petikan Berita Harian 12 Julai 2007
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
M Nasir belum beri sebarang petanda mengenai heroin yang akan digandingkan dengan juara AF3
SUDAH masuk bulan Julai, wajah Saliha belum lagi menjelma. Ketika pelakon lain sudah pun disenaraikan, pemegang watak utama wanitanya belum juga dapat diputuskan siapa orangnya. Apakah M Nasir menunggu puteri dewi kayangan untuk menjayakan watak berkenaan?
Tiada siapa yang mengetahui kemahuan sebenar pengarah, pelakon, penyanyi dan komposer popular terbabit apabila bercerita mengenai wanita misteri filem Aduh Saliha.
Malah peneraju utama filem itu sendiri, Mawi, tidak mempunyai sebarang petanda bilakah agaknya ‘wanita pujaan’ itu akan ditemui, atau apakah calonnya sudah ada di depan mata si pengarah?
Ditemui pada pertandingan boling anjuran kelab peminatnya, Mawi FC, di Sri Petaling baru-baru ini, jejaka masyhur dari Johor ini memberitahu, Nasir sendiri belum memberikan sebarang berita mutakhir mengenai pembikinan filem itu kepadanya, apatah lagi untuk mengumumkan gadis atau wanita mana yang bakal digandingkan bersamanya dalam filem berkenaan.
“Dia tiada pula menghubungi saya mengenai penemuan mana-mana pelakon untuk watak Saliha. Kami juga sudah agak lama tidak berhubung di telefon. Masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri. Jadual saya juga agak padat kebelakangan ini. Nampaknya sehingga September, tidak banyak masa yang terluang, sebaliknya dipenuhi dengan aktiviti seni.
“Jadi, jika ada lampu hijau mengatakan penggambaran sudah boleh dimulakan daripada pihak penerbitan filem ini (The Cameracrew Production Sdn Bhd) sekalipun , saya perlu melihat dengan teliti bilakah harinya saya boleh ke lokasi,” kata anak muda yang popular dengan lagu Angan Dan Sedar, petikan album studio ketiganya, Satu Dalam Seribu.
Menurut Mawi lagi, Nasir seorang yang cukup teliti dalam pekerjaannya. Justeru, dia amat memahami sekiranya pengarah itu memerlukan masa yang panjang mencari wanita sesuai untuk menjayakan watak Saliha.
“Begitupun, setiap kali meminta pelakon menghadiri uji bakat, dia akan meminta pandangan saya. Maklumlah, pelakon yang terpilih nanti pun perlu punya keserasian dengan saya. Jika tidak ada keselesaan antara kami berdua, bagaimana kami hendak meneruskan lakonan?
“Lalu, setiap pelakon yang datang uji bakat, akan ditunjukkan juga rakamannya kepada saya. Dan, setakat ini, kami berdua belum pun menemui pelakon yang benar-benar berkenan di hati,” ujar Mawi.
Sementara itu, kira-kira 120 peminat dan ahli kelab Mawi FC mengambil bahagian dalam pertandingan boling anjuran kelab peminat penyanyi ini. Acara berkenaan ialah sebahagian aktiviti anjuran Mawi FC, dengan sokongan syarikat Mawi World Sdn Bhd. Mawi sendiri tidak ketinggalan menyertai acara terbabit bersama tiga rakannya - Nasir, Ali Raja Lawak dan Azhar.
Kata Mawi, apabila aktiviti membabitkan dirinya dan ahli kelab peminat diadakan, seboleh-bolehnya dia sendiri akan turun padang dalam usaha menghargai sokongan yang selama ini diberikan kepadanya.
“Selalunya, mereka akan memberikan tarikh sesuatu acara yang dianjurkan sejak awal. Jadi, dapatlah kami khaskan waktu terbabit untuk tujuan berkenaan. Lagipun, acara sebegini cukup besar faedahnya. Di samping dapat berkumpul sesama kita, silaturahim dapat juga dieratkan dan kami juga dapat berseronok dengan permainan yang diaturkan,” kata penggemar aktiviti boling ini.
Mawi turut menegaskan, kewujudan kelab peminat juga banyak membantu mengukuhkan kedudukan seseorang artis. Berdasarkan hakikat itu, Mawi tidak ragu-ragu untuk memberikan sokongan penuh kepada aktiviti kelab peminatnya apabila saja dia berpeluang berbuat demikian.
FAKTA:
Pertandingan boling Mawi FC
# SEBANYAK 30 pasukan mengambil bahagian dalam acara boling anjuran Mawi FC yang berlangsung di Endah Parade, Sri Petaling.
# SEBELUM ini, Mawi FC turut menganjurkan pertandingan badminton untuk kalangan ahli kelabnya.
# MAWI FC mempunyai kira-kira 2,000 ahli berbayar dan kira-kira 10,000 ahli tidak berbayar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan