Petikan Berita Harian, 4 June 1981
Oleh KHAIRANI AHMAD
SEDANG badan-badan drama berlumba-lumba untuk membanyakkan lagi jumlah persembahan drama tempatan, anggota Kelab Drama Balai Rakyat Tanglin juga tidak mahu ketinggalan dalam usaha itu.
Mereka, sejak Januari lalu. begitu gigih menjalankan latihan untuk menjayakan dua buah drama moden yang akan dapat disaksikan oleh para peminat seni pada 13 Jun di Pusat Kebudayaan, dekat Pusat Penjaja Rasa Singapura.
Kedua-dua drama moden itu bertemakan pertikaian dan masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia sehari-hari. Drama pertama berjudul Syaitan Syaitan Berdrama, ditulis oleh Syed Amin Shahab, pelukis muda yang melangkahkan kakinya ke dunia penulisan drama pentas sejak beberapa tahun lalu dengan harapan dapat mengurangkan 'ketegangan' di alam seni lukisan.
Penulis yang mengakui jiwanya lebih berat ke arah seni lukis menjelaskan semasa dia mengadakan latihan di Balai Rakyat Tanglin baru-baru ini, bahawa Syaitan Syaitan Berdrama merupakan hasil karya yang kedua selepas drama Otak'.
Menyentuh sedikit tentang drama itu. Syed Amin menjelaskan idea untuk menulis kisah tersebut timbul di fikirannva apabila sebuah lagu bertajuk 'Mencari Tuhan" berkumandang di radio semasa dia berada di Jakarta tahun lalu.
Kisah itu akan dibawakan oleh sebelas watak di mana watak-watak utamanya terdiri dari syaitan satu, syaitan dua dan syaitan tiga. Menurutnya lagi drama yang mendedahkan kejahilan manusia yang tunduk kepada hasutan syaitan ini diolah sebegitu rupa supaya mesejnya dapat disampaikan kepada para penonton menerusi kata-kata yang mudah difahami.
Sebagaimana petikan kata-kata yang berbunyi: "Syabas! Aku senang sekali melihat syaitan yang optimis seperti kau.. Ya! syaitan optimis, syaitan intelek, syaitan genius tapi syaitan tetap syaitan kita akan bina satu masyaratakat syaitan yang kukuh, kita akan bina satu kerajaan baru. kerajaan syaitan-syaitan bersatu... dengan tujuan yang sama iaitu untuk mengacau-bilaukan manusia.'
Kepahitan
Sementara drama berjudul Wabak, hasil nukilan M.Nasir pula agak begitu simbolik, memandangkan hanya seorang saja yang membawakan tiga watak, diiringi dengan suara-suara latar belakang yang beraksi sebagal perabot-perabot rumah seperti katil, jam loceng, potret. cermin. pil tidur dan lain-lain.
Wabak cuba mempaparkan kepahitan yang dirasai oleh seorang Insan yang hidup dalam wabak khayalannya sendiri terapung-apung tanpa tujuan.
M.Nasir. sebenarnya memang tidak asing lagi di kalangan peminat seni drama dan seni suara kerana artis muda ini telah lama berkecimpung di lapangan tersebut.
Pada 1979, M.Nasir telah terpilih sebagai pelakon lelaki terbaik dalam Pesta Drama Sriwana.
Kepuasan
Bagaimanapun, dapatkah M.Nasir memberi kepuasan kepada para peminatnya menerusi hasil karyanya yang pertama ini? Sama-sama-lah kita ikuti kisah berjudul Wabak yang akan dipentaskan pada 13 Jun nanti.
Tiket-tiket berharga $2 kini telah pun dijual di Balai Rakvat Tanglin dan di pintu masuk Pusat Kebudayaan pada hari pementasannya.
Dua orang pelakon yang menjayakan drama Syaitan Syaitan Berdrama, iaitu Mahani Aljunied. 21 tahun dan Maskam Mualim. 32 tahun memberitahu bahawa mcreka akan cuba menghidupkan watak-watak yang diberi supaya para penonton akan merasa puas ketika menonton drama tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan