Ahad, Januari 28, 2007

Dunia Mawi: Idea spontan

petikan hmetro
duniamawi@hmetro.com.my

MASIH tidak terlewat untuk saya mengucapkan salam Maal Hijrah buat semua umat Islam. Semoga dengan kehadiran tahun baru ini, kita menjadi insan lebih baik, terpelihara iman dan akhlak serta berjaya dalam kerjaya mahupun kehidupan peribadi.


Jika ada azam tahun lalu yang belum sempat dilunaskan, inilah masa untuk kita realisasikannya. Tiada yang mustahil jika kita berusaha. Berkat kerja keras, doa dan tawakal, insya-Allah ia akan menjadi kenyataan.

Sebelum mengulas panjang mengenai jadual sepanjang minggu ini, saya ingin mengundang penduduk sekitar Lembah Klang ke pekarangan restoran Bora Ombak, Ampang hari ini untuk menyaksikan pertandingan futsal anjuran Karyawan dan KLFM.

Ramai artis terbabit dalam program ini, malah saya juga akan beraksi di gelanggang. Selain memeriahkan keadaan, kehadiran kalian pasti menyuntik lagi semangat penganjur dan anak seni tanah air.

Menyentuh persembahan Anugerah Juara Lagu 21 (AJL21), saya berpuas hati dengan persembahan Lagu Cinta Lagu Jiwa. Meskipun tewas, saya gembira apabila menerima maklum balas ramai penonton, baik di Stadium Putra Bukit Jalil mahupun di rumah, terhibur dengan persembahan saya dan M Nasir.

Saya difahamkan, ramai terkejut dengan penampilan kami malam itu. Sebenarnya itu idea spontan. Ketika saya dan M Nasir di bilik solek, Marlia Musa mencadangkan kami memakai rambut palsu. Katanya, biar kali ini kami tampil dengan imej yang sedikit berbeza. Perubahan itu sekadar ingin mewujudkan ‘mood’ gembira.

Sebelum AJL21, saya menjayakan persembahan majlis sambutan Maal Hijrah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Saya membawa lagu Emosi, di mana ia diberi kepada saya sehari sebelum persembahan. Syukur, meskipun hanya diberi masa sehari untuk menghafal lirik dan melodi, segalanya berjalan lancar apabila ia dipersembahkan kepada umum.

Pada kesempatan ini saya ingin merakam jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali kerana mengundang saya menjayakan persembahan Karnival Kesenian Islam Perak di Ipoh, Isnin lalu.

Program yang menerap nilai-nilai Islam ini cukup istimewa pada mata saya. Banyak manfaat diperoleh rakyat menerusi program kerohanian sebegini. Selain saya, kumpulan nasyid terkenal, Hijjah diundang menghiburkan orang ramai yang berkunjung ke karnival ini.

Saya terharu dengan layanan istimewa Menteri Besar dan krew karnival. Sebenarnya, sebelum ini beberapa kali saya dijemput menjayakan program anjuran Kerajaan Perak, namun tidak dapat dipenuhi kerana jadual terlalu padat.

Baru kali ini saya berkesempatan dan insya-Allah jika ada kelapangan lagi pada mana depan, kita akan bekerjasama.

Kebelakangan ini saya banyak menghabiskan masa dengan M Nasir bagi membincangkan pembikinan filem Aduh Saliha. Banyak ilmu dan pengalaman baru saya peroleh apabila terbabit dalam projek ini. Saya berpeluang melihat proses awal pembikinan filem dan serba sedikit tugas belakang tabir.

Ia titik permulaan baik untuk saya lebih memahami apa sebenarnya dunia layar lebar. Saya bertuah kerana dipertemukan dengan mentor (M Nasir) yang berilmu, luas pengalaman dan hebat di persada seni tanah air.

Meskipun punya nama yang gah, dia tidak lokek berkongsi pengetahuan, pandangan dan nasihat dengan pendatang baru seperti saya. Makin saya mengenalinya, makin tinggi hormat saya terhadapnya.

Sampai di sini coretan kali ini. Jangan lupa ikuti perkembangan terkini saya di ruangan ini minggu depan. Sekian, wassalam.

Tiada ulasan: