Halaman

Isnin, Januari 06, 2020

M. Nasir hadiahkan SG irama perjuangan empat dekad

petikan  Berita Harian 6 Jan 2020
HARYANI ISMAIL
haryani@sph com sg

BAGAI sirih pulang ke gagang. Datangnya legenda ini ke kota kelahirannya Singapura seperti yang diuar-uarkan pada awal konsert kelmarin penuh jiwa, pengalaman dan hiburan bermakna.

Dengan misi mengajak pencinta seni mengembara bersamanya dalam perjalanan 4o tahun dalam dunia hiburan, komposer dan penyanyi legenda, Datuk M. Nasir, mampu menyajikan santapan halwa telinga mempesona.

Di sebalik usianya yang mencecah 62 tahun, Nasir yang nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed, membuktikan umur itu hanyalah angka. Tenaganya meluap-luap. Jenakanya datang bertalutalu. Keceriaan dan ketulusan begitu terpancar di wajahnya.

Pendek kata, beliau yang dikenali sebagai seniman tidak banyak berbicara begitu ekspresif di pentas yang berwarna-warni dengan pemuzik hebat daripada kumpulan The Gong mahupun penggiat seni dikir barat yang sepadu gerak tangannya mengikut lagu.

Malah, kedengaran suara dalam kalangan penonton Konsert M. Nasir Satu Hikayat: 40 Tahun Perjalanan di Teater Mediacorp yang berbisik: "Tenaga Datuk Nasir macam pemuda 26 tahun sahaja!"

Konsert di Singapura anjuran Shiraz Projects ini menyusuli persembahan laris selama dua hari di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, November tahun lalu.

Suasana konsert kali ini begitu ceria dengan Nasir mampu membuatkan mereka yang selesa duduk bangkit dan menari sambil merenung tentang identiti Melayu, nilai murni dan pasang surut kehidupan.

Langgam Pak Dogo dari album Phoenix Bangkit membuka tirai konsert dengan penggiat teater dan pengarah Malaysia, Sabri Yunus, tampil membuka lingkaran kisah dengan perlambangan wayang kulit mengenai perjuangan dan jatuh bangun Nasir dalam dunia seni.

Anak-Anak Kita, Phoenix Bangkit Dari Abu, Keroncong Untuk Ana, Sentuhan Listrikmu dan Bila Rumi Menari yang setiap satunya bermakna bagi Nasir kemudian berkumandang memberi penonton satu pengalaman menyegarkan.

Kelainan konsert kali ini adalah apabila Nasir tampil menyanyikan lagu yang terhasil daripada mindanya yang kreatif buat pelbagai artis seperti The Flybaits, Alleycats, Sudirman Haji Arshad, Anita Sarawak, Search, Wings, Rahim Maarof dan Ekamatra.

Itulah segmen yang menarik perhatian peminat seperti Cik Azhanani Kamis, 47 tahun, seorang kaunselor.

"Setiap kali mendengar lagulagu M. Nasir, saya amati maknanya yang mendalam. Namun, saya paling gemari segmen penghormatan pada lagu-lagu yang beliau cipta buat Alleycats, The Flybaits, Sudirman, Ekamatra, Wings dan Rahim Maarof. Unik sebab kali ini kita dengar lantunan suara M. Nasir sendiri, " katanya.

Lagu ikonik Hati Emas, Gerhana (dari zaman Kembara) hinggalah Mentera Semerah Padi, Sahabat Gua dan Apokalips menghiburkan dan menyejukkan hati dengan nilainilai murni menjaga hati dan reda dengan pasang surut kehidupan tersemat buat renungan.

Nasir mengakhiri konsert tiga jam ini dengan lagu tentang kerohanian dan kemanusiaan, Ada dan Raikan Cinta.

Mengulas hadiah yang diberi buat peminat menerusi konsert ini, Nasir berkata:

"Saya memang nak hadiahkan kepada peminat cebisan sejarah muzik saya selama empat dekad. Ini tanda terima kasih yang datang dari jiwa, tulus dari hati. Sekurangkurangnya mereka boleh cerita kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka ada penyanyi bernama Nasir yang pernah menyentuh jiwa mereka dalam lagunya "

Tiada ulasan:

Catat Ulasan