Halaman

Isnin, Disember 24, 2018

Konsert Duo Lagenda penutup 2018 paling indah

petikan Utusan Malaysia 24 Disember 2018
AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

TIDAK banyak komunikasi yang berlangsung antara dua legenda ini di atas pentas, namun keserasian yang ditonjolkan Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir untuk Konsert Duo Lagenda cukup sempurna di mata penonton.

Konsert yang bermula pada 20 Disember lalu dan berakhir semalam bukan sahaja berjaya mengimbau kembali kenangan lagu-lagu hebat nyanyian dua penyanyi ini, malah dalam masa sama turut mencipta sejarah tersendiri. Ia gabungan pertama kali dua bintang ternama ini menjayakan sebuah konsert di Istana Budaya.

Berbeza karakter, apa yang boleh dirumuskan mengenai dua penyanyi ini sepanjang konsert berlangsung, masing-masing mempunyai aura tersendiri. Jika Jamal cukup lengkap dengan sut, M.Nasir pula lebih selesa dengan penampilan dan imej santainya.

Klon Jamal memukau
Memulakan persembahan dengan lagu dari album pertamanya Cinta dan Tangis dan Bicara Cinta, ternyata suara penyanyi berusia 59 cukup ini cukup bertenaga.

Selesa mengenakan cermin mata hitam sewaktu membuat persembahan, bagi penyanyi yang sudah enam kali membuat persembahan di Istana Budaya, Jamal Abdillah yakin konsert Duo Lagenda yang menggabungkan beliau dengan rakan penyanyinya, M.Nasir adalah antara konsert terbaik untuk berada dalam katalog karier seninya.

Antara keistimewaan yang ditonjolkan Jamal dalam konsert ini juga tidak sekadar pilihan lagu tetapi gabungannya dengan anak sulungnya, Osama Yamani yang kini berusia 17 tahun melalui segmen Rentas Zaman.

Menyaksikan persembahan Osama, penonton seperti dihidangkan dengan kemunculan Jamal pada versi yang lebih muda. Tidak sekadar mempunyai alunan suara yang sama, malah personaliti yang cuba ditampilkan Jamal untuk anaknya itu juga seperti klon dirinya.

Menyanyikan Aku Penghibur, Perjalananku, Kau Lupa Janji, Terharu dan Gadis Melayu secara medly, ternyata gandingan anak beranak ini seperti melengkapkan persembahan Jamal pada malam itu.

Dari suatu sudut, Jamal sendiri tidak dapat lari untuk berasa bangga dengan kemampuan anaknya beraksi di atas pentas yang sama dengannya.

Dalam usia yang masih muda, penonton juga turut terpukau dengan kemampuan anak sulung penyanyi ini. Mampu menyampaikan lagu-lagu bapanya tanpa cacat, kehebatan vokal Osama setanding penyanyi profesional lain.

Turut mencuri tumpuan pada malam itu ialah kehadiran wanita `mat salih’ di atas pentas. Cukup fasih berbahasa Melayu, siapa sangka kemampuannya untuk menyanyikan lagu-lagu tersebut tidak kurang hebatnya. Warga Australia, Cassidy Anderson turut diberi peluang untuk berduet dengan dua bintang utama konsert tersebut.

Memilih Lagu Sandarkan Kepada Kenangan untuk lagu duet bersama Jamal, bagi lagu duet kedua dengan M.Nasir pula Cassidy selesa untuk menyanyikan lagu Dua Insan.

Turut menyampaikan lagu secara solo, Derita Cinta menjadi lagu pilihan penyanyi tinggi lampai yang kini sudah memilih Malaysia sebagai tempat untuk mencari rezeki.

M. Nasir memukau
Bukan kali pertama menyaksikan beliau atas pentas Istana Budaya. Mempunyai personaliti yang cukup jujur ketika membuat persembahan, M.Nasir sentiasa berjaya memberi pengalaman baharu buat peminatnya.

Sama seperti Jamal, tiada kata-kata indah yang ingin dikongsikan dengan penonton. Bagi penghibur yang sudah puluhan tahun bergelar anak seni, hasil karyanya adalah hadiah paling indah yang mahu dinilai peminat.

Memulakan persembahan pada malam itu dengan lagu Keroncong Untuk Ana, Hijab Kekasih, Mustika dan Apokalips ternyata pilihan lagu-lagu ini cukup sempurna untuk menghangatkan persembahannya pada malam itu. Meneruskan persembahan dengan segmen berbeza, M.Nasir juga turut memilih lagu yang mampu dinyanyikan bersama penonton seperti Hati Emas, Gerhana dan Perjuangan.

Seperti yang dinantikan penonton yang hadir pada segmen akhir konsert ini, Jamal dan M.Nasir membuat kemunculan bersama untuk menyanyikan lagu duet.

Memilih lagu Kiambang, Malam, Kepadamu Kekasih, Mantera Semerah Padi dan Ghazal Untuk Rabiah ternyata menyaksikan persembahan dua penyanyi hebat ini beraksi pada waktu yang sama seperti memberi klimaks kepada Konsert Duo Lagenda ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan