Halaman

Isnin, April 22, 2019

Disuruh jerit depan dinding

petikan Harian Metro 22 April 2019
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

TEMPOH satu jam setengah yang diperuntukkan untuk sesi bual bicara Magnum Opus 40 Tahun M Nasir Siri 2 bersama penyanyi legenda Datuk M Nasir dengan panel terdiri daripada bekas Pengarah Artis & Repertoire BMG Music, Datuk Aziz Bakar; penyanyi Wings, Datuk Awie; pemain bass Search, Nasir Daud; penulis lirik dan bekas pengurus Wings, Bob Lokman serta pengarah filem dan penulis lirik, Nasir Jani seakan tidak mencukupi.

Program anjuran Sahabat M Nasir, Roman Abadi Sdn Bhd dan Magnus Works Production bertemakan ‘Search, Wings dan Rock N’ Roll’ yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur petang kelmarin itu begitu menarik kerana mengupas dan menyelongkar kisah era kebangkitan muzik rock yang disampaikan lima panel ini berdasarkan pengalaman mereka ketika itu.

Memenuhi tema, program yang menampilkan bekas Pengurus Saluran Astro Warna dan Pengurus Program Era FM dan Sinar FM, Rostam Said sebagai moderator ini dihadiri hampir 600 peminat yang mendalami pemikiran, falsafah dan perjuangan insan bergelar ‘Sifu’ memperjuangkan genre rock terutama membabitkan band rock legenda tanah air Search dan Wings.

M Nasir adalah individu yang bertanggungjawab membawa Search ke dalam industri muzik Malaysia selain meletakkan Wings ke satu tahap tinggi menerusi album dan lagu yang diterbit serta dicipta untuk mereka.


Beliau juga bertanggungjawab mencipta puluhan lagu dan lirik kedua-dua kumpulan itu. M Nasir menerbitkan tujuh daripada 12 album studio Search dan empat daripada 11 album studio Wings.

Beliau turut menerbitkan satu daripada dua album Double Trouble yang menggabungkan Search dan Wings.

AZIZ BAKAR. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Selesai sesi bual bicara, peminat dihiburkan dengan persembahan M Nasir yang menyanyikan lagu-lagu ciptaannya untuk Search dan Wings antaranya Isi Atau Kulit, Sejati, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Peronda Jaket Biru, Pawana, Hukum Karma, Gadis Misteri, Di Ambang Wati dan Fantasia Bulan Madu.

Beliau diringi The Gong yang dianggotai pemuzik profesional iaitu Nan (gitar), Rafi (gitar), Kelly (bass), Ujang (dram) dan Firdaus (keyboard).

M Nasir yang ditemui berpuas hati dengan kandungan program ini.

“Ia lebih kepada bual bicara dan persembahan saya hanya selingan. Pada saya sesi bual bicara sangat menarik dan menghiburkan. Insya-Allah siri ketiga akan dibuat selepas ini kerana banyak lagi tema yang akan ditampilkan selepas ini.

“Saya sendiri kurang pasti apakah tema kali ini saya yang pilih. Saya minta mereka jangan banyak bercakap mengenai diri saya, tapi mereka cakap apa yang ada kena mengena dengan saya,” katanya yang mengakui kesuntukan masa membataskan banyak perkara menarik berkenaan Search dan Wings diperkatakan.

Sudah nampak ‘bintang’ Search

“Pada awal 1980-an, Search datang ke Kuala Lumpur mencari tapak. Walaupun berasal dari Johor Bahru, Search ditubuhkan di Kuala Lumpur,” kata pemain bass Search, Nasir.

Menurut Nasir, ketika mereka beraksi di kelab Red Rooster, M Nasir datang melihat persembahan mereka bersama wakil syarikat rakaman Polygram.

“Selepas itu, mereka datang lagi. Ketika berbual dengan M Nasir, katanya apabila dia buka pintu dia sudah nampak ‘bintang-bintang’ pada Search. Maksudnya dia mengakui kami sebuah kumpulan muzik yang berbakat dan ada masa depan,” katanya.

M NASIR mempamerkan persembahan menarik membawakan lagu-lagu Search dan Wings mengikut rendisi tersendirinya. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Dari situ gandingan M Nasir dan Search terus mengorak membina empayar mereka dalam bidang muzik termasuk mencetus fenomena di Indonesia.

Nasir mengakui proses rakaman album bersama M Nasir amat rumit kerana mereka diberi masa hanya dua minggu untuk menyiapkan album pertama.

“Kami perlu siapkan album ini tak kira apa saja halangan. Kami dan M Nasir tiada apa-apa formula. Datang studio dengan tangan kosong dan buat kerja ikut jadual yang ditetapkan.

“Lahirlah album pertama berjudul Cinta Buatan Malaysia. Album kedua, Langit dan Bumi meletakkan Search di landasan yang betul. Kami berjaya siapkan 17 lagu dalam tempoh seminggu. Namun, 10 yang dipakai dan selebihnya disimpan untuk album akan datang. Kami masih baru dan banyak idea ketika itu,” katanya.

M Nasir tak ‘peduli’ dengan Wings

“Jika beliau anggap Search ibarat bintang-bintang, dia hanya meletakkan sasaran jualan album sebanyak 10,000 unit saja untuk Wings,” kata Awie.

Menurut Awie, ketika mereka merakamkan album sulung, Belenggu Irama, M Nasir seolah-olah tidak menghiraukan mereka.

“Yang bekerja untuk proses rakaman album itu ialah Sani Sudin, Siso dan Usop dari Kopratasa. Lagu pertama yang kami rakamkan ialah Inspirasi Taming Sari. Terkangkang-kangkang saya dibuatnya kerana ia pengalaman pertama. Satu lagu itu ambil masa dua hari untuk disiapkan,” katanya.

NASIR dan Awie. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Awie berkata, dia juga tidak dapat melupakan pengalaman ‘didera’ M Nasir yang menyuruhnya menjerit di depan dinding rumahnya di Sungai Buloh bagi memantapkan suara.

“Awal pagi saya akan menaiki bas dari Puduraya ke rumah M Nasir di Sungai Buloh untuk belajar vokal. Apabila sampai di rumah, beliau suruh saya menjerit depan dinding.

“Apabila difikirkan balik sekarang, saya terfikir sejarah saya memang sangat menarik. Itu sebenarnya satu latihan yang bagus buat saya.

“Selepas itu Wings hasilkan album kedua, Hukum Karma dan ia meletup bagai nak gila. Hari ini walaupun Wings buat album baru, setiap kali buat persembahan, peminat tetap meminta lagu Hukum Karma,” katanya.

Mesti ada ‘killer song’

Sebagai Pengarah Artis & Repertoire BMG Music, Datuk Aziz Bakar bertanggungjawab memastikan hanya lagu terbaik dimuatkan dalam sesebuah album selain perlu memiliki satu ‘killer song’.

“Selepas Search menyiapkan rakaman album keempat mereka iaitu Fenomena, saya mendapati tiada lagu yang betul-betul kuat. Kami perlu cari lagu ganti sedangkan ‘deadline’ untuk penjualan album sudah dekat.

“Saya minta M Nasir cari lagu lain dan dia akhirnya tampil dengan lagu hebat Isabella. Lagu ini membawa Search dikenali di Indonesia dan dinyanyikan dalam pelbagai genre muzik di sana,” katanya.

Pening nak buat lirik Isabella

Penceritaan Bob Lokman dengan gaya komedinya menjadikan sesi bual bicara ini cukup meriah.

Selain bertanggungjawab memperkenalkan Wings kepada M Nasir, Bob turut menceritakan bagaimana dia menghasilkan lirik lagu popular Search, Isabella.

BOB Lokman bersama Nasir Jani. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Search merakamkan lagu itu di Studio King, Petaling Jaya dan kebetulan Bob turut berada di situ.

“Waktu itu saya sedang tidur di atas sofa di studio itu. Tiba-tiba M Nasir keluar dari salah satu studio rakaman di situ dan memberikan saya kaset. Di dalamnya terkandung lagu baru Search dan saya diminta menghasilkan lirik.

“Puas saya fikir bagaimana saya nak hasilkan lirik lagu itu. Kemudian saya teringat pengalaman saya mengenali seorang wanita Eropah di Subang Jaya. Saya jatuh hati dengannya, tapi cinta saya tak sampai. Ibarat cinta kami hanya semusim saja.

“Kami pernah keluar menonton konsert Allahyarham Datuk Sudirman di tasik Subang Jaya dan itulah yang mencetuskan ilham untuk lirik lagu ini,” katanya.

Menurut Bob, selepas memberikan lirik itu kepada M Nasir, penerbit itu tidak berpuas hati dan meminta Bob menukarnya.

“Selepas itu dia bersetuju, tapi cuma berkata, bolehlah. Tapi akhirnya lirik ‘bolehlah’ itu mencetus kejayaan gemilang,” katanya.

Nasir Jani sekepala dengan M Nasir

“Mana lu dapat nombor gua? Ada apa lu call gua?” Itu kata Nasir Jani ketika M Nasir menghubunginya meminta dia mengarahkan filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

“Saya memang tak kenal M Nasir dan dia menghubungi saya minta mengarahkan filem itu. Saya tanya kenapa dia pilih saya dan dia kata terpikat dengan hasil kerja saya sebagai penolong pengarah filem Mekanik dan Matinya Seorang Patriot. Dari situ saya tahu kami ada ‘chemistry’,” katanya.

Menurut Nasir Jani, idea asal daripada M Nasir dalam filem itu ialah mengenai seorang anak muda dari kampung yang meminati lagu-lagu rakyat datang ke Kuala Lumpur dengan impian mahu menjadi penyanyi.

“Bagaimanapun, jalan ceritanya bertukar 360 darjah apabila Ito Blues Gang mencadangkan kami mengetengahkan tema cetak rompak yang berleluasa ketika itu. Ia juga filem tempatan pertama yang mengetengahkan muzik rock,” katanya.

Nasir Jani berkata, filem Kembara Seniman Jalanan ada kaitan dengan kronologi penubuhan Search.

“Kelab Red Rooster yang menjadi tempat awal Search bermula ada dalam babak filem ini. Begitu juga dengan Hard Rock Cafe di Taman Tun Dr Ismail.

“Panggung Anniversari turut menjadi lokasi filem ini untuk babak konsert bertemakan hapuskan lanun cetak rompak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan