Wahida Asrani
SHAH ALAM: Pemegang peranan Saliha di dalam filem arahan M.Nasir, Aduh Saliha nampaknya terus menjadi tanda tanya apabila komposer dan penyanyi terkenal itu menjelaskan dia masih belum menjumpai pelakon wanita yang sesuai untuk menjadi heroin filem tersebut, bergandingan bersama penyanyi sensasi, Mawi.
Pada majlis pelancaran filem itu yang disempurnakan oleh Undang Luak Rembau Datuk Muhamad Sharip Othman, malam tadi, keseluruhan barisan pelakon filem Aduh Saliha telah diperkenalkan, kecuali untuk watak Saliha, sekaligus menghampakan pihak media yang menjangkakan pemegang peranan itu akhirnya akan diumumkan pada majlis yang sama.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
"Saya telah buat banyak ujibakat, tetapi buat masa ini nampaknya saya masih belum lagi temui 'Saliha'. Memang sudah ada beberapa nama telah disenarai pendek, tetapi saya masih ingin terus mencari yang sesuai," ujar M.Nasir yang ditemui pada sidang media sejurus selepas tamatnya majlis tersebut yang berlangsung di Kelab Shah Alam, Selangor itu.
M.Nasir dan hero Aduh Saliha, Mawi beramah-mesra bersama tetamu-tetamu VIP pada majlis pelancaran filem tersebut (Foto Bernama)
Menurut M. Nasir, dia akui amat cerewet memilih siapa yang layak memegang watak heroin itu semata-mata untuk memastikan kriterianya bertepatan dengan apa yang dicarinya selama ini.
"Saya mahu seseorang yang 'kena' dengan Mawi. Seorang yang menawan, walaupun dia tiada pengalaman di dalam bidang lakonan, tetapi asalkan dia boleh berlakon dan mempunyai personaliti yang saya inginkan, itulah yang saya cari.
"Penggambaran filem ini akan bermula dalam masa sebulan, dan saya yakin kita akan temui 'Saliha' sebelum mulanya penggambaran nanti. Bila sudah temui nanti, saya akan umumkan," katanya yang turut mengaku ujibakat yang dijalankan turut dihadiri oleh ramai artis.
Sebelum ini, beberapa nama artis wanita telah dicanangkan bakal memegang watak tersebut, antaranya Salima, Sharifah Amani, Fasha Sandha dan Leez.
Namun, nama Amani memang telah disebut-sebut sesuai memegang watak itu setelah perwatakannya dan Mawi menerusi iklan Silky Girl dilihat mempunyai 'chemistry'.
Selain Mawi, antara barisan pelakon yang akan membintangi filem bercorak muzikal fantasi ini adalah Erra Fazira, Nasir Bilal Khan, Que Haidar, Noniswara, Zulhuzaimy dan M. Nasir sendiri.
Filem terbitan The Cameracrew Productions Sdn Bhd yang menelan belanja RM1.6 juta ini, akan menjalani penggambaran di Keningau, Kundasang dan Kota Kinabalu, Sabah.
Aduh Saliha merupakan filem kedua M. Nasir setelah mengarahkan filem Merah kira-kira 10 tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan