Ahad, April 15, 2007

M. Nasir ungguli MACP2007

petikan Mstar Online 15 April 2007
Radin Sri Ghazali

KUALA LUMPUR: Komposer tersohor negara, M. Nasir sekali lagi dimartabatkan sebagai komposer terunggul melalui lagu Cinta Dewa Dewi di Anugerah Badan Pelindung Hak Cipta Muzik (MACP) 2007 semalam bertempat di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


M Nasir menerima anugerahnya daripada Ziana Zain (Bernama)

Kemenangan ini merupakan kemenangan ketujuhnya sejak tahun 1996. M.Nasir berjaya mengalahkan komposer seperti Adnan Abu Hassan dan Edry Abdul Halim.

Manakala, Rosli Khamis atau Loloq pula dinobatkan sebagai penulis lirik terunggul menerusi lagu Cinta Dewa Dewi apabila dia berjaya menewaskan Habsah Hassan dan S Amin Sahab.

Ini turut merupakan kemenangan keenam untuk penulis lirik yang terkenal dengan lagi Lagu Jiwa Lagu Cinta.

Pencipta lagu berbangsa Cina, Ng Chen Hwei pula dinobatkan sebagai Komposer Muda Berpotensi apabila karya-karyanya menjadi rebutan penyanyi popular Hong Kong seperti Jackie Chueng dan Karen Mok.

Untuk pemenang kategori lagu-lagu terbaik untuk setiap dekad adalah Kisah dan Tauladan (A Halim) untuk dekad 60an, Semakin Hari Semakin Sayang (Uji Rashid) untuk tahun 70an, Merisik Khabar (Allahyarham Sudirman) untuk dekad 80an, Cindai (Datuk Siti Nurhaliza) untuk dekad 90an dan Kian (Mawi) dipilih sebagai lagu pilihan popular terkini.

Pengurus Operasi Maestro Talent, Freddie Fernandez pula dinobatkan sebagai penerima Nadi Cipta untuk pengorbanan serta jasa-jasanya dalam industri muzik tempatan.

Majlis yang buat pertama kalinya disiarkan secara langsung di saluran RTM2 ini dihadiri oleh Menteri Penerangan Malaysia Datuk Zainuddin Maidin.

Anugerah MACP turut dimeriahkan dengan persembahan artis seperti Khadijah Ibrahim, Zahid, Nita, VE dan Faizal OIAM serta penampilan istimewa Erra Fazira, Ziana Zain dan Ramlah Ram sebagai penyampai anugerah.


lagi petikan Utusan Malaysia 15 April 2007

M. Nasir menang kali ketujuh
Oleh: ABD. AZIZ ITAR

KUALA LUMPUR 14 April – Seperti yang diramalkan, M. Nasir sekali lagi mengungguli kategori Komposer Terunggul buat kali ketujuh pada Anugerah Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Muzik (Anugerah MACP 2007) anjuran badan itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Komposer berasal dari Singapura itu dipilih memenangi kategori itu kerana mengutip royalti tertinggi hasil lagu-lagu ciptaannya yang disiarkan sepanjang tahun lalu menewaskan dua pesaingnya iaitu Adnan Abu Hassan dan Edry KRU.

Penulis lirik, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis menggondol Anugerah Penulis Lirik Terunggul mengenepikan dua lagi calon kategori itu, Habsah Hassan dan S. Amin Shahab.

Anugerah Pendapatan Luar Negara Tertinggi diraih oleh Theng Siaw Hang dan Chong Keat Siong menerusi lagu berjudul Qing Fei De Yi, Anugerah Lagu Melayu (Relaku Pujuk - Spider), Anugerah Lagu Inggeris (Misty - Cromok) Anugerah Lagu Cina (Tong Hua - Michael Wong) dan Anugerah Lagu Luar Negara (Where Is The Love - Black Eyed Peas).

Sementara itu, Ng Chea Hwei pula memenangi Anugerah Komposer Muda Berpotensi (berusia bawah 25 tahun).

Selain itu, MACP kali ini memberi pengiktirafan kepada Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Abdul Rahman Hamid dan Freddie Fernandez (Nadi Cipta).

Hadiah berupa trofi disampaikan oleh Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Selain itu, MACP buat pertama kalinya mempertandingkan Anugerah Lagu Pilihan Popular sepanjang tahun 1960-an, 1970-an, 1980-an, 1990-an dan terkini menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton.

Lagu berjudul Kisah dan Tauladan nyanyian A. Halim muncul pemenang Anugerah Lagu Pilihan Popular 60-an, Semakin Hari Semakin Sayang - Uji Rashid (70-an), Merisik Khabar - Sudirman (80-an), Cindai - Datuk Siti Nurhaliza (90-an) dan Kian - Mawi (terkini).

Anugerah MACP yang masuk tahun ke-11 pada tahun ini diterbitkan oleh Yusni Mohd. Ali disiarkan secara langsung menerusi RTM2 dan ia diacarakan oleh selebriti, Bob Lokman dan pembaca berita RTM, Suriani Abdul Rahman.

Pada 10 April lalu MACP telah menganugerahkan syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. dan EMI Music Publishing Malaysia Sdn. Bhd. sebagai pemenang bagi kategori Anugerah Penerbit Terunggul.


lagi petikan Utusan Malaysia 16 April 2007

RTM bayar RM600,000 setahun kepada MACP
Oleh ABD. AZIZ ITAR

SEBAGAI stesen penyiaran yang terbesar di negara ini, RTM banyak menyiarkan lagu-lagu ciptaan komposer tempatan menerusi 32 saluran radio dan dua stesen TV kendaliannya.

Justeru, saban tahun RTM tidak pernah lupa membayar royalti lagu-lagu yang telah mereka siarkan kepada Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) yang diberi tanggungjawab mewakili komposer dan penulis lirik tempatan.

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata, langkah RTM itu antara lain bagi menghargai dan melindungi hak cipta lagu-lagu karya komposer dan penulis lirik tempatan.

“Berasaskan prinsip no one above the law (tiada siapa yang terlepas daripada undang-undang), kerajaan sendiri menerusi RTM telah menggunakan produk (menyiarkan lagu-lagu) yang terletak di bawah akta ini (Akta Hak Cipta 1987 - Akta 332). Kami telah menunjukkan contoh dengan membayar royalti kepada badan-badan yang bertanggungjawab seperti MACP.

“RTM misalnya, membayar sekitar RM600,000 setahun kepada MACP sebagai royalti atas penyiaran tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas Anugerah MACP 2007 diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam kelmarin.

Anugerah anjuran MACP dengan kerjasama RTM yang bertemakan Evolusi Muzik Merdeka itu pertama kali disiarkan secara langsung menerusi TV sejak ia dianjurkan pada tahun 1996.

Pada malam itu, M. Nasir merupakan komposer yang paling banyak mengungguli Anugerah Komposer Terunggul iaitu sebanyak tujuh kali bermula pada tahun 1996, 2000, 2002, 2004, 2005, 2006 dan 2007.

Sementara Loloq pula merupakan penulis lirik yang paling banyak memenangi Anugerah Penulis Lirik Terunggul iaitu sebanyak enam kali bermula pada tahun 2000, 2002, 2004, 2005, 2006 dan 2007.

Menongkah arus

Menurut Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis, dia berasa puas dengan kemenangannya itu kerana hasil eksperimentasinya dalam menghasilkan lirik-lirik yang ‘menongkah arus’ ternyata diterima oleh para pendengar.

“Saya ambil risiko sewaktu menulis lirik tetapi ia menjadi. Contohnya saya tulis lirik lagu berjudul Kacap Terlabik nyanyian kumpulan Spider. Pendengar bukan sahaja terima gaya bahasa yang pelik macam itu tetapi RTM juga semakin terbuka dalam soal berkarya.

“Saya memang suka buat 'barang baru' (lirik). Ini kerana, dunia penulisan lirik luas dan saya juga kena ikut citarasa para pendengar,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya anugerah tersebut.

Jelas Loloq, dia banyak menggunakan wang hasil bayaran royalti yang diterimanya saban tahun daripada MACP untuk membeli buku dan cakera padat (CD) album-album terbaru sama ada artis tempatan mahupun dari luar bagi menambahkan lagi pengetahuannya dalam bidang penulisan lirik.

“Dalam sebulan saya memperuntukkan kira-kira RM500 untuk membeli CD dan buku-buku yang berunsurkan sastera. Saya harap CD dan buku-buku yang saya beli dapat ‘menjinakkan jiwa’ saya,” ujarnya.

Selain itu, tahun ini MACP telah menyediakan beberapa anugerah baru seperti Nadi Cipta yang dimenangi oleh Ketua Pegawai Operasi Maestro Records, Freddie Fernandez yang dipilih kerana sumbangannya dalam industri muzik tempatan oleh ahli-ahli lembaga pengarah MACP.

Freddie yang terkejut dengan pemilihannya itu berharap para karyawan muzik tempatan bersatu hati bagi menghadapi apa juga ancaman demi memartabatkan industri muzik tempatan pada masa depan.

“Zaman ini adalah yang paling mencabar di mana jualan album merosot dan artis luar diberi lebih perhatian. Sudah sampai masanya semua karyawan tempatan bersatu bagi mengatasi cabaran-cabaran itu.

“Cara itu diharap dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan industri muzik tempatan seperti 10 tahun lalu. Kita mahu bina satu masa depan yang cerah untuk anak-anak muda kita yang berminat menjadikan muzik sebagai karier mereka,” katanya.

Kategori baru

Selain itu, RTM juga tidak ketinggalan menggunakan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton bagi menentukan pemenang lima kategori baru yang diperkenalkan iaitu Lagu Pilihan Popular 60-an, Pilihan Popular 70-an, Pilihan Popular 80-an, Pilihan Popular 90-an dan Pilihan Popular Terkini.

Pemilihan 10 lagu bagi setiap kategori tersebut dilakukan oleh kakitangan RTM yang kebanyakkannya terdiri daripada penyampai dan penerbit radio seperti Siam Ali, Shahizan Mohd. Jelas, Azizah Sulaiman, Fauziah Zakaria, Habibullah Abu Bakar, Manan Selamat, Roseli Serani dan Hamimah Yusof.

Sayangnya Anugerah MACP 2007 yang diterbitkan oleh Mohd. Yusni Mohamed Ali itu dilihat lebih memfokuskan kepada lagu-lagu lama tanpa memberi ruang kepada persembahan lagu-lagu terkini yang mewakili artis-artis generasi baru.

Sebagai contohnya, hampir kesemua lagu-lagu yang dinyanyikan oleh artis undangan merupakan lagu-lagu era tahun-tahun 1960-an hingga 1980-an seperti Kisah Dan Tauladan nyanyian A. Halim dan Sampaikan Salam (Alleycats).

Kalau adapun penyanyi baru yang ditampilkan tetapi hakikatnya mereka turut menyanyikan lagu-lagu lama.

Zahid AF2 misalnya menyanyikan lagu 60-an berjudul Oh Fatimah dan Faizal (One In A Million) bersama Nita (Malaysian Idol) pula berduet menerusi lagu tahun 1980-an, Sandarkan Pada Kenangan.

MACP mahupun RTM selaku penganjur seharusnya peka dengan keadaan itu jika mereka berhasrat mahu menggalakkan lebih ramai penonton terutamanya golongan muda menyaksikan program-program sebegitu pada masa depan.

Senarai Pemenang Anugerah MACP 2007:
* Komposer Terunggul - M. Nasir

* Penulis Lirik Terunggul - Rosli Khamis (Loloq)

* Pendapatan Luar Negara Tertinggi - Theng Siaw Hang dan Chong Keat Siong (Qing Fei De Yi)

* Persembahan Terbanyak (Lagu Melayu) - Relaku Pujuk (Spider) - Tam Spider dan Keon

* Persembahan Terbanyak (Lagu Inggeris) - Misty (Cromok) - Shamsudin Ali, Tarmizi Mokhtar dan Khairul Anuar Shariff

* Persembahan Terbanyak (Lagu Cina) - Tong Hua (Michael Wong)

* Persembahan Terbanyak (Luar Negara) - Where Is The Love (Black Eyed Peas)

* Komposer Muda Berpotensi - Ng Chea Hwei

* Pengiktirafan Khas Penyiaran - Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Abdul Rahman Hamid

* Nadi Cipta - Freddie Fernandez

* Penerbit Terunggul - Luncai Emas Sdn. Bhd. dan EMI Music Publishing Malaysia Sdn. Bhd.

* Pilihan Popular 60-an - Kisah Dan Tauladan (A. Halim) - Halim Md. Diah

* Pilihan Popular 70-an - Semakin Hari Semakin Sayang (Uji Rashid) - Ahmad Nawab dan Chuari Selamat

* Pilihan Popular 80-an - Merisik Khabar (Sudirman) - Manan Ngah dan Habsah Hassan

* Pilihan Popular 90-an - Cindai (Datuk Siti Nurhaliza) - Pak Ngah dan Hairul Anuar Harun

* Pilihan Popular Terkini - Kian (Mawi) - Fauzi Marzuki dan Lukhman S

Tiada ulasan: