Halaman

Jumaat, Disember 29, 2023

'Kita semua perlu bekerja, takkan nak berkabung saja di rumah?' - M Nasir

petikan Harian Metro 29 Disember 2023

Ramlah Zainal  am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Boleh buat konsert tapi jangan berlebihan. Anda hendak semua orang berkabung di rumah? Semua orang perlu bekerja dan bukan artis saja," kata komposer dan penghibur legenda, Datuk M Nasir, 66, ketika diminta mengulas dakwaan netizen mengatakan golongan artis tidak sensitif dengan menganjurkan konsert ketika rakyat Palestin berdepan serangan Israel ketika ini.

M Nasir berkata, sebagai penghibur, mereka hanya melakukan kerja untuk menghiburkan orang ramai yang juga mahukan bahan hiburan.

"Selain menghiburkan orang, mereka juga perlu sedar dan prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling.

"Boleh buat konsert kerana orang tetap mahukan hiburan tapi buatlah pada tahap yang sederhana," katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan Konsert Sifu dan Aku bersama Datuk Hattan, M Nasir berkata, setakat ini, persiapan berjalan lancar seperti direncanakan.

Konsert Sifu dan Aku bakal menggegarkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 3 Februari depan.

"Dari segi jualan tiket, saya tidak tahu perkembangan setakat ini. Saya pun nak kena tanya (penganjur). Tapi bila orang yakin nak buat, saya juga yakin semuanya berjalan lancar. Insya-Allah akan dapat sambutan ," katanya.

Ditanya pandangan ada konsert artis yang terpaksa ditunda kerana jualan tiket kurang memberangsangkan, M Nasir berkata, dalam dunia perniagaan ini, bukan semua konsert yang dirancang akan berjaya.

"Ada masanya konsert yang dirancang tak jadi, itu nasiblah. Memang kita dengar artis rancak buat konsert ketika ini tapi bukan semuanya menjadi," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan