Halaman

Isnin, Februari 03, 2020

Cepat viral, lekas sejuk?

petikan Berita Harian 3 Februari 2020
Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh com my

M Nasir beri tempoh 10 tahun nilai semula karya artis BBNU

Bukan semua penyanyi boleh membuka pintu hati penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir untuk berduet dengannya. Apatah lagi penyanyi muda atau lebih dikenali dengan gelaran BBNU (budak baru nak up) yang mungkin berhajat melakukannya.

Menyorot portfolio seniman bergelar sifu ini, Nasir pernah berpadu suara dengan bintang realiti yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu, iaitu Mawi.

Kolaborasi mereka cukup mengejutkan, namun, bukanlah sesuatu perkara yang pelik. Ini kerana Mawi adalah anak didik Nasir ketika bersaing dalam program Akademi Fantasia (AF) musim ketiga.

Selepas itu, suara emas Nasir menghiasi lagu ciptaan komposer hip-hop terkenal Malique menerusi lagu Mantera Beradu.

Terbaru, Nasir tampil dalam lagu berentak hip-hop berjudul Zuhud yang menyaksiannya bekerjasama dengan artis hip-hop duo, Kmy Kmo & Luca Sicta.

Lebih menarik, lagu itu adalah ciptaan sepenuhnya duo berkenaan, tanpa ada campur tangan Nasir.

Sebagai seniman yang pernah menghasilkan ribuan lagu popular dan melahirkan ramai penyanyi terkenal, sudah tentu Nasir tidak sewenang-wenangnya menerima tawaran yang datang. Reputasi diri perlu dijaga supaya tidak dilihat tangkap muat'.

Duduk berbicara dengan figura ini, HIP cuba mendasari apakah kriteria yang perlu ada pada seseorang artis terutama penyanyi muda jika mahu bekerjasama dengannya.

Mungkin ramai artis BBNU yang teringin berkolaborasi dengannya, namun, hasrat itu terbantut kerana persepsi awal yang diletakkan terhadap seniman terbabit.

Bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja tanpa meletakkan usia sebagai batasan, penyanyi yang popular dengan lagu Mentera Semerah Padi dan Tanya Sama Itu Hud Hud ini bagaimanapun percaya, selain bakat, artis perlu mempunyai pakej lengkap dan sempurna

"Pada saya, artis kena ada "attitude" , pemikiran yang matang dan gaya menawan. Ini bermaksud menawan daripada segi persembahan dan penampilan. Dia juga perlu ada standard tersendiri "Saya juga melihat aspek cara berkomunikasi dengan khalayak.

Selain itu, artis perlu ada sifat humor. Tak dinafikan, memang susah hendak mendapatkan pakej lengkap, namun, bagi saya, ada gaya yang saya suka sebelum bersetuju untuk menjalin kerjasama

"Cuma, kadang-kadang saya tertanya, apakah mereka teringin berduet dengan saya yang sudah berusia ini? Sukakah mereka dengan suara saya ini?" katanya.

Walaupun dua lagu yang dinyanyikannya sebelum ini berentak hip-hop, namun genre itu bukanlah syarat utama untuknya menyatakan persetujuan.


"Saya tidak pernah menetapkan saya suka sesuatu genre muzik sahaja. Mungkin hip-hop muziknya rancak dan paling banyak dinyanyikan. Ini membuatkan lagu itu seperti muzik aliran terkini. Kalau muzik balada, itu muzik lama

"Kalau kita lihat kebanyakan penyanyi BBNU terikat dengan lagu balada dengan melodi 1990-an... Tiada sebarang pembaharuan "Namun, saya tak salahkan mereka. Bukan tiada melodi balada yang lebih moden, tetapi mereka terpaksa mengikut kehendak pasaran

"Jika menongkah arus dan tidak mengikut aliran terkini, tak laku pula. Nanti mereka juga susah, " ujar lelaki berusia 62 tahun ini.

Fenomena lagu viral juga menjadi topik temubual. Ini kerana karya seumpama itu bagaikan suatu kemestian dalam industri muzik sejak kebelakangan ini.

Biarpun andai dinilai daripada segi keseluruhan lagu tidaklah sehebat mana, namun, disebabkan kuasa viral, ia boleh menjadi popular sekelip mata.

Mengulas perkara itu, Nasir mengaku perkara itu sukar dikawal. Ia adalah aliran terkini khususnya untuk generasi muda yang aktif dalam media sosial "Kita tak boleh menilai sama ada lagu viral itu bagus atau tidak untuk industri. Fenomena ini juga tidak boleh dikawal kerana agak sukar untuk kita 'membaca' atau memahami selera generasi muda hari ini

"Apa yang kita kata tidak bagus, pada mereka mungkin berbeza.

"Kita hanya boleh melihat kesan isu lagu viral ini dalam tempoh 10  tahun akan datang. Sama seperti isu program realiti yang juga pernah mencetuskan fenomena, suatu ketika dulu

"Masa mula-mula muncul, orang ramai jadi teruja. Namun, selepas itu, barulah kita nampak kesannya. Apakah bagus atau tidak untuk industri," " katanya.

tambahan : sidang media Zuhud dari Youtube Berita Harian & Melodi TV3



Tiada ulasan:

Catat Ulasan