Rabu, Februari 28, 2007

Cit Cat Azwan palit sejarah kelat

petikan Harian Metro 28 Februari 2007
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Majlis yang dikatakan terbaik dibanding pernah dianjurkan sebelum ini banyak timbulkan kekecohan sehingga ramai artis pulang dengan kecewa, penganjur menjual meja sedangkan artis tidak dibayar, malah tiada tempat duduk untuk artis manakala wartawan dan jurugambar hanya duduk di luar

ENTAH mana silapnya, majlis Mesra Sokmo Cit-Cat Azwan (MSCCA) kali Ke-7 yang berlangsung selama empat hari di Kuala Terengganu, baru-baru ini meninggalkan banyak pengalaman pahit buat rombongan artis, wartawan mahupun peminat sendiri.

Walaupun Azwan sebelum itu menjelaskan MSCCA adalah yang terbaik dibandingkan dengan majlis yang pernah dianjurkan sebelum ini, namun banyak peristiwa lama mengulangi sejarah lalu.

Paling hangat diperkatakan ahli rombongan ialah mengenai pengurusan majlis malam gala yang menimbulkan kekecohan sehingga ramai artis ‘angkat punggung’ dan pulang ke Kuala Lumpur kerana kecewa dengan penganjurannya. Perkara sama pernah berlaku sewaktu Parti Cit-Cat Azwan di Sungai Petani, Kedah, dulu.

Sebahagian artis yang mengikuti MSCCA memberitahu mereka tidak tahu menahu majlis itu dinaungi kerajaan Terengganu dan berlangsung atas tajaan Kelab Teluk Warisan, Pulang Duyong turut menjual meja dengan alasan sebahagian keuntungan diserahkan kepada tabung bantuan banjir Johor dan negeri itu sendiri.

Beberapa artis popular dikatakan berang apabila mengetahui pada malam gala, penganjur menjual meja, sedangkan artis langsung tidak dibayar. Kata mereka, sekurang-kurangnya penganjur harus membayar sedikit sagu hati, kerana begitulah konsepnya.

Sekiranya niat penganjur ikhlas untuk mengadakan majlis kutipan derma bagi membantu mangsa banjir, mengapa tidak diadakan di konsert terbuka pada malam 24 Februari?

Oleh kerana meja dijual menyebabkan artis tidak mempunyai tempat duduk sebaik selesai berarak di permaidani merah masuk ke dalam dewan, sementara wartawan dan jurugambar pula ditempatkan di luar.

Lebih parah, ada peminat yang membeli meja dengan harga RM2,000 tidak berpeluang duduk di dalam dewan dan terpaksa menunggu hampir setengah jam baru masalah dapat diselesaikan.

Sebaik majlis tamat, Azwan memberitahu media pihaknya tidak tahu menahu mengenai rancangan jualan meja di malam gala dan meminta kerajaan Terengganu dan Mediate Communication, selaku agensi dilantik memberikan penjelasan.

“Mengenai kerusi tidak cukup dan peminat yang membeli meja tidak ada tempat duduk, itu saya tidak dapat komen banyak.

“Ia harus ditanya kepada agensi dilantik kerajaan negeri. Bagaimanapun, perkara ini sudah saya beritahu kepada pihak Astro. Selepas ini pihak saya akan mengadakan perbincangan bagi mendapatkan maklumat sebenar apa yang berlaku,” katanya.

Azwan mengakui, masalah berlaku apabila sebahagian agenda majlis diserahkan kepada agensi untuk melaksanakannya.

Tidak seperti selalu, dia akan melakukan sendiri semua urusan dan apabila timbul masalah ini dapat diketahui lebih awal.

Dalam pada itu, Azwan turut membidas pihak yang menyebarkan cerita kononnya dia menerima RM1 juta daripada kerajaan Terengganu bagi menguruskan majlis itu, sedangkan artis hendak makan terpaksa membayar sendiri.

“Sumpah dengan nama Tuhan, saya tidak menerima sesen pun daripada kerajaan Terengganu, sebaliknya duit saya banyak keluar. Kalau ada pun ia hanyalah dari sudut tajaan.

“Contohnya, selepas permohonan tajaan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Terengganu ditolak saya terpaksa membayar belanja empat bas untuk membawa rombongan ke sini.

“Begitu juga dengan Trofi Mulut Laser yang dibuat dari Kristal berharga RM400. Saya keluarkan duit sendiri RM5,200 untuk 13 trofi yang diserahkan kepada mereka yang dirasakan layak,” katanya.

Mengenai pelbagai rungutan ditimbulkan artis membabitkan rasa kurang senang mereka terhadap pelbagai isu termasuk di malam gala, jelas Azwan, dia tidak bimbang mengenai perkara itu.

“Perkara itu timbul disebabkan salah faham, tetapi saya rasa semuanya sudah diperjelaskan. Kalau benar ada artis yang meninggalkan majlis kerana rasa tidak puas hati sebutkan saya nama mereka.

“Rasanya semua ada. Saya difahamkan mereka pulang kerana esok mereka terbabit dengan majlis Breakfast With Stars anjuran Stars Movies,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mediate Communication, Gary Thanesan, menjelaskan pihaknya mewakili kerajaan Terengganu sudah memberitahu pihak Azwan mengenai jualan meja di malam gala bagi mengisi tabung bantuan banjir lebih awal.

“Segalanya sudah diperjelaskan dan dokumen mengenai apa yang ingin dilakukan itu sudah ditandatangani secara hitam putih. Azwan sendiri bersetuju sebahagian wartawan dan jurugambar diletakkan di luar.

“Mengenai masalah mereka yang sudah membeli meja tetapi tidak dapat masuk ke dalam dewan, perkara itu akan pihak saya selesaikan. Kami akan memulangkan semula wang mereka dan membenarkan mereka masuk ke dalam dewan untuk menyaksikan persembahan,” katanya.

Begitupun, malam gala berlangsung dengan lancar di mana majlis penyerahan Trofi Mulut Laser diserikan dengan persembahan artis popular.

Berikut keputusan anugerah diberikan Azwan bagi menghargai insan seni yang banyak membantu rancangan diterbitkan.

. Krew Paling Meletup:
Ros Suci

. Peminat Paling Meletup:
Azizah Tawang

. Artis Baru Paling Meletup:
Faizal AF4

. Artis Paling Kacak:
Ashraf Sinclair

. Artis Wanita Paling Cun:
Marsha

. Artis Paling Sporting:
Rabbani

. Episod Paling Kontroversi:
Bersama Diana Naim

. Artis Paling Laser:
Azharina

. Seniman Terbilang:
Aziz Sattar

.Seniwati Terbilang:
Mak Nani

. Vokal Terbaik:
Hattan

. Artis Terbaik:
M Nasir

. Persembahan Terbaik:
Rabbani

Kecoh & panas

1) Ramai artis tidak tahan dengan celoteh Azwan yang tidak henti-henti mengomel sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur hingga ke Terengganu. Begitu juga, apabila setiap kali acara berlangsung sehingga ada yang bertanya mulut Azwan tidak pernah penat ke?

2) Tidak kurang juga artis dan pengurusan mereka berkecil hati apabila makan dan minum terpaksa dibayar sendiri, sedangkan selama empat hari mereka tidak pernah berkira mencurahkan segala tenaga dan kudrat untuk menjayakan apa saja aktiviti diatur pengacara itu.

3) Acara yang diatur Azwan amat padat sehingga membuatkan sebahagian artis mengeluh kerana aktiviti mereka berlangsung seawal jam 8 pagi hingga jam 2.30 pagi keesokan harinya. Disebabkan kepenatan, acara sukaneka yang dijadualkan berlangsung pada 25 Februari sepi dengan kehadiran artis.

4) Untuk menjaga eksklusif tempat penginapan Kelab Teluk Warisan Terengganu, acara sukaneka diadakan tanpa pembabitan masyarakat setempat dan hanya membabitkan artis. Kedengaran juga cerita acara itu pada awalnya mahu dibatalkan kerana tidak mahu ia mencuit sensitiviti masyarakat setempat.

Pengarang majalah HAI, Huzzaini Kamaluddin, hampir mengamuk apabila pengurusan resort enam bintang itu tidak membenarkan orang awam masuk menyertai majlis promosi diadakan. Bagaimanapun selepas berbincang ia dapat dilakukan dengan sempurna.

5) Pada malam konsert di Dataran Shah Bandar, Ning Baizura ditegur pihak kerajaan negeri dengan alasan dia kelihatan seksi walaupun penyanyi itu memakai baju berlengan panjang sehingga ke paras peha dan kaki bersarung ‘legging’. Atas alasan itu dia tidak dibenarkan bergerak dari tempat duduknya, membuatkan Ning sedih dan kecewa kerana tidak dapat bermesra dan bergambar bersama peminat.

6) Walaupun tidak menerima wang tajaan RM1 juta, namun menurut orang kerajaan Terengganu sendiri mereka memberikan wang belanja kepada Azwan Ali Production sebanyak RM100,000.

7) Sedih melihat acara bermesra dengan anak-anak yatim yang diadakan di A&W Pantai Batu Buruk tidak seperti apa yang dibayangkan apabila artis diberikan keutamaan duduk di dalam restoran sementara anak-anak yatim terpaksa menunggu di luar di bawah khemah disediakan. Mereka hanya masuk setelah rombongan habis menikmati hidangan.

8) Azwan memberitahu dia terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menyediakan Trofi Mulut Laser, namun sebelum itu sebaik majlis bermula dalam ucapannya dia memberitahu Leesa Formula menaja trofi kristal terbabit. Seorang wartawan sempat melihat dan memberitahu dia nampak lambang Leesa Formula terlekat di trofi itu. Sekarang ini yang mana satu betul Azwan?

9) Artis yang kecewa dengan penganjuran malam gala pulang ke Kuala Lumpur sebaik majlis bermula. Malah, menyedihkan apabila Ning dan Salamiah Hassan hanya makan di belakang pentas kerana tiada tempat duduk disediakan. Adibah Noor yang mengetahui terpaksa berebut tempat duduk dengan seorang jurugambar turut kecewa dan terus keluar meninggalkan dewan.

10) Selepas sidang akhbar, teman wartawan terdengar Azwan meninggikan suaranya kepada Gary, bertanya bagaimana kekecohan boleh berlaku mengenai susun atur majlis, cepat-cepat Gary terus memujuk Azwan agar perkelahian antara mereka tidak didengari orang luar.

*baca berita tambahan di klubbkidd

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lain kali artis-srits diingatkan jangan libatkan Kerajaan Negeri (Umno) ini dan kuncu-kuncunya. Kalau mereka dilibatkan inilah jadinya. Dulu konsert Mawi di Kuala Terengganu pun jadi isu apabila konsert sepatutnya percuma dikenakan bayaran oleh mereka dan akibatnya konsert tersebut gagal menarik peminat-peminatnya Mawi untuk datang menyaksikannya. Faizal AF4 sepatutnya menjadi seorang artis yang neutral dijadikan ahli Putera Umno. Akhirnya beliau tidak berapa dipandang dan dipedulikan oleh orang ramai...

Tanpa Nama berkata...

Amboi...amboi...amboi...
Teori dari mana pulak hang pakai no.
Amboi...amboi...amboi....