petikan Berita Harian 5 Jun 2024
Oleh Affan Rostam - affan.rostam@bh.com.my
M Nasir kali terakhir bertemu Allahyarham Pyanhabib ketika mereka menjayakan rakaman video promosi Konsert Dato MN45ir Cipta, beberapa bulan lalu. - Foto NSTP/Affan RostamHULU KELANG: Datuk M Nasir terkilan sahabat baik, Allahyarham Pyanhabib tidak dapat bersama pada Konsert Dato MN45ir Cipta yang bakal dipentaskannya di sini, pada 10 Ogos depan.
M Nasir atau nama penuh, Mohamad Nasir Mohamed memberitahu, Allahyarham Pyanhabib sepatutnya muncul dalam salah satu segmen pada konsert berkenaan.
"Saya rasa kehilangan dan terkilan apabila arwah tidak dapat serta dalam konsert itu. Mengikut perancangan, arwah sepatutnya ada dalam konsert itu... Arwah ada bahagian dekat situ," katanya ditemui di Masjid As-Sobirin di sini, hari ini.
M Nasir berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan penyair dan pelakon itu ketika mereka menjayakan rakaman video promosi Konsert Dato MN45ir Cipta, beberapa bulan lalu.
M Nasir yang pernah berlakon bersama arwah dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986 mengaku seolah-olah dapat bayangan bahawa sahabatnya itu akan pergi tidak lama lagi, ketika bertemu dalam penggambaran video promosi konsert berkenaan.
Penyanyi Datuk M Nasir di pusara Pyanhabib di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat hari ini. - Foto NSTP/Genes Gulitah
"Saya tidak terperanjat sebab kali terakhir jumpa ketika kami buat video promosi untuk konsert saya. Ketika itu, arwah sudah nampak tidak sihat.
"Ketika saya lihat arwah, nampak dia dalam keadaan tidak berapa sihat. Ketika kami rakam video promosi itu, sepatutnya arwah sebut 'this is the time' tapi dia lupa, dia sebut 'what is the time'.
"Saya fikir arwah lupa sebab nampak keletihan dan penat sangat. Tetapi cara dia sebut itu seakan-akan 'memberi' kepada saya," katanya.
Sementara itu, pelakon veteran, Datuk Tarmimi Siregar tersentuh dengan perkongsian Allahyarham Pyanhabib di Facebook (FB) apabila sahabatnya itu seperti sudah tahu akan meninggal dunia.
Pelakon Ahmad Tarmimi Siregar ditemubual pengamal media ketika memberikan penghormatan terakhir kepada Pyanhabib. - Foto BERNAMA
"Arwah ceria cuma sejak kebelakangan ini, dia agak kurang aktif. Rakan-rakan maklumkan, arwah ada kongsi gambar beberapa kenalan artis yang sudah meninggal dunia.
"Arwah juga beritahu mungkin selepas ini dia menyusul. Arwah seperti sudah boleh menjangka akan meninggal dunia... Itu yang buat saya sedih," katanya.
Malam tadi, pencinta puisi dikejutkan dengan berita Allahyarham Pyanhabib meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.
Jenazah Allahyarham Pyanhabib atau nama sebenar, Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 di sini, pada jam 11.25 pagi tadi.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham Pyanhabib yang juga pelakon dan penyair tersohor, diurus dan disolatkan di Masjid As-Sobirin, di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan