Halaman

Ahad, November 19, 2023

M Nasir julang irama gendang, solidariti buat Palestin

petikan Harian Metro 19 November 2023

Ramlah Zainal am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Konsert Gendang Pati, Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bukan sahaja memperkasakan alat muzik gendang sebagai instrumen utama persembahannya sekali gus berjaya menarik seramai lebih 2,800 penonton malam tadi.

 Lebih bermakna, konsert komposer dan penghibur legenda ini turut menyatakan sokongan dan solidaritinya kepada rakyat Palestin yang menderita kerana kekejaman rejim zionis di Gaza menerusi lagu berjudul Masirah.

Selain lagu, konsert turut membabitkan bacaan doa qunut nazilah serta bacaan puisi pembakar semangat dedikasi kepada rakyat Palestin pada penghujung konsert.

Menurut M Nasir pada sidang media sebelum ini, Konsert Gendang adalah indikasi sihat industri muzik untuk terus berkembang positif.

Ternyata, pada usia 66 tahun dan bersandarkan pengalaman lebih empat dekad dalam bidang muzik, M Nasir tetap menampilkan persembahan mantap dan bertenaga sepanjang tiga jam konsert berkenaan.

Beliau menghiburkan penggemar muziknya menerusi rangkaian 20 lagu popularnya seperti Inang Pulau Kencana, Secangkir Kopi Semanis Puan, Kias Fansuri, Melawan Arus, Tanya Sama Itu Hud Hud, Raikan Cinta, Sentuhan Listrikmu, Mustika, Apokalips dan Mentera Semerah Padi. 

" Jangan berasa terasing. Saya akan bawa anda ke Pulau Kencana," katanya.

Konsert itu turut meraikan pelbagai genre muzik dan irama daripada nusantara seperti Sunda, Jawa, Inang dan joget.

Persembahan diiringi barisan 16 pemuzik hebat iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Nan Alias, Rafi Mohd (gitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (dram) serta penyanyi latar, Eja, Widy, Yuaz dan Awe.

Ia dilengkapkan lagi dengan penampilan pemain perkusi, Paang, Mat Din, Che Long dan Anas. Selain dibantu oleh Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.

Tidak ketinggalan, persembahan seramai 25 anggota koir dari kumpulan koir Sam Tet Voices dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sam Tet, Ipoh yang menyampaikan lagu versi 'acapella' Bagaikan Sakti yang dicipta  M Nasir dan dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza. 

Konsert ini dibawakan MND Sport & Event Sdn Bhd dan diterbitkan Roman Abadi Sdn Bhd.

Terdahulu, Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir yang berlangsung di Singapura juga mendapat sambutan positif dari peminat pada Julai lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan