Halaman

Ahad, November 19, 2023

M Nasir pukau peminat pada konsert di Dewan Plenari, KLCC

petikan Berita Harian 19 November 2023

Oleh Fatin Farhana Ariffin 

M Nasir tidak melupakan kesengsaraan yang dihadapi penduduk Gaza dengan menghadiahkan lagu Masirah. Foto Ihsan Khalil Makata

KUALA LUMPUR: "Terima kasih kerana datang ke konsert kami dan bantu jana ekonomi Melayu."

Itu kata-kata bintang bergelar sifu, Datuk M Nasir sebaik selesai menghiburkan kira-kira 2,800 peminat selama tiga jam pada Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

"Terima kasih kepada hadirin yang saya sayangi. Ada masa kita gembira, ada masa kita merenung dan memang malam ini, kita buat untuk bergembira. Jadi, terima kasih kepada semua yang terbabit.

Tirai konsert dibuka apabila M Nasir tampil ke pentas pada jam 8.30 malam dan mendendangkan lagu Pheonix Bangkit. Foto Ihsan Khalil Makata

"Terima kasih juga kepada penerbit konsert ini, Roman Abadi, ketuanya, Marlia Musa... Tak boleh suka-suka," katanya.

Di sebalik riak wajah dan perwatakan serius, M Nasir dikenali sebagai bintang yang lucu dan suka bergurau.

Malah, pada permulaan konsert, M Nasir sempat bergurau dengan peminat mengenai konsert Aina Abdul yang berlangsung pada masa sama.

"Apa khabar anda semua? Tidak menyesal tak pergi ke konsert Aina Abdul? Saya pun 'prepare' (siapkan) pakaian," katanya lantas disambut ketawa penonton

Bagaimanapun, dalam bergembira, maestro muzik ini tidak melupakan kesengsaraan yang dihadapi penduduk Gaza dengan menghadiahkan lagu Masirah.

M Nasir berkata, lagu itu diilhamkan daripada kejadian sebenar pejuang Palestin, Muhammad Al Durrah berdepan anggota tentera Israel. Lagu yang difahamkan ditulis pada lebih 20 tahun lalu itu menjadi dendangan penutup konsert anjuran MND Sports & Events itu.

Tirai konsert dibuka apabila M Nasir tampil ke pentas pada jam 8.30 malam dan mendendangkan lagu Pheonix Bangkit.

Pentas terus dihangatkan dengan lagu Semakin Nyata, Inang Pulau Kencana, Secangkir Kopi Semanis Puan, Bila Rumi Menari dan Tanya Sama Hud Hud.

Sarat dengan bunyian Melayu nusantara menerusi paluan gendang, gambus, serunai, rebab, perkusi, gitar, bes, drum dan 'keyboard', persembahan M Nasir membawa penonton meneroka dunia Melayu eksotik.

Biarpun sudah melewati usia 66 tahun, M Nasir terus unggul di pentas dengan lagu popular Dah Lagu Tu!, Melawan Arus, Langgam Pak Dogo, Kias Fansuri, Raikan Cinta, Hijab Kekasih serta medley Sentuhan Listrikmu, Mustika dan Suatu Masa.

M Nasir juga handal dalam merencana repoirtoire konsert, selain pujian layak diberi kepada pengarah muzik, Aznan Alias.

Paling mencuit hati penampilan pemain pandero, iaitu alat muzik berasal dari Brazil dan pemain 'percussion' ketika mempersembahkan lagu dialek Kelantan, Langgam Pak Dogo.

Lebih istimewa adalah persembahan Bagaikan Sakti apabila menampilkan kumpulan koir dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh, Perak iaitu Sam Tet Voices. Kumpulan ini pernah mencipta kejayaan pada World Choir Games 2023.

Kehangatan malam konsert diteruskan dengan lagu zaman kegemilangan M Nasir seperti Gadisku, Setahun Sudah Berlalu, Kabul Serangkai Mawar, Tiara, Fantasia Bulan Madu, Karma dan Pawana, Apokalips, Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi dan Ada.

Antara rakan artis yang hadir adalah Hetty Koes Endang, Datuk Hattan, Erma Fatima, Misha Omar, Jep Sepahtu dan Nana Mahazan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan