petikan Berita Harian 11 April 2025
Farihad Shalla Mahmudvvfarihad@bh.com.my
Imbau nostalgia, M Nasir nyanyi tiga lagu raya klasikM Nasir berkongsi, pemilihan tiga lagu raya klasik untuk memberi penghormatan kepada pencipta lagunya, P Ramlee, Oslan dan Ahmad Jaafar. - NSTP/Aswadi Alias
SHAH ALAM: Konsert Datuk M N46IR Cipta Raya yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Ahad ini bakal menyaksikan penyanyi dan komposer itu menyampaikan tiga lagu raya klasik malar segar, sekali gus mengundang penonton mengimbau nostalgia.
Tiga lagu itu adalah Suara Takbir nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma) dan lagu milik penyanyi Indonesia, Allahyarham Oslan Husein berjudul Selamat Hari Lebaran.
"Pemilihan tiga lagu ini untuk memberi penghormatan kepada pencipta lagu berkenaan, P Ramlee, Oslan dan Ahmad Jaafar.
"Lagu ini juga popular ketika musim perayaan pada zaman itu. Ia juga menjadi antara 10 lagu hari raya terbaik pada zaman itu. Paling popular sudah tentu lagu Selamat Hari Raya berentak cha cha.
"Selain menyatakan penghargaan, lagu ini juga dinyanyikan kerana saya meminatinya sejak zaman kecil lagi," katanya ditemui pada sesi latihan konsert yang diadakan di sebuah studio di Bukit Rahman Putra, di sini, semalam.
Tambah M Nasir, nilai estetika terdapat pada untaian klasik itu turut menarik minat untuk ia dipersembahkan pada konsert anjuran Icon Entertainment itu.
"Sebagai pengkarya, saya menilai lagu dan mendapati ia sangat tinggi nilainya dari segi nostalgia, muzik dan mesej pada liriknya.
"Saya membuat gubahan baharu dengan menyelitkan nuansa kontemporari. Tak tahulah sama ada peminat suka ataupun tidak dengan susunan muzik baharu ini," tutur komposer yang mendapat jolokan sifu itu.
Sementara itu, pengasas Icon Entertainment dan penganjur konsert, Iman Tang memaklumkan mereka masih mengekalkan pemberian duit raya seperti yang dilakukan ketika Konsert M N45IR Cipta 2, Oktober lalu.
"Cuma, bezanya jumlahnya tidaklah banyak seperti tahun konsert lalu iaitu RM10,000 kerana kapasiti Zepp tidak sebesar Axiata Arena.
"Namun, akan ada kejutan dari segi jumlah duit raya yang bakal diterima penonton bertuah," kongsi Iman.
Pada konsert itu, penonton digalakkan memakai busana bertemakan 'Glam Raya' bagi memeriahkan suasana konsert yang masih berada dalam bulan Syawal.
Lebih menarik lagi, setiap pembelian tiket bukan saja memberi akses kepada penonton menyaksikan persembahan M. Nasir tetapi peminat juga dapat menikmati juadah raya sebelum konsert bermula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan