Ahad, Mei 27, 2001

Jiwa Melayu M. Nasir - Mencari akar dan merungkai polemik Melayu

petikan Utusan Malaysia 27 Mei 2001

Oleh: SAHARUDIN MUSTHAFA
PENTAFSIRAN makna Melayu membuka ruang perdebatan fakta dan pensejarahan yang bukan calang-calang.

Memperdebatkan susur-galur Melayu bakal mengundang pembongkaran pelbagai magna carta-magna carta di seluruh pelosok dunia yang melampaui jajahan Nusantara Melayu - Temasik, kepulauan Indonesia, Maluku, Borneo dan Tanah Melayu.

Barangkali pentafsiran makna Melayu yang paling ideal dirangkumkan dalam bait-bait sajak Melayu karya Seniman Agung Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 27 Oktober 1996.

Antara lain bait-bait sajak Melayu itu mendefinisikan syarat menjadi Melayu iaitu berkongsi fahaman agama yang serupa (jika kita merujuk kepada baris akhir petikan bait sajak Melayu:

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu; malah mualaf bertakrif Melayu (setelah disunat anunya itu).

Pelbagai pertembungan definisi Melayu ini bagai mendesak seniman tersohor M. Nasir untuk turut menghalusi pengertian kamus Melayu melalui perspektif irama dan lagu.

Kesungguhan beliau dimanifestasikan melalui karya terbarunya, Phoenix Bangkit, yang lebih merupakan satu kesinambungan perjuangannya dalam arus muzik perdana.

``Pengkajian saya tentang Melayu lazimnya menemukan kepada satu titik persamaan iaitu agama Islam.

Bahkan seluruh amalan kehidupan bangsa Melayu tidak boleh lari daripada acuan budaya Arab,'' katanya memulakan perbualan mengenai album terbarunya di Studio Luncai Emas, Sungai Buloh baru-baru ini.

Mendalami maksudnya itu, Nasir menjelaskan, barangkali budaya lain yang paling hampir menyaingi pengaruh Arab dalam kehidupan Melayu hanyalah Hinduisme yang tiba di Tanah Melayu lebih awal.

``Sebab itu kalau kita lihat, pengaruh keduanya begitu kuat dalam kehidupan harian. Namun, pengaruh budaya Hinduisme telah disesuaikan dengan budaya Arab kerana agama yang kita anuti,'' tambahnya.

Pandangan Nasir ini sebenarnya seiring dengan apa yang pernah disuarakan oleh Profesor Komunikasi Massa dari Amsterdam, Cees Hamelink yang mengatakan budaya yang lemah akan pupus dijajahi budaya yang lebih kuat dan asertif.

``Pada hakikatnya wajah sebenar budaya tradisi Melayu itu lemah, mudah beralah dan terlalu sederhana - lantaran itu mudah dipengaruhi oleh anasir luar.

``Ini dapat dinilai melalui dua irama tradisional Melayu (asli) iaitu sewang dan berendoi,'' Nasir menyambung bicara.

Namun, kupasnya lagi, penjajahan itu hanya memberi impak kepada budaya Melayu dan tidak sesekali menjadikan bangsa Melayu itu menerima penjajahan sebagai satu norma hidup.

``Kita perlu menerima hakikat bahawa budaya bangsa Melayu merupakan himpunan warisan bangsa-bangsa yang pernah menjajah dan mengunjungi Tanah Melayu satu ketika dahulu.

``Justeru pertembungan tersebut telah mencetuskan satu adunan budaya unik yang global. Maka lahirlah konsep World Music yang diterjemahkan menerusi jiwa kemelayuan,'' tegasnya.

Konsep ini berbeza dengan konsep World Music yang diasaskan oleh Peter Gabriel sejak 1969 yang cenderung menggabungkan pelbagai irama rakyat dari pelbagai pelosok dunia dan diperjuangkan melalui pertubuhan World of Music, Arts & Dance (WOMAD) yang diasaskannya.

Gabriel yang pernah menjadi komposer muzik latar filem epik The Last Temptation of Christ tahun 1988 arahan sutradara agung Martin Scorcese, sebenarnya jauh berbeza dengan konsep World Music yang diketengahkan melalui album Nasir.

Nasir bukan sahaja membicarakan akar umbi bangsa Melayu dalam usaha merungkai polemiknya, bahkan juga cuba menemukan akar umbi manusia sejagat - kembali kepada pegangan agama.

``Namun, saya tidak menuturkan pengajaran budaya dan agama secara terang-terangan sepertimana lazimnya yang dapat dilihat pada lagu-lagu nasyid.

``Sebaliknya saya, Loloq dan Seth menyelitkan kias ibarat dalam penciptaan bait-bait lirik dalam album ini,'' katanya merujuk kepada kerjasama akrab tenaga di belakang penghasilan album sulungnya bersama Warner Music.

Justeru itu, tidak hairanlah Raikan Cinta (single pertama yang sedang hits) berkias tentang pancaroba Siti Hajar dan Nabi Ismail dikering pasir Jaziratul Arab.

Masirah pula menyingkap tribulasi perjuangan rakyat Palestin lantaran kerakusan rejim zionis. Lagu ini bermula dengan petikan puisi Perancis, kemudian dilatari muzik peribumi Palestin, dan diakhiri doa dan harapan dalam bahasa Arab.

Di sebalik ritma Timur Tengah yang rancak, Hijab Kekasih (single kedua), tampil dengan penuh susila Melayu. Keperkasaan lagu ini terletak pada iringan akordian dan bait lirik yang begitu menyentuh naluri kemelayuan - meskipun sekadar mendengar sekali lalu.

Sahabat Gua membicarakan tentang ranjau pengalaman Ashabul-Kahfi yang disebut dalam kesemua kitab agama samawi - Taurat, Zabur, Injil dan Furqan. Genre samrah dan joget yang digabungkan mampu mencuri perhatian generasi muda.

Teras album ini, bagaimanapun, terletak pada lagu keempat, Phoenix Bangkit Dari Abu (single ketiga) yang mengambil sempena nama unggas mitos Asia - Phoenix.

Unggas mitos yang mencuri minat penulis Barat, Hans Christian Anderson, melalui karyanya The Phoenix Bird pada tahun 1850 mengukuhkan perspektif Nasir bahawa akar Melayu berasal dari tanah Arab.

Meskipun Phoenix menurut Anderson bermula dengan mendiami buana Arab, namun unggas ini kemudian memberi inspirasi kepada setiap warga dunia.

``Hikayat peribumi melagukan tentang unggas ini yang menemui ajalnya setiap seratus tahun, terbakar dan sirna menjadi abu. Namun, kematian itu hanya sebagai metafora kepada kelangsungan hayat seterusnya - seekor phoenix baru akan bangkit dari abu tersebut,'' tegas Nasir.

Tambahnya lagi, bukan sahaja jiwa dan budaya kemelayuan berasal dari tanah Arab, namun bangsa-bangsa lain turut berakar dari sana.

Perspektif Nasir kali ini ternyata jauh lebih kukuh berbanding pandangan beliau sebelum ini kerana sejarah memaparkan fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

Tamadun ulung dunia berpusat di Mesopotamia, tanah Arab oleh orang-orang Sumeria kira-kira 8,000 - 6,500 tahun Sebelum Masihi.

Tamadun di Lembah Nil hanya bermula kira-kira 6,000 - 2,000 tahun sebelum masihi.

Justeru, mereka yang intelektual akan menolak sebarang fakta yang merujuk kepada tamadun Eropah sebagai permulaan kebudayaan global.

Fakta merumuskan tamadun Eropah hanya bermula kira-kira 4,000 - 1,000 tahun Sebelum Masihi.

Namun, ketika ditanya sama ada album kali ini cuba memberi jawapan kepada konflik politik kontemporari, Nasir tangkas mengelak daripada memberi penterjemahan peribadi terhadap karya terbarunya itu yang bakal berada di pasaran menjelang 12 Jun ini.

``Saya hanya berkarya dengan langgam bahasa dan irama, ia terbuka untuk sebarang pentafsiran,'' katanya dalam nada serius.

Pendekatan tersebut begitu bijak kerana sebarang penterjemahan peribadi Nasir pasti memberi impak terhadap ruang pentafsiran karya besar ini.

Ini selaras dengan prinsip undang-undang dalam bahasa latin yang berbunyi: ``Argumentum ab auctoritate est fortiffimum in lege'' iaitu ``Pandangan mereka yang berautoriti dianggap kukuh dari segi perundangan.''

Dengan pantas beliau menambah, ``album ini mengajak kita merenungi hakikat hidup dan menerima bahawa setiap kita mempunyai peranan berbeza.

``Moga dengan itu kita akan akrab dan saling menghormati kewujudan masing-masing.''

Tiada ulasan: