petikan Harian Metro 9 Mac 2009
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
ADA bertanya, mengapa wartawan semua memuji konsert M Nasir? Betulkah hebat sangat Konsert Alam Muzik M Nasir yang berlangsung tiga malam bermula 28 Februari lalu di Istana Budaya (IB)?
Antara tajuk dipilih, Seleksi terbaik tiga dekad (Harian Metro, 28 Februari), Luasnya alam muzik M Nasir (Berita Harian, 3 Mac), Kegemilangan Seorang Sifu (Utusan Malaysia, 4 Mac) dan The Sifu holds court (New Straits Times, 4 Mac).
Saya tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert itu pada malam pertama untuk melihat kehebatan M Nasir di IB selepas menyaksikan konsert terakhirnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sembilan tahun lalu. Baik saya mahu pun suami bukan peminat setia M Nasir tetapi tidak keberatan menyaksikan konsert itu apabila mendapat tawaran tiket paling mahal RM250 daripada Telekom Malaysia.
Satu pujian untuk M Nasir dan juga barisan pemuziknya yang memberi persembahan hebat dan nampak bersungguh-sungguh. Sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung, M Nasir menghiburkan penonton dengan alunan lagu-lagunya dari irama pop rock kepada inang, joget, keroncong, jaipong hinggalah irama padang pasir.
Peminat setianya tidak mampu hanya duduk di kerusi empuk sementara alunan muzik M Nasir bergema di pelusuk Panggung Sari hingga mereka ikut sama menari walaupun hanya dari tempat duduk.
IB bukanlah tempat sesuai untuk M Nasir. Kalau konsert diadakan di stadium, tentu lebih hebat kerana memberi ruang kepada peminat dibuai dengan alunan muzik M Nasir dan menari bersamanya.
Ada masanya, penyanyi, komposer, penulis lirik, pelakon dan pengarah itu seperti dirasuk terutama ketika menyanyikan Mentera Semerah Padi. Tenaga dimiliki M Nasir tidak seperti lelaki berusia 52 tahun tetapi bapa enam anak itu benar-benar asyik menghiburkan penonton.
Khamis lalu, saya bertemu M Nasir ketika hadir di mesyuarat penubuhan Koperasi Industri Muzik Malaysia di Restoran Puteri. Dalam pertemuan singkat itu, sempat mengorek rahsia kejayaan konsertnya.
M Nasir mengakui sangat berpuas hati dengan sambutan penonton terhadap konsertnya hingga sokongan dan kerjasama penonton memberi semangat dan rangsangan kepadanya sepanjang tiga malam itu.
Apabila dipuji dari mana datangnya tenaga M Nasir kerana melihat aksinya itu, siapa sangka usianya sudah 52 tahun.
Kata suami Marlia Musa ini, dia memang rajin menjaga kesihatan seperti menjalani pemeriksaan rutin serta menjaga pemakanan.
Katanya, tiada pantang dan dia makan semua tetapi terkawal.
Mengenai kehadiran tiga penari wanita berbadan besar yang mengiringinya ketika menyanyikan lagu irama jaipong, Sahabat Gua, M Nasir hanya tersenyum apabila dikatakan elemen itu berjaya mencuit hati penonton,
Katanya, dia sendiri mengundang mereka menjayakan konsertnya dan mengatakan mereka adalah pelakon dari Aswara tetapi tidak pasti apakah mereka peminatnya atau tidak.
Anak seni kelahiran Singapura ini setuju dengan kenyataan bahawa IB kurang sesuai untuk dirinya. Ternyata M Nasir ada berita gembira untuk peminatnya kerana ada perancangan mengadakan konsert di stadium pada tahun ini juga tetapi tidak pasti tarikhnya.
Tidak cukup dengan itu, ada pihak di Singapura mahu membawa Konsert Alam Muzik M Nasir menyeberang Tambak Johor untuk memberi peluang lebih ramai peminat di Singapura menyaksikan persembahannya. Difahamkan, ramai peminat turun dari Singapura untuk menyaksikan konsertnya di IB.
M Nasir juga bersetuju apabila saya katakan kesediaan New Straits Times Press (NSTP) sebagai akhbar rasmi dan juga penaja bersama antara penyumbang besar kejayaan konsertnya hingga tiket untuk tiga malam persembahan habis dijual lima hari sebelum konsert berlangsung.
Karyawan terus berkarya walaupun pelbagai kekangan dan rintangan. Namun minggu lalu kita kehilangan dua insan yang banyak berjasa dalam muzik. Pada Khamis, bekas orang kuat syarikat rakaman EMI (M) Sdn Bhd yang kini menjadi penganjur majlis bebas, Mohd Arzmy Mohamad, meninggal dunia kerana serangan jantung.
Masih terbayang senyuman ramah arwah ketika bertemu dengannya di majlis sidang media Malam Sinar Maulidur Rasul 1430 H di Restoran Chengho, Wangsa Maju pada 17 Februari lalu. Saya sempat menyapa beliau tetapi tidak berkesempatan berbual. Beliau hanya mengangkat tangan dan tersenyum sebagaimana biasa kerana Arzmy memang dikenali mesra senyuman.
Komposer dan penulis lagu puisi, Zubir Ali, 60, pula meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi Jumaat lalu di Hospital Pakar Damansara, selepas seminggu dimasukkan ke sana untuk menjalani pembedahan pintasan jantung.
Apabila dikhabarkan berita kematiannya, teringat pertemuan dengan Azlina Aziz ketika pelancaran Festival Filem Malaysia ke-22 di Perbadanan Kemajuan Perfileman Malaysia (Finas), Hulu Klang, Rabu lalu.
Ketika itu Azlina bertanya rakan-rakan yang ditemui mengenai muzik lagu Zubir Ali. Azlina tidak ingat tajuk lagunya tetapi menyanyikan senikata lagunya. Katanya, dia mahu menyanyikan lagu itu untuk satu persembahan sempena Maulidur Rasul pada 15 Mac ini.
Tuhanku..Aku hilang bentuk, Kembara di negeri asing. Tuhanku, Pintu-Mu ku ketuk, Aku tak bisa berpaling...
Lirik dari lagu Doa yang dinyanyikan Zubir Ali ini akan terus berkumandang. Kalau bukan alunan suaranya, pasti oleh penyanyi lain kerana lagu itu begitu dekat dengan kita. Al-Fatihah buat mereka berdua dan selamat menyambut Maulidur Rasul.
2 ulasan:
Saya juga peminat M.Nasir. Lebih2 lagi penciptaan lagu untuk kumpulan wings
View Profile: Rantong™
Rantong : Same le kite semua :)
Catat Ulasan