Halaman

Jumaat, Januari 07, 2022

M Nasir tak suka gelaran otai, legenda

 petikan Berita Harian 7 Januari 2022 

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin - bhhip@bh.com.my

M Nasir menyifatkan, gelaran otai dan legenda tidak perlu kerana penyanyi dan pengkarya serius dengan hasil kerja seni dilakukan. - Foto IG M Nasir

KUALA LUMPUR: Penyanyi lama terpaksa akur peminat enggan mendengar lagu baharu kerana sukar mengikis minat terhadap lagu hits lama.

Perkara ini didedahkan penyanyi dan komposer bergelar sifu, Datuk M Nasir, 64.

M Nasir berkata, peminat yang memuja penyanyi lama tidak mahu mendengarkan buah tangan terbaharu artis berkenaan.

Sebaliknya, katanya, hanya segelintir peminat tegar yang akan menyokong penyanyi pujaan, tetapi itupun hanya beberapa kerat sahaja.

"Apabila penyanyi lama ingin menghasilkan album baharu, sebenarnya ia bukan mudah. Kalau hendak buat lagu baharu, orang tak mahu dengar. Mereka memang memuja artis, tetapi ada peminat lebih menggemari lagu lama yang hits.

"Tak dinafikan, peminat tegar akan bertanya bila penyanyi pujaan akan mengeluarkan album, tetapi berapa kerat akan menyokong? Ini kerana peminat sudah terbiasa mendengarkan penyanyi pujaan menyanyikan lagu hits lama. Bagi mereka, lagu hits lama sudah cukup sedap, jadi sukar terima jika dengar lagu baharu.

"Saya melihat sentuhan lagu lama dengan baharu berbeza, itu membuatkan kenapa peminat sukar menerima karya baharu penyanyi lama," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Singapura yang sudah berkecimpung dalam dunia muzik sejak empat dekad lalu itu berkata, lagu dengan sentuhan muzik lama masih digemari, malah, sangat popular.

Namun, katanya, ia bukannya dinyanyikan penyanyi lama, sebaliknya penyanyi baharu.

Katanya, industri rakaman kini adalah industri penyanyi dan personaliti. Peminat menggemari penyanyi disebabkan personaliti dan imej artis berkenaan.

"Daya tarikan kini menjadi sesuatu yang penting bagi memastikan seseorang penyanyi mampu bertahan lama dalam industri muzik," katanya.

M Nasir akui, lagu dengan sentuhan muzik lama masih digemari, malah, sangat popular apabila dinyanyikan semula penyanyi generasi baharu. - Foto IG M Nasir

Penyanyi yang popular menerusi lagu Mustika, Keroncong Untuk Ana dan Tanya Sama Itu Hud Hud itu berkata, bukan mudah untuk penyanyi lama bersaing dengan penyanyi generasi baharu.

Katanya, ini kerana kehadiran penyanyi lama pasti membuatkan pendatang baharu kurang selesa.

"Orang muda sekarang mereka ada dunia yang tersendiri. Apabila kita sibuk-sibuk, pasti mereka cakap, apa bendalah.

Umpamanya, apabila kita masih bertanding dalam Anugerah Juara Lagu (AJL), sedangkan, kini trend semua di kalangan penyanyi berusia 20-an.

"Tidak salah jika penyanyi lama masih mampu bertanding kerana kita buat benda yang moden, malah ada kalanya lebih moden berbanding penyanyi baharu," katanya.

M Nasir berkata, penyanyi lama masih ada tempat, cuma mengharapkan tidak digelar otai.

"Saya tidak gemarkan gelaran otai dan legenda. Berapa banyak program hendak gelar kita sebagai otai? Bagi saya, gelaran seperti ini tidak perlu kerana kita serius sebagai penyanyi dan pengkarya.

"Kita hanya ingin menghiburkan peminat dan cari makan. Itu sahaja" katanya yang pernah beberapa kali mengungguli AJL.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan