Rabu, September 10, 2008

Mahukah kita jadi seperti Singapura?

petikan Utusan Malaysia 10 September 2008

Bersama ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

MUNGKIN tidak ramai yang ambil peduli apabila ada persatuan seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang selalu kelihatan sibuk kerana memperjuangkan keutamaan dalam penyiaran lagu-lagu Melayu artis-artis tempatan menerusi stesen-stesen radio kita.

Ada yang beranggapan fenomena itu tiada kena mengena dengan kepentingan masyarakat umum, sebaliknya ia hanya melibatkan periuk nasi kalangan penggubah lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dan syarikat rakaman semata-mata.

Bagaimanapun, ramai yang kurang menyedari bahawa fenomena yang sedang berlaku dalam industri rakaman album tanah air itu, sebenarnya merupakan isu nasional yang melibatkan semua pihak terutamanya dalam konteks pemartabatan bahasa Melayu untuk jangka masa panjang.

Sebabnya, lebih 80 peratus lirik-lirik lagu dan bahasa pengantar yang digunakan dalam siaran-siaran radio sama ada melalui stesen-stesen penyiaran kerajaan atau swasta di negara ini adalah menggunakan medium bahasa Melayu.

Sejak bulan lalu, Karyawan yang diterajui Presidennya, Freddie Fernandez, telah mendapatkan lebih 700 tandatangan ahli-ahlinya dan seterusnya menyerahkan Memorandum 90:10 kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK), Datuk Shaziman Abu Mansor di kementerian itu di Putrajaya, minggu lalu.

Memorandum itu antara lain mendesak agar KTAK mensyaratkan 90 peratus siaran lagu-lagu artis tempatan menerusi radio, manakala 10 peratus lagi adalah untuk lagu-lagu artis luar negara, termasuklah dari Indonesia dalam syarat pelesenannya kepada stesen-stesen radio.

Apa yang jelas, rasa keprihatinan itu juga timbul selepas saban tahun statistik jumlah pendapatan dalam industri rakaman album tempatan semakin membimbangkan di mana pada 1996 ia mencatat keuntungan RM315 juta sebelum merudum kepada hanya RM60 juta pada tahun lalu.

Perkembangan itu diburukkan lagi dengan berlakunya banyak pengaliran wang ke luar negara apabila Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) misalnya, terpaksa membayar royalti lebih RM260,000 pada setiap tahun kepada para karyawan muzik dari Indonesia.

Bayangkanlah, berapakah jumlah bayaran royalti yang juga terpaksa dibayar oleh MACP kepada ratusan artis-artis dari Amerika Syarikat dan Eropah yang lagu-lagu mereka memang telah terlalu banyak disiarkan menerusi radio-radio tempatan sejak sekian lama?

Rentetan daripada senario yang kurang sihat itu juga menyaksikan semakin banyak syarikat rakaman tempatan, termasuklah yang bertaraf antarabangsa terpaksa gulung tikar sejak kebelakangan ini.

Keadaan itu berlaku kerana sambutan album-album tempatan yang diterbitkan kurang diberi perhatian oleh stesen-stesen radio yang merupakan salah satu medium penyiaran terpenting bagi mempromosikan sesebuah lagu atau album baru artis-artis tempatan.

Sikap tidak prihatin dan terlalu berorientasikan kepada keuntungan, selain garis panduan yang longgar daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia selaku suruhanjaya yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen menyebabkan banyak stesen radio swasta tidak ambil peduli dengan masalah tersebut.

Sehubungan itu, KTAK mahupun suruhanjaya yang terletak di bawah kementerian itu haruslah bertindak proaktif dan meneliti segera segala permasalahan yang disuarakan menerusi kandungan Memorandum 90:10 itu.

Jika fenomena tersebut dibiarkan berlarutan, maka dikhuatiri industri rakaman album tanah air akan berkubur dalam waktu terdekat ini di mana pada ketika itu kita mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti negara jiran, Singapura.

Suatu ketika dulu, Singapura juga mempunyai industri rakaman album Melayunya sendiri, tetapi kini kebanyakan lagu-lagu yang disiarkan di radio termasuklah konsert-konsert yang diadakan di negara pulau itu telah didominasi oleh artis-artis dari luar negara.

Kesannya, negara republik itu kini lebih banyak mengimport album-album dan artis-artis dari luar negara bagi memenuhi permintaan para penduduknya kerana sudah tidak banyak syarikat rakaman yang sanggup tampil menerbitkan album-album Melayu.

Hakikat itu diakui sendiri oleh komposer handalan, M. Nasir yang sebelum ini merupakan bekas warganegara Singapura bahawa jika perkembangan itu tidak diambil perhatian secara serius, maka perkara yang sama juga mungkin akan berlaku di negara ini pada masa akan datang.

“Kita sekarang ini pun sedang menuju ke arah itu. Ia memang saat yang agak mencemaskan juga,” komennya ketika sidang media selepas majlis penyerahan Memorandum 90:10 itu.

Justeru, Memorandum 90:10 cetusan Karyawan itu sesuatu yang harus diambil perhatian serius oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana ia mampu meneruskan survival syarikat rakaman dan para penggiat muzik dalam industri hiburan tanah air pada masa depan.

Ini kerana, mahukah kita menjadi seperti Singapura apabila suatu ketika nanti mungkin tiada siapa lagi yang akan mempedulikan lagu-lagu dan bahasa Melayu lantaran sikap kita yang tidak tahu menjaga kepentingan seni lagu warisan anak-anak bangsa sendiri?

Tiada ulasan: