Halaman

Isnin, April 29, 2019

Awie terkenang insiden ‘didera’ M Nasir

petikan Berita Harian 29 April 2019

Barisan panel lain yang turut diundang menjayakan forum bertemakan Search, Wings dan Rock N’ Roll itu adalah vokalis Wings, Datuk Awie dan pemain bass Search, Nasir Daud.

Tidak ketinggalan, penulis lirik dan bekas pengurus Wings, Bob Lokman serta pengarah filem dan penulis lirik, Nasir Jani.

Program anjuran Sahabat M Nasir, Roman Abadi Sdn Bhd dan Magnus Works Production itu menyaksikan lima panel terbabit mengupas dan membongkar kisah era kebangkitan muzik rock berdasarkan pengalaman mereka.

Cipta 17 lagu seminggu

Mengimbau detik mereka bekerja di studio, Nasir yang cukup dikenali dengan kehandalan bermain gitar bass untuk kumpulan Search berkata, M Nasir ada cara tersendiri dalam mencipta lagu.

“Cara M Nasir mencipta lagu bukanlah dengan bermain alat muzik seperti yang sering dilakukan komposer profesional. Beliau lebih kepada mengalunkan melodi secara lisan.

“Ada ketika, dia membiarkan kami ‘jamming’. Selepas itu, barulah dia masukkan melodi yang dirasakan sesuai.

“Memang kami tidak menggunakan apa-apa formula dalam mencipta lagu. Selalunya, kami datang ke studio tanpa sebarang persediaan.

“M Nasir akan tanya, lagu bagaimana yang kami mahu. Sama ada kami mahu lagu berentak perlahan, moderate atau rancak,” katanya.

Nasir berkata, mereka akan mencipta seberapa banyak lagu dalam satu sesi.

“Kami cipta seberapa banyak lagu dengan sebahagian daripadanya dimuatkan dalam album. Bakinya akan kami simpan untuk album akan datang.

“Untuk album Langit dan Bumi, kami menyiapkan 17 lagu dalam tempoh seminggu. Search ketika itu masih baharu dan idea pun datang mencurah-curah,” katanya.

Dalam menghasilkan sesebuah lagu, M Nasir sangat teliti dalam bekerja apabila mengambil masa masa yang agak lama untuk membereskan semua tugasan.

Perkara ini turut diakui Aziz apabila memaklumkan album Fenomena yang sepatutnya disiapkan dalam tempoh sebulan, melepasi masa yang ditetapkan.

Mengulas perkara sama, Awie berkongsi kisah lucu mengenai tempoh yang diambil M Nasir untuk mencipta lagu yang masih diingati hingga hari ini.

“Kejadian berlaku ketika salah satu lagu popular kami berjudul Sejati dicipta. Ia dirakamkan di sebuah studio di Sarawak.

“Apa yang melucukan, hanya melodi awal yang menyebut perkataan ‘sejati’ dirakamkan di Sarawak.

“Selebihnya dihasil dan dirakamkan di Kuala Lumpur,” katanya sambil disambut gelak ketawa penonton.

Awie berkata, dia tidak dapat melupakan pengalaman ‘didera’m Nasir yang menyuruhnya menjerit di hadapan dinding rumahnya di Sungai Buloh, Selangor bagi memantapkan suara.

“Masih ingat lagi peristiwa saya disuruh menjerit di hadapan dinding rumahnya sebagai kaedah belajar vokal.

“Apabila dikenang kejadian itu, rasa kelakar. Namun, daripada sudut lain, ia sebenarnya latihan yang bagus buat saya. Semua ini menjadi sejarah dan pengalaman saya dalam bidang seni sangat menarik,” katanya.

Lirik Isabella ditolak empat kali

Bukan mudah untuk bekerja dengan insan seni seperti M Nasir kerana piawaiannya terhadap sesuatu perkara sangat tinggi.

Sehubungan itu, tidak hairanlah, lirik lagu Isabella hasil nukilan Bob Lokman ditolak empat kali sebelum dimuatkan dalam album kumpulan rock terunggul itu.

“Saya diminta M Nasir untuk menyiapkan lirik lagu Isabella dengan segera. Beliau hanya memberikan judul Isabella untuk lagu itu.

“Puas saya memikirkan konsep penceritaannya sehinggalah saya teringat kisah cinta tidak kesampaian dengan seorang wanita Inggeris, suatu ketika dulu. Kiranya, itu adalah cinta semusim kami.

“Setiap kali saya serah lirik kepadanya, ada saja yang tidak kena. M Nasir meminta saya merombak lirik hingga percubaan kali keempat, barulah berjaya. “Itupun dia cuma kata ‘bolehlah’ selepas membaca lirik yang diberi,” katanya.

Bob tidak menyangka lagu Isabella menjadi cukup ‘besar’ sehingga popular di rantau ini.

“Tak sangka kehebatan lagu itu membuatkan nama Search menjadi begitu besar. Pengaruh lagu itu cukup luas sehingga dirakamkan dalam pelbagai versi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan