petikan Gempak 4 Januari 2022
KUALA LUMPUR: Sifu muzik, Datuk M, Nasir mengakui, kebanyakan peminat artis lama kurang menggemari sekiranya mereka tampil menyanyikan lagu baharu dengan sentuhan masa kini.
Menurut M. Nasir, rata-rata peminat lebih gemar mendengar artis kegemaran mereka menyanyikan lagu hit yang terdahulu sahaja.
"Kalau artis lama nak buat album baharu, sebenarnya orang tak mahu dengar, mereka puji dan suka seseorang artis itu, tapi mereka lebih gemar dengar artis tersebut menyanyikan lagu-lagu lama mereka.
"Tapi tak dinafikanlah, memang ada peminat tegar bertanya bila artis lama nak keluar lagu baharu, cuma adalah beberapa kerat sahaja.
"Peminat kurang suka kerana lagu baharu kedengaran lain, kalau lagu-lagu lama memang ada sentuhan yang tersendiri," katanya.
M. Nasir berkata demikian ketika ditemui di Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2021 baru-baru ini.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Nusantara yang disegani ramai itu juga menyedari bahawa banyak juga lagu lama yang dinyanyikan oleh penyanyi baharu.
"Pada masa sama, kita ada juga dengar lagu-lagu lama yang masih popular, tapi bukan orang lama yang menyanyikannya, penyanyi baharu pula yang menyanyikan lagu lama," katanya lagi.
Anugerah MACP adalah satu acara yang memberi pengiktirafan kepada penggiat seni yang banyak menyumbang hasil atau karya untuk perkembangan industri tempatan.
Acara itu tidak diadakan tahun lalu ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.
Meskipun kembali diadakan tahun ini, ia diadakan dengan skala kehadiran tetamu yang lebih kecil dalam suasana norma baru dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Hasil royalti kutipan MACP didapati daripada persembahan muzik di stesen-stesen televisyen, radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang mempunyai lesen di bawah badan berkenaan.
Kecuali M Nasir, orang akan dengar rasanya
BalasPadam