petikan Harian Metro 30 Mei 2007
Oleh Rudy Imran Shamsudin
CERITA mengenai pengarah filem Aduh Saliha, M Nasir sudah menemui pelakon yang bakal memegang peranan Saliha, nampaknya berjaya menarik perhatian media. Ini kerana Saliha dikatakan pemberita yang bertugas di syarikat penerbitan berita on-line berbahasa Melayu.
Malah pemberita itu dikatakan sudah menghadiri uji bakat pada awal Mei lalu sebagaimana diminta M Nasir dan dia bakal digandingkan dengan artis paling popular, Asmawi Ani atau Mawi.
Pemberita yang dimaksudkan itu juga dikatakan hadir di majlis perasmian Medalion Asmawi Ani baru-baru ini membuat liputan hingga Mawi menjadi tumpuan wartawan untuk mendapatkan pengesahan daripadanya. Tambahan pula pemberita itu dikatakan duduk di sebelah Mawi.
Mawi berkata, dia tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan tidak tahu apakah benar pemberita itu bakal memegang watak Saliha.
“Saya juga tidak tahu apa yang sedang dilakukan M Nasir mahupun syarikat penerbitan filem itu, The Cameracrew Production Sdn Bhd.
“Saya tidak tahu apa perkembangan lanjut filem itu kerana terlalu sibuk dengan aktiviti nyanyian. Tambahan pula sebaik selesai menjayakan persembahan sempena sambutan Hari Ibu di Palace Of The Golden Horses baru-baru ini, saya terus terbang ke Sydney, Australia bagi menjayakan program bercuti bersama peminat di sana.
“Setakat ini saya belum lagi menerima sebarang arahan bagi memulakan penggambaran filem Aduh Saliha. Mungkin kerana M Nasir masih belum menemui wanita yang dirasakan sesuai memegang watak utama itu.
“Apa pun, sejauh mana kebenaran gosip yang disiarkan sebelum ini, perkara itu seharusnya ditanyakan kepada penerbit filem itu sendiri,” katanya.
Mengenai program percutian di Sydney, kata Mawi walaupun penat dia berasa seronok apabila dapat melawat beberapa tempat menarik seperti bersantai di Bondi Beach dan menaiki roller-coaster di Blue Mountain dengan ditemani hampir 60 peminat.
“Pada saya dalam banyak-banyak tempat yang kami lawati, saya tertarik dengan keindahan semula jadi yang ada di Blue Mountain.
“Selain bercuti bersama peminat, saya turut menjalani rakaman klip video untuk dua lagu Cinta Zulaika serta Angan Sedar dari album terbaru, Satu Dalam Seribu.
“Ada peristiwa menarik sewaktu saya berjalan di tengah bandar Sydney apabila tiga pelajar wanita Malaysia menjerit sebaik saja nampak saya.
“Saya dan seorang lagi pembantu panik apabila mendengar jeritan mereka. Ingatkan ada perkara kecemasan berlaku tetapi rupa-rupanya mereka terkejut apabila terserempak dengan saya di sana.
“Selepas bertegur sapa dan menandatangani autograf, mereka sekali lagi menjerit. Mungkin mereka rasa seronok kerana tidak sangka dapat bertemu dengan saya di Sydney,” katanya yang berlepas ke Sydney pada 16 Mei lalu.
Mengenai Medalion, jelas Mawi, perancangan itu sudah dibuat hampir setahun dan dilancarkan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin sewaktu Konsert Fantasia di Stadium Bukit Jalil, Januari lalu.
“Bagaimanapun kerana beberapa masalah dihadapi Layar Dimensi (M) Sdn Bhd menyebabkan projek ini tertangguh. Saya berasa bangga apabila diberitahu saya adalah artis tempatan pertama dipilih menghasilkan medalion ini.
“Saya mengharapkan medalion ini dapat dijadikan tanda hati buat peminat. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan kenangan bernilai dan kekal sampai bila-bila,” katanya.
Medalion yang memaparkan wajah dan tandatangan Mawi itu mula dipasarkan kelmarin dan ia turut disertakan dengan cakera padat menampilkan lagu baru bertemakan patrionik, Warisan Berwawasan ciptaan Datuk Mokhzani Ismail (Pengarah Muzik RTM) serta beberapa keping gambar eksklusif yang diperoleh daripada peminat Mawi.
1 ulasan:
Semalam ada tengok rancangan "Melodi" .. betul ke Radin Sri tu akan pegang watak "Saliha" .. waaa kalo betul memang sesuai sangat. Good Luck ...
Catat Ulasan