Sabtu, April 04, 2009

Pesona karya cipta populariti

petikan Bintang Popular 4 April 2009
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


SIAPA tak kenal M Nasir, siapa pula tak sanjung Maya Karin. Anugerah Tuhan pada dua bintang besar dalam dunia nyanyian dan lakonan itu nyata dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh mereka. Mereka yang bernasib baik boleh dianggap bertuah kerana dengan bakat dan kebolehan, nama mereka terus popular hingga kini.

M Nasir walaupun tiga dekad mengabadikan diri sebagai anak seni, dirinya masih kekal jadi perhatian. Karya yang indah terus tercipta. Begitu juga si cantik, Maya Karin. Bermula dengan perjalanan seni yang berliku akhirnya pelakon yang sinonim dengan gelaran `pontianak cantik' itu mencipta sejarah baru apabila dua kali dinobatkan aktres terbaik pada festival antarabangsa.

Jika M Nasir mengambil masa bertahun-tahun untuk terbabit dalam seni yang pelbagai, bukan saja bergelar penyanyi, malah terkenal sebagai komposer, pencipta lagu, pelakon, pengarah dan pelukis, Maya juga ingin mengikut jejak penyanyi dan komposer bergelar sifu itu.

Secara jujur, M Nasir akui: "Saya tiada apa-apa petua untuk terus kekal sebagai anak seni. Cuma saya percaya, jika kita sentiasa memberikan karya yang terbaik, Insya-Allah kita akan bertahan.

"Bagaimanapun, tak semua orang akan dapat nikmat berkenaan, hanya mereka yang bernasib baik mampu berjuang dalam bidang seni hingga ke akhir hayat. Dan selagi tak menutup mata dan termampu, saya mahu terus berjuang.

"Saya juga sekadar berkarya, tapi karya itu yang melekat di hati peminat. Dalam industri ini, saya bukan sekadar bekerja, tapi pesona yang kita cipta akan membuatkan orang ingat selalu. Pesona pula perlu kejujuran, selain mencerminkan identiti. Apapun saya sentiasa panjatkan kesyukuran apabila terpilih dalam lingkungan berkenaan. Kini darah seni yang mengalir dalam diri saya diturunkan kepada anak-anak."

Finalis kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular bersama Malique pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu berkata, lima cahaya matanya mahu menyambung perjuangannya dalam bidang seni. Dua daripadanya menunjukkan minat dalam bidang muzik sama ada bergelar penyanyi dan bermain muzik, manakala tiga lagi yang masih bersekolah juga cenderung ke arah itu.

Dengan nada perlahan, penyanyi dan komposer berusia 52 tahun itu berkata: "Saya tak pernah galakkan anak-anak mengikut jejak saya sebagai anak seni, tetapi anak pertama dan kedua mempunyai minat mendalam dalam bidang muzik. Mereka mahu menyanyi dan bermain muzik.

"Saya tak terkejut kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Saya memberi sokongan pada mereka, buat masa ini, mereka masih berlatih dan mencari arah. Saya tak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan anak-anak untuk memastikan mereka juga menempa kejayaan.

"Jika saya mampu menaikkan nama penyanyi atau kumpulan lain sejak dulu lagi, kenapa saya tak membantu anak-anak saya. Saya juga sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk rakaman album mereka tetapi biarlah mereka berlatih dulu dan cukup ilmu."

Maya rancang terbit album ketiga

Maya pula akui, dirinya tak pernah mendabik dada dengan apa yang dilimpahi, malah sentiasa memanjatkan syukur menjadi insan terpilih dalam bidang seni.

Semakin jelita, wanita kacukan Melayu-Inggeris itu berkata: "Sejak dulu saya tak pernah berubah. Saya sentiasa memastikan saya masih Maya Karin yang dulu walaupun sudah mengecapi arus populariti dan berkahwin. Kadang kala saya tersenyum apabila ramai yang lupa saya sudah bergelar isteri kerana mereka melihat saya sebagai Maya Karin yang masih bujang.

"Kehidupan saya juga tak banyak berubah walaupun sudah lapan bulan bergelar isteri. Saya percaya sifat kesederhanaan yang diterapkan dalam diri sejak dulu buat saya tidak berubah.

"Saya bukanlah artis kontroversi, bukan juga artis seksi. Jadi tak banyak yang dapat diperkatakan dan dicetuskan. Saya pula lebih selesa membicarakan mengenai hala tuju dalam bidang seni."

Maya berkata, selepas mengecapi kejayaan dalam bidang lakonan dan pengacaraan, hanya satu impiannya belum terlaksana iaitu bergelar penyanyi yang baik.

Finalis Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2008 itu berkata, kalau diikutkan minatnya lebih ke arah bidang nyanyian, namun nasib belum menyebelahinya walaupun sudah memiliki dua album, berjudul Maya Karin dan Bukan Qalamaya.

"Dulu saya fobia apabila ramai menganggap saya tak boleh menyanyi, hanya mempertaruhkan paras rupa dan macam-macam lagi kata-kata pedih yang dihamburkan pada saya.

"Saya akui dua album dulu hanyalah percubaan, ketika itu keinginan bergelar penyanyi begitu melonjak di jiwa tetapi hasilnya kurang memuaskan. Kini tak lagi, selepas enam tahun tiada album baru, saya akan tampil dengan album ketiga tidak lama lagi.

"Album ini agak berbeza dengan album dulu. Saya mengambil masa bertahun-tahun memikirkan konsep yang sesuai dan menunggu lagu yang berkualiti dan serasi dengan vokal saya.

"Saya tak mahu menoleh ke belakang lagi mendengar kata cemuhan orang. Saya berazam mahu membuktikan album saya juga mendapat tempat di hati peminat. Sehingga kini, saya sudah memilih enam lagu ciptaan Audi Mok, cuma saya belum dapat lirik yang bagus," katanya yang bakal muncul sebagai jurucakap produk minuman terkenal tidak lama lagi.

INFO: M Nasir

Nama: Mohamad Nasir Mohamad @ M Nasir
Usia: 52 tahun
Asal: Singapura
Tarikh Lahir: 4 Julai 1957
Pendidikan: Diploma Seni Lukis dari Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura.
Album: Untuk Pencinta Seni (1979), Dia Ibuku (1981), Solo (1988), Saudagar Mimpi (1991), Canggung Mendonan (1993), Konsert Akar M Nasir - Manifestasi Akustika (1995), Terbaik M Nasir (1998), Srikandi Cintaku (1999), Prahara Seni Abadi (2001), Phoenix Bangkit (2001) dan Sang Pencinta (2006).
Album (Bersama Kembara): Kembara (1981), Perjuangan (1982), Generasiku (1983), 1404 Hijrah (1984), Seniman Jalanan (1984), Duit (1985) dan Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986).
Filem: Kembara Seniman Jalanan, Selubung, Fenomena, Balada, Simfoni Duniaku, Merah, Perempuan Melayu Terakhir, Animasi Putih dan Puteri Gunung Ledang.
Lagu Popular: Hati Emas, Mentera Semerah Padi, Ghazal Untuk Rabiah, Andalusia, Phoenix Bangkit Dari Abu, Aduh Saliha, Lagu Cinta Lagu Jiwa (duet dengan Mawi) dan Juwita Citra Terindah.
Pencapaian (antaranya): Anugerah Kembara AIM, Artis Paling Popular Anugerah Bintang Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1994, Anugerah Khas Bintang Popular ABPBH 2007.

INFO: Maya Karin

Nama: Maya Karin Roelcke
Tarikh Lahir: 29 Oktober 1979
Usia: 30 tahun
Tempat lahir: Bayreuth, Jerman
Pendidikan: Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing dalam bidang media dan pemasaran
Album: Maya Karin dan Bukan Qalamaya
Pengacara: Wavelength (TV3), Ratu Sehari (Astro Ria), Channel [V] dan Beauty Secret From The East (TV3)
Filem: Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Waris Jari Hantu, 1957 - Hati Malaya, Anak Halal dan Duyung
Pencapaian (antaranya): Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2001; Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2005; Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka dan Pelakon Terbaik di Festival Filem Seram & Fantasi Estepona 2005 di Sepanyol dan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21.
Duta: L'oreal Paris, Tag Heuer, Celcom, Tahun Terumbu Karang 2008 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, selain jurucakap MYEG, projek memperbaharui lesen secara online Kementerian Pengangkutan.

Solekan & Dandanan: Rose Suci (012- 902 1217)
Produk: Elysyle Cosmetics Elken

5 ulasan:

deaf-angel berkata...

nice photos

Tanpa Nama berkata...

Salam ziarah.

Pengambilan Baru Peserta Program Who Wants To Be A MillionaireBlogger.Net™ "Click Here"

Tanpa Nama berkata...

Lawa baju sifu. Rasanya designer yang sama reka baju untuk konsert di Istana Budaya.

Portdy berkata...

Salam,

M.nasir yang namapak sebaya ngan Maya hehehe

Tanpa Nama berkata...

Mana nak cari cd KSJ?