Halaman

Rabu, Disember 27, 2023

M Nasir harap karya jadi inspirasi anak muda

petikan Berita Harian 27 Disember 2023

Oleh Khairil Khusyairi

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer legenda, Datuk M Nasir meluahkan rasa teruja apabila bakal beraksi di festival Tamasya Anak Muda pada 5 dan 6 Januri depan.

Menurut M Nasir, peluang untuk berada bersama bakat-bakat baharu di satu pentas adalah momen yang berharga seiring dengan kepelbagaian muzik yang harus dinikmati setiap lapisan.

"Bukan selalu aku beraksi bersama anak-anak muda di dalam suatu acara.

"Tapi aku percaya bahawa keindahan muzik itu tidak mengira umur dan harus dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat dan rakyat jelata," tulisnya.

Dalam pada itu, pencipta lagu popular Tiara ini juga berharap karya-karyanya menjadi contoh buat anak muda kini.

"Semoga karya-karya yang aku hasilkan menjadi inspirasi kepada anak-anak muda masa kini dan masa hadapan.

"Kali ini aku cuba memberikan persembahan yang bertenaga seperti anak-anak muda ini! Mana suara para Sahabat M.Nasir?," tulisnya di platform X.


Festival Tamasya Anak Muda yang bakal berlangsung di Jiospace, Petaling Jaya itu akan menyatukan pelbagai bakat-bakat tempatan dalam satu platform.

Di atas pentas, pengunjung akan disajikan dengan persembahan langsung daripada artis-artis dan kumpulan ternama seperti Leaism, Amir Jahari, Arish Mikael, Pitahati, Margasatwa, Satwo, Iqbal M., Fazleena & The Lasykar, dan Jemput Dengar (DJ).

Tamasya Anak Muda dianjurkan oleh Luncai Emas ini merupakan pintu kepada revolusi budaya yang diilhamkan oleh seni dan muzik. Ia meraikan kepelbagaian dan perpaduan antara tradisi dan kekinian dalam satu platform untuk menggerakkan minda generasi muda. - XTRA

TIKET : https://www.jiotix.asia/events/tamasya-anak-muda-pesta-jiwa-rakyat




Tiada ulasan:

Catat Ulasan