Halaman

Sabtu, Februari 01, 2020

'Kena sergah dengan sifu'

petikan Berita Harian 1 Februari 2020
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bh.com.my

PETALING JAYA: Artis hip hop duo, Kmy Kmo & Luca Sicta mengaku tergamam apabila disergah penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir ketika kali pertama mereka bertemu.

Luca atau nama penuhnya, Shameer Ashraf memberitahu, insiden itu berlaku ketika mereka mendengarkan lagu ciptaan berjudul Zuhud kepada Nasir, dalam usaha mempelawa bintang digelar sifu itu menjalin kerjasama.

“Selepas mendengar lagu itu, beliau bertanya apa perlu dibuat. Apabila beliau berkata begitu, kami tak tahu nak komen apa... Kekok dan perasaan bercampur baur.

“Malah, beliau tidak beri maklum balas sehingga kami tertanya-tanya apakah dirinya bersetuju atau sebaliknya.

“Berbulan-bulan kami menanti. Suatu hari, saya dimaklumkan oleh Syarikat rakaman Luncai Emas bahawa beliau sudah merakamkan bahagiannya dan meminta emel disemak,” katanya kepada BH Online.

Biarpun Kmy Kmo & Luca Sicta pernah bekerjasama dengan penyanyi dan komposer ternama seperti Malique, penyanyi lagu Gong Nekara ini tidak pernah menganggap mereka lebih hebat.

Sementara itu, Kmy atau Lukmanul Hakim berkata, mereka cuba mencari peluang untuk berkolaborasi dengan artis berpengalaman demi menimba ilmu.

“Kami tidak pernah anggap diri hebat atau mahu mendabik dada apabila berpeluang bekerja dengan komposer ternama.

“Masing-masing ada cara sendiri apabila bekerja. Kami cuba pelajari sesuatu daripadanya,” katanya.

Single Zuhud yang dicipta dua tahun lalu, berasaskan karakter dan genre muzik yang sesuai dengan M Nasir yang terkenal dengan lagu Mentera Semerah Padi.

Sejak ditayangkan di laman YouTube sebulan lalu, video muzik Zuhud hampir mencecah sejuta tontonan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan