Halaman

Selasa, Disember 19, 2023

Rebut gelaran penyanyi nombor satu negara? Bagi saya itu bukan berita – M. Nasir

 petikan Utusan Malaysia 19 Disember 2023

KUALA LUMPUR: “Bagi kamu, itu satu beritakah? Pada saya, bukan.”

Demikian reaksi awal komposer dan penyanyi tersohor, Datuk M. Nasir apabila ditanya perbalahan maya yang berlaku antara beberapa kelab peminat yang berebut gelaran penyanyi nombor satu negara baru-baru ini.

Mengulas lanjut, M. Nasir berkata, setiap penyanyi mempunyai peminat dan kemuncak karier masing-masing sehinggalah satu masa nanti, takhta itu akan diambil alih atau mungkin kekal dimiliki oleh artis tersebut.

“Industri seni ini ada piramidnya. Kalau ada lima tingkat, maksudnya penyanyi nombor satu negara akan berada paling atas. Setiap orang ada zaman kemuncaknya dan satu hari nanti mungkin diambil alih.

“Tetapi ada yang masih dan kekal sebagai penyanyi sohor negara. Peminat yang menentukan sama ada dia layak atau tidak berada di kedudukan tersebut. Ada sensasi, ada cerita dan ada kejatuhannya.

“Saya sendiri tidak tahu hendak komen bagaimana. Sama ada penyanyi, pelakon atau pengacara, semua ada kemuncak karier mereka,” ujarnya.

Komposer Tanya Sama Itu Hud Hud dan Raikan Cinta it berkata demikian selepas sidang media Konsert Sifu & Aku yang turut menampilkan anak muridnya, Datuk Hattan baru-baru ini.

Konsert Sifu Dan Aku itu dianjurkan oleh Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group. Sementara radio rasmi adalah Era Sabah.

Dalam pada itu, Borneo Excursions adalah agensi pelancongan rasmi untuk Konsert Sifu Dan Aku yang menawarkan tiket konsert, pakej pelancongan, pengangkutan dan hotel dengan harga yang menarik.

Tiket konsert boleh didapati di https://ilassotickets.com/event/konsert-sifu-aku/ pada harga RM988 (VIP- tempat duduk bernombor), RM488 (tempat duduk bebas), RM388 (tempat duduk bebas), RM288 (tempat duduk bebas) dan RM188 (tempat duduk bebas).

Ditanya berhubung ‘keengganan’ biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tidak mahu menerima gelaran tersebut, M. Nasir menjawab;

“Ini bukan soal mahu atau tidak, bila kita melangkah ke dalam industri seni, kita sudah dimiliki peminat ibaratnya.

“Jadi, hendak atau tidak, itu peminat yang beri,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan