Selasa, November 25, 2008

Suara romantik aset Didicazli

petikan Berita Harian 25 November 2008
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Anak bekas penyanyi kumpulan Al-Jawaher cuba cari ruang dalam dunia muzik Malaysia

LALUAN seninya tak semudah disangka kerana terlalu banyak suka duka yang terpaksa dihadapi dalam kehidupan penyanyi kelahiran kota Singa bernama Didicazli Cindy, 25, ini. Tidak seperti sesetengah penyanyi baru yang muncul daripada program realiti, Didicazli melalui pengalaman dan pahit getir yang cukup mengajarnya erti sebuah kehidupan.

Dia perlu mengambil masa selepas dua tahun untuk dikenali di negara sendiri dan kini bertekad melancarkan nama dan karya seninya di Malaysia pula. Mengambil masa lebih daripada setahun untuk membikin album sulung dengan hasil duitnya sendiri dan dibantu syarikat Luncai Emas Sdn Bhd. Di bawah edaran Sony BMG Music, albumnya bakal dipasarkan penghujung tahun ini serentak di Malaysia dan Singapura.

Selain berbakat sebagai komposer, Didicazli juga bertugas di Kompas yang mempunyai fungsi yang sama seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP). Disebabkan kemampuan bergelar sebagai penggubah lagu dan penyanyi menjadi bonus buat Didicazli hingga mengundang minat M Nasir untuk memulakan kerjasama antara mereka apabila Didicazli bekerja di Luncai Emas.

“Pertemuan saya dengan M Nasir bermula pada tahun 2007 ketiga lagu nyanyian saya Dambaan mendapat anugerah Lagu Singapura Paling Popular di Anugerah Planet Muzik. Daripada perbincangan di situ, bermulalah langkah pertama saya untuk ke Malaysia. Dengan bakal lahirnya album ini harapnya lagu dan diri saya akan mendapat tempat dan ke udara di sini.

“Harapnya kehadiran saya akan dipertimbangkan kerana ia adalah buah tangan daripada gabungan dua buah. Untuk meletakkan nama di persada Singapura dan kini di Malaysia, ia umpama mimpi yang tak pernah disangka-sangka. Terlalu banyak dugaan yang indah dan pahit saya sudah lalui termasuk berulang-alik menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur. Saya juga pernah tertidur di studio Luncai Emas dan stesen bas gara-gara album ini.


DARI kiri; Keon, Didicazli, Pengarah Urusan Sony BMG Music; Adrian Lim dan M Nasir.

“Untuk rakaman sebuah lagu saja, saya perlu mengikat perut selama dua bulan. Mujur ibu saya sedia membantu apa yang patut. Saya sentiasa sedar diri, gigi pun tak sama lurus dan takkan lupa jasa anda (pihak media yang hadir) dan setiap sisi pihak yang membantu saya selama ini,” katanya bersungguh-sungguh.

Mewarisi bakat seni daripada ibunya, Siti Rosminah yang pernah menganggotai kumpulan nasyid Al Jawaher, semuanya bermula apabila terbuka pintu hatinya untuk menggubah sebuah lagu diberi judul Jasa Ibu di dalam bulan penuh keberkatan, Ramadan 2006 lalu.

Menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi, Didicazli diakui ibarat ‘mat bunga’ kerana sejak di bangku sekolah lagi dia memang sering menjadikan medium muzik sebagai sumber meluahkan perasaan.

“Muzik memang menjadi teman paling rapat saya dan ibu bertindak sebagai pendorong paling besar di dalam hidup. Tanpa ibu, saya mungkin takkan berada di sini untuk menggapai impian. Melalui lagu Jasa Ibu itu, saya titipkan kenangan paling indah ketika sama-sama mengenal erti hidup bersamanya.

“Memang lagu yang dimuatkan di dalam album ini begitu dekat dengan diri saya dan orang yang rapat. Sebagai contoh lagu Rela Setia menceritakan mengenai hubungan saya dengan seorang gadis. Kami berpisah apabila dia memberikan kata dua, andai saya terus larut dengan populariti, dia tidak sanggup untuk terus bersama saya. Dia pun sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Tidak semestinya apabila kita putus cinta, bererti kita kena bermusuh.

“Masa sekolah dulu memang saya jiwang habis dan selalu melayan lagu-lagu berjiwa romantik,” katanya.

Sementara itu, M Nasir yang turut hadir pada majlis pra-dengar album Didicazli mempunyai alasan tersendiri kenapa beliau dan syarikatnya Luncai Emas berminat untuk membantunya melahirkan album. Kata M Nasir, dia memang cukup menyenangi mana-mana penyanyi yang berkebolehan mencipta lagu.

“Suaranya sangat romantik tapi tidak tahulah perasaan dan dirinya juga pun romantik. Dia boleh meluahkan perasaan dalam lagu melalui penciptaan lagunya. Itu satu bonus kepadanya,” katanya.

Profil Didicazli
  • Dilahirkan pada 15 Julai 1982
  • Memenangi dua tahun berturut-turut di Anugerah Planet Muzik 2007 dan 2008 menerusi lagu Dambaan dan Seribu Kenangan. Didicazli juga tercalon untuk kategori Artis Singapura Paling Popular pada dua tahun itu.
  • Lagu Dambaan nyanyiannya dijadikan sebagai lagu tema drama Cinta Si Rempit menerusi slot Cerekarama di TV3
  • Mengakui sangat berdebar dan gementar saat pertama kali merakamkan lagu di studio Luncai Emas dan diperhatikan M Nasir.
  • M Nasir ibarat guru yang sangat dihormatinya.
  • Laman web: www.didified.multiply.com, www.friendster.com/didicazli

Tiada ulasan: