Halaman

Rabu, Januari 01, 2020

M. Nasir pulang ke ‘kampung halaman’ dengan konsert nostalgia

petikan  Berita Mediacorp 1 Januari 2020
FREDA HASSAN

BERITAmediacorp: Sebuah konsert tiga jam oleh insan seni kelahiran Singapura, M. Nasir berjudul “Konsert M.Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan Seni” akan diadakan di The Theatre at Mediacorp pada 4 Januari 2020.

Menerusi konsert anjuran Shiraz Projects Pte Ltd itu, M. Nasir menjanjikan satu persembahan yang dikatakan “lebih intim dan peribadi” khas untuk peminat-peminatnya di rantau ini yang telah menyokong kerjayanya sepanjang empat dekad.

Baru-baru ini, artis versatil yang turut digelar “sifu” itu pernah juga mengadakan konsert yang sama di Kuala Lumpur dihadiri seramai 2,800 penonton.

M. Nasir, 62 tahun yang dihubungi penulis menerusi panggilan jauh ke Kuala Lumpur baru-baru ini ditanya apakah yang dimaksudkan sebagai sebuah persembahan yang “lebih intim dan peribadi” itu.

“Lebih dekat dengan merekalah. Kali ini saya kira ada banyak lagu yang saya pilih dan antaranya adalah lagu-lagu yang dirakam untuk orang lain yang pernah menjadi ‘hit’ jadi saya kira itu adalah kenangan,” jelasnya.

Kata seniman yang mempunyai auranya tersendiri itu lagi, barisan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan di Singapura nanti akan ada persamaan dengan himpunan lagu-lagu untuk konsertnya di Kuala Lumpur kelmarin.

Katanya ringkas: “Mungkin ada sedikit perubahan, lagu kebanyakannya sama. Buat apa saya nak beritahu? Kalau saya kongsi dah anti-klimaks dah.”

Alasan yang beliau berikan mengenai “set-list” yang sama itu adalah kerana konsert-konsertnya itu adalah sebuah siri.

“Saya kira ada ramai juga yang telah menonton di KL. Dia akan tonton di Singapura jadi biarlah ada persamaan, jangan ada orang kata kenapa hari itu tak buat di sana?"

Istimewanya untuk konsert kali ini, beliau dijangkakan akan membawakan lagu-lagu medley hits ciptaannya untuk penyanyi-penyanyi popular yang pernah menjadi siulan ramai seperti kumpulan Flybaits dan kumpulan Alleycats.

Memandangkan senarai lagu-lagu ciptaan M. Nasir begitu banyak sekali, apakah beliau akan memilih lagu-lagu terbaik dari koleksi ciptaannya?

“Saya bukan kira “the best of the best” tapi yang sesuai, yang lebih mencipta nostalgia dan juga bukan semua saya yang pilih tapi ada satu kumpulan yang pilih lagu-lagu.”

Kumpulan yang dimaksudkan itu merujuk kepada penganjur yang juga telah berbincang dengan penggubah lagu terkenal itu mengenai pemilihan lagu-lagu yang sesuai untuk dibawakan nanti.

Penulis difahamkan akan ada juga segmen kejutan untuk konsert Singapura nanti namun beliau tidak bersedia untuk berkongsinya dalam temubual ini.

Katanya sambil tertawa: “Tak boleh beri bayangan. Dia adalah satu konsert yang menghiburkan dan saya kira bertenaga.”

Beliau akan diiringi oleh seramai 20 pemuzik handalan menerusi band lamanya yang dikenali sebagai “The Gong”. Kumpulan ini sudah bersama M. Nasir sekian lama. Untuk sesebuah konsert solo seorang artis, iringan pemuzik seramai 20 anggota boleh dianggap ramai. Ini jawapan bersahaja beliau kepada BERITAmediacorp: “Saya suka ramai-ramai supaya banyak benda mereka (penonton) boleh tengok di atas pentas itu.”

Sempena pelibatannya sebagai insan seni selama empat dekad, M. Nasir menghadiahkan persembahan selama tiga jam tanpa selingan yang jarang sekali dilakukan oleh mana-mana artis solo yang berkonsert.

Mengapakah beliau tidak lokek belanja peminat-peminatnya dengan persembahan sedemikian?

“Saya rasa orang tak puas kerana banyak lagu yang saya hasilkan dalam 40 tahun. Selalu bila saya buat konsert orang selalu cakap kenapa tak nyanyi lagu ini? Kenapa tak nyanyi lagu ini? Jadi kali ini saya cuba nak bagi lebihlah,” terangnya kepada kami.

Setiap konsert M. Nasir sudah semestinya akan diselitkan dengan jenaka beliau yang bersahaja yang turut mencuri perhatian peminat.

Jelasnya dengan selamba sehingga membuat penulis tertanya-tanya adakah beliau bergurau atau serius sebenar-benarnya. Menurutnya, beliau memang bercita-cita ingin menjadi seorang pelawak dan juga seorang penari sejak dari kecil lagi.

“Dah empat puluh tahun “training", selorohnya.

M. Nasir turut mengatakan bahawa beliau sangat gembira dapat mengadakan konsert sekali lagi di Singapura kerana ia mengingatkan beliau akan nostalgia beliau membuat persembahan pertamanya hanya berbekalkan gitar akustik di Panggung Negara pada tahun 1980.

“Kalau belum beli tiket tu belilah, kalau tak dapat menonton saya rasa kerugian kerana dia dapat menonton satu acara dalam sejarah kan? Mungkin tidak akan ada lagi,” katanya mengakhiri bicara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan