi Lagu Nasyid Pilihan kembali semula ke tangan Rabbani yang memenanginya menerusi lagu Nawaitu. Untuk kategori itu, Rabbani menghadapi saingan nama besar dalam genre itu seperti Raihan, In-Team dan Brothers.
Jika pun ada kejutan, barangkali kemenangan Estrange yang mengungguli kategori Artis Inggeris Tempatan Pilihan. Mungkin populariti bintang AF4, Rich yang juga anggota kumpulan itu membantu Estrange mendapat undian besar penonton.
Bagaimanapun, kemenangan mereka masih menjadi tanda tanya terutama terpaksa berdepan dengan bukan calang-calang calon iaitu Jaclyn Victor, Pop Shuvit dan Too Phat. Di mana kelebihan Estrange?
Senarai pemenang Anugerah Era 2006
Artis Harapan Pilihan: Mawi
Vokal Wanita Pilihan: Siti Nurhaliza
Vokal Lelaki Pilihan: Mawi
Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan: Nikki/Zahid
Band Pilihan: Dewa 19
Irama Global Pilihan: Aduh Saliha (Mawi)
Lagu Nasyid Pilihan: Nawaitu (Rabbani)
Artis Inggeris Tempatan Pilihan: Estrange
Lagu Rock Pilihan: Diari Seorang Lelaki (Pretty Ugly)
Lagu Pop Pilihan: ian (Mawi)
Pilihan Kaki Wayang Era: Baik Punya Cilok (Tayangan Unggul)
Video Muzik Pilihan: Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi/M Nasir)
Anugerah Khas:
Anugerah Certa Era: Aduh Saliha (Mawi)
Anugerah Seni Era: Datuk Maria Menado
: Seniwati Zaiton Abdul Hamid
Artis Pilihan SMS DiGi: Mawi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan