Halaman

Isnin, Januari 24, 2022

M.Nasir kembali jadi hero, terajui filem Imam

petkan Majoriti 24 Januari 2022

Oleh GHAZALI ALIAS

SUDAH sekian lama kelibat sifu, M.Nasir tidak menunjukkan taringnya di layar perak dan kaca.

Kali terakhir adalah pada 2018 menerusi siri eksklusif di Astro First, Dosa: Sacred Sin memegang watak sebagai Latif.

Dengar khabarnya, penyanyi dan pelakon berusia 64 tahun itu kini sedang menjalani pengambaran filem adaptasi novel bertajuk Imam di sekitar Perak.

Berdasarkan sumber, M.Nasir memegang watak utama dalam filem tersebut yang difahamkan bergenre keagamaan.

Perkara itu turut diperkuatkan menerusi satu ciapan di Twitter oleh Amīr ud-Dīn MR yang berkongsi tentang pengambaran filem berkenaan.

Berkongsi sebuah petikan ayat dari novel Imam, Amīr juga berkongsi gambar-gambar adegan dari filem berkenaan.

"Kita bersolat hanya kerana pengaruh kebiasaan, pengaruh keadaan dan pengaruh tradisi. Sebab itu solat kita pada masa kanak-kanak, remaja, dewasa sama saja lalai. (Imam, halaman 338)."

"Adaptasi novel Imam karangan SN Datuk Abdullah Hussain sedang dalam proses penggambaran," tulisnya.

Berdasarkan perkongsian tersebut juga, difahamkan filem ini juga melibatkan beberapa pelakon hebat seperti Faizal Hussein.

Seperti yang dinyatakan, filem ini merupakan adaptasi daripada novel Imam.

Secara ringkas novel ini berkisarkan soal perjuangan seorang imam yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri.

Pembaharuan yang ingin dibawa olehnya mendapat tentangan hebat dari penduduk kampung yang beragama Islam serta kaum keluarganya.

Imam tersebut, Haji Mihad yang asalnya merupakan keturunan golongan yang terpengaruh serta berpendidikan dalam bidang agama.

Haji Mihad yang kembali ke kampung setelah 10 tahun menghilangkan diri apabila mengikuti angkatan tentera di Sarawak.

Sebaliknya, Haji Mihad diawasi oleh pihak tentera di sana dan akhirnya beliau menetap di Indonesia bagi menuntut ilmu agama.

Namun, kepulangannya ke kampung halaman dan dilantik menjadi imam menyebabkan sesetengah orang iri hati terhadap peluang yang diperolehi oleh beliau. — Majoriti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan